Archive for 28 Januari 2012


 

 

Disedut dari : http://www.facebook.com/syahiruldotcom

Diriwayatkan sebuah kisah dalam kitab Di Balik Tabir Kematian oleh Imam Al-Ghazali:

Di sebuah negara terdapat seorang raja yang sangat sombong. Suatu hari dia ingin melawat suatu kawasan di bawah kerajaannya lalu meminta pembantunya membawa pakaian untuk dipakainya. Satu demi satu pakaian dipakainya, apabila dia rasa pakaian itu tak sesuai, maka dicampaknya pakaian itu ke lantai dan diminta pula pakaian yang baru. Begitulah kesombongan raja tersebut.

Setelah mengenakan pakaian yang memuaskan hatinya, lalu dia pun menuju ke tempat penyimpanan kenderaan, lalu sekali lagi dia menilik-nilik kuda mana satukah yang akan menjadi tunggangannya pada hari itu. Dengan penuh kesombongan dia memilih kenderaan berkuda yang dia rasakan memuaskan hatinya. Lalu bertolaklah raja keluar dari istananya yang megah dan memakai pakaian kemegahan dan kenderaan yang megah.

Raja itu menunggag kenderaan berkudanya dengan penuh bongkak dan bangga serta tidak memperdulikan orang lain, hinggalah satu ketika seorang tua yang buruk pakaiannya menahan raja di tengah jalan. Orang tua itu meminta supaya raja tersebut turun kerana dia ingin bercakap dengan raja itu. Raja itu enggan malah mahu meneruskan perjalanannya. Lalu orang tua tersebut memegang tali yang mengikat kuda tersebut dengan kuat, maka berhentilah kuda milik raja yang sombong itu.

Raja dengan marah bertanya: “Kamu mahu apa dari aku?” Orang tua itu berkata: “Aku ingin berbisik perkara rahsia denganmu, oleh itu dekatkan telingamu kepadaku.” Raja yang tak boleh berbuat apa-apa itu turun dari kenderaan berkudanya dan pergi menemui orang tua itu lalu didengarnya bisikan halus dari orang tua itu. “Aku adalah Malaikat Maut!” kata orang tua itu. Maka dengan serta-merta raut wajah sombong dan bongkak raja itu bertukar menjadi pucat lesi.

Dengan serta-merta juga terpacullah dari mulut raja tersebut: “Berikan aku masa pulang ke istana untuk mengucapkan selamat tinggal kepada keluargaku dan berikanlah aku masa menguruskan hartaku sebentar.” Lalu berkatalah Malaikat Maut: “Kamu sudah tidak ada masa lagi.” Maka direntapnya roh raja yang sombong itu sehingga jasad raja tersebut jatuh bagai kayu api yang tiada nilai. Wallahua’lam..

%d bloggers like this: