Sebenarnya selain menghadiri acara-acara rasmi seperti kuliah, ceramah dan seumpamanya bersama tokoh agama tertentu, peluang bersama mereka di luar sesi berkenaan sudah tentu memberi kenangan manis kepada mereka yang mengalaminya. Bahkan ia juga kesukaan bagi mereka yang dapat bertemu dengan mana-mana selebriti atau tokoh siasah tertentu secara khusus dan lebih peribadi.

Menjadi penyambut di lapangan terbang, menjadi pemandu sepanjang program, pelayan ketika makan minum, tolong menuntun ketika turun dan naik tangga, membawakan beg atau barang kepunyaan tokoh berkenaan, menjadi kenangan yang akan diingati sampai bila-bila. Itulah sikap manusia. Apatah lagi bagi orang mutadayyin akan berasa untung dapat berkhidmat kepada alim ulama’ walaupun hanya sebentar atau sedikit.

Saya rakamkan beberapa foto kenangan bersama Ybhg Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din dan keluarganya sepanjang sehari semalam di Kota Kinabalu di luar sesi kuliah Darussyifa’, terutama di Masjid Negeri Sabah dan Terminal 1, LTAKK. Sahabat saya Ustaz Haji Sahrum Samlan dan Murtadha Mansar turut membawakan bayi kecil mereka di LTAKK untuk diminta tahnikkan kepada tuan guru.