Operasi merawat kali ini di Hotel Tabung Haji atau kini dikenali sebagai TaHa d’Bayu. Sedikit maklumat, kompleks Tabung Haji Kota Kinabalu Jalan Sembulan ini sedang dalam proses pembaikpulihan secara besar-besaran. Khabarnya ia akan menjadi hotel bertaraf 3 bintang.

Pesakit kali ini dari Beaufort. Sebenarnya ada hubungan kekeluargaan juga. Saya dihubungi ketika sedang berkuliah di Surau Austral. Saya kemudiannya terlupa untuk menghubungi semula sehingga saya mendapat panggilan mereka sekitar jam 9.30 malam. Saya bersama sahabat-sahabat perawat berziarah sekitar jam 10 malam di bilik yang dijanjikan.

Rawatan dijalankan beberapa pusingan.

Antara yang berperanan ialah Saudara Amran, Abdul Hamid dan Ustaz Nazri. Saya hanya hadir untuk memberi sokongan kepada keluarga dan sahabat-sahabat perawat memandangkan saya sebenarnya kurang sihat hari itu. Sebenarnya saya sudah menjadualkan diri untuk ke klinik swasta malam itu selepas kuliah dan minum-minum di surau, tetapi saya tangguhkan selepas sesi rawatan untuk meraikan keluarga yang datang dari Beaufort.

Pakcik yang sakit berumur sekitar 50an. Sebenarnya pernah kami rawat ketika beliau ditahan di Hospital Queen pada bulan September lepas, kalau tidak salah. Ketika itu tangan dan kaki beliau diikat di katil kerana mengamuk tidak tentu fasal. Jururawat ditendang dan beliau bercakap tanpa henti selama 2 hari. Ketika itu apabila kami datang tengah-tengah malam, ada situasi menarik berlaku.

Kami bergilir-gilir meruqyah beliau.

Apabila giliran saya yang terakhir, saya baru perasan apabila dimaklumkan oleh sahabat-sahabat agar ketika meruqyah, melihat juga mesin jantung yang ada di belakang sebelah atas pesakit. Ketika pesakit dibiarkan tidak diruqyah, pergerakan degupan jantung lewat mesin itu agak stabil. Tetapi apabila diruqyah, nadi jantung menjadi tidak stabil, tidak keruan atau nampak seperti gelisah. Pergerakan nadi melalui mesin itu menjadi lintang pukang, atau saya istilahkan sebagai ‘berkulut’. Sesekali ia bergulung-gulung seperti terkena ribut.

Kami dimaklumkan beliau stabil dan boleh solat seperti biasa, balik ke kampung tanpa ada cerita apa-apa. Ia tenang sehingga 3 malam lepas.

Beberapa pusingan rawatan, jin berkenaan agak degil juga. Sebenarnya jin berkenaan psiko juga dengan kami. Dia buat tidak kisah dengan ruqyah berkenaan. Dia buat-buat tidur dan kata tidak respon apa-apa. Sehingga satu ketika barangkali dia pun sudah tertekan, akhirnya mahu memeluk Islam. Jin berkenaan bernama Masirin dari Beaufort juga. Dia mahu keluar dari arah dubur, akhirnya mereka berbincang antara pesakit dan jin di dalam tandas. Perbualan dalam bahasa bisaya, saya difahamkan mereka saling bermaafan.