Archive for 25 Januari 2012


Sekali lagi kami berpeluang menatap wajah tuan guru yang dikasihi Ybhg Dato’ Dr Haron Din dan menitip curahan ilmu dalam kuliah Darussyifa’ Sabah siri ke-9 di Masjid Negeri Sabah hujung minggu lalu. Sebenarnya tajuk ‘sihir’ yang beliau bentangkan bersama kami sejak malam ahad dan kemudian pagi ahad sehingga jam 10.30 pagi sudah pun disampaikannya pada kunjungan beliau bulan Oktober lalu. Tajuk sama, tapi pengisiannya banyak berbeza. Jelasnya, Tuan Guru suka ke Kota Kinabalu.

Memulakan kuliah pada malam minggu, beliau mengungkapkan betapa ilmu Allah SWT yang sangat luas dan tidak dapat terjangkau oleh akal fikiran manusia. Justeru ilmu pengubatan Islam yang diturunkan oleh Allah SWT melalui al-Quran dan lidah Rasulullah SAW adalah sebahagian kecil daripada ilmu Allah. Meskipun demikian katanya, meski ilmu-ilmu terlalu luas dan banyak, haram umat Islam mempelajari ilmu sihir dan mengamalkannya.

Menurut beberapa kajian yang dilakukan sama ada di dalam atau di luar negara, keseluruhannya menemui wujudnya kaedah pembelajaran sihir dengan terlebih dahulu dikenakan syarat yang amat ketara merosakkan aqidah Islamiah, antaranya :

1) Menggunakan al-Quran kecil yang sengaja diletakkan di tumit kasut untuk dipakai selama tujuh hari;

2) Menulis ayat tertentu daripada al-Quran dengan darah haid untuk dijadikan tangkal azimat;

3) Membawa al-Quran ke dalamtandas dan membacanya ketika membuang air besar atau kecil;

4) Memijak al-Quran dengan menjunjung azimat yang diperbuat daripada rajah-rajah dan angka-angka tertentu;

5) Berzikir dengan perkataan-perkataan yang tidak diketahui bahasanya dan tidak diketahui maknanya (berkemungkinan memuja nama-nama syaitan);

6) Menyembelih kambing atau ayam atau merpati hitam dengan menyebut perkataan-perkataan tertentu dan dilarang menyebut nama Allah SWT;

7) Membunuh orang Islam untuk diambil darahnya dan dipuja bagi tujuan menjamu makhluk halus.

Setelah dipenuhi beberapa syarat seperti yang dicontohkan tadi, barulah diajarkan jampi mantera yang tidak diketahui maksudnya. Masyarakat Islam di Malaysia rata-rata mengambil ringan dengan menganggap bahawa menemui ahli sihir sama saja seperti menemui doktor atau tabib dengan tujuan berikhtiar mencari kesembuhan. Jadi antara pengajian dalam Darussyifa ini ialah mendedahkan kesesatan sihir dan menjelaskan ilmu pengubatan Islam yang sebenar.

%d bloggers like this: