Tag Archive: Indahnya Hidup Bersyariat


Tarikh : 14 September 2015

Lokasi : Surau ar-Rahman, MTQQNS

Kuliah mingguan Indahnya Hidup Bersyariat sudah tiba pada bab Haji. Kami memutuskan bersama untuk praktikal memakai pakaian ihram setelah membaca teori tentangnya. Semoga pelajar kami mendapat ilmu tentangnya dan diberi rezeki satu masa nanti untuk menunaikan ibadah haji dan umrah.


IMG-20150814-WA0147 IMG-20150814-WA0148 IMG-20150814-WA0150 IMG-20150814-WA0151 IMG-20150814-WA0153

Tarikh : 8-10 Jun 2015

Terima kasih kami ucapkan kepada tuan puan yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk membeli kitab Indahnya Hidup Bersyariat menggunakan wang tuan puan yang disumbangkan sebelum ini. Sejumlah 40 naskhah dibeli dari Pustaka Aslam, Bazar al-Mubarak Masjid Bandaraya dan juga di Golden Quality Wisma MUIS.

Pada 9 dan 10 Jun telah saya sampaikan kepada siswa siswi baharu untuk digunakan dalam kuliah maghrib di surau ar-Rahman MTQQNS. Kami mendoakan agar pahalanya berpanjangan buat yang menyumbang. Amin!

20150608_153154 20150608_170725 20150609_125015 20150609_125028 20150610_123148

Antara lokasi kuliah yang saya gemari. Masjid Kg Sembulan Lama mempunyai jamaah yang ramai, tidak kurang 100 orang yang solat berjamaah maghrib, dan kuliah dihadiri semakin ramai khususnya apabila menjelang jam 7 ke atas. Kuliah di sini menggunakan kitab Indahnya Hidup Bersyariat buah tangan Ybhg Ustaz Dato’ Haji Ismail Kamus.

Masjid Kg Sembulan (1) Masjid Kg Sembulan (2) Masjid Kg Sembulan (3) Masjid Kg Sembulan (4) Masjid Kg Sembulan (6)

IHB @ Masjid Kg Muhibbah

Rasanya ada 3-4 tahun kuliah kami berjalan di Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah Petagas menggunakan buku Indahnya Hidup Bersyariat hasil tulisan Ybhg Dato’ Ustaz Haji Ismail Kamus, pendakwah yang sangat saya minati. Ini buku kedua kuliah saya di masjid ini selepas buku Hadith 40 yang juga memakan masa bertahun.

Kebetulan ini minggu terakhir kuliah sebelum masuk bulan Ramadhan, kami mengambil masa sehingga jam 8.30 malam untuk baca lebih kali ini. Setinggi kesyukuran akhirnya dapat menamatkan bacaan buku ini semoga ada pahala hasil ilmu dan amal soleh sepanjang pengajian buku ini. Saya merancang untuk membaca buku lain selepas hari raya nanti.

Selain masjid ini, buku Indahnya Hidup Bersyariat juga kami baca di Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan (setiap isnin malam selasa), Masjid Kg Sembulan (setiap ahad malam isnin), Surau ar-Rahman Maahad Tahfiz Negeri Sabah (setiap jumaat malam sabtu) dan kuliah mingguan di Bank Rakyat Donggongon Penampang.

Indahnya Hidup Bersyariat

Alhamdulillah, seorang hamba Allah SWT yang budiman telah menghubungi saya untuk menyumbang sejumlah wang bagi membeli 30 buah buku ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ susunan yang berbahagia Ustaz Dato’ Haji Ismail Kamus.

Buku ini saya tempah melalui Pustaka Aslam yang beroperasi di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu dan bakal dimanfaatkan untuk kuliah maghrib mingguan di surau Maahad Tahfiz setiap jumaat. Buku sebanyak 30 buah ini akan diserahkan kepada kumpulan siswa siswi baru maahad yang baru mendaftar tempoh hari.

Bagi pihak maahad, saya mengucapkan penghargaan kepada penyumbang tersebut, semoga Allah SWT menerima amal jariahnya dan mengurniakan pahala yang tidak putus-putus sehingga hari kiamat.

20130510_144942

Sebagainya saya catatkan beberapa hari sudah, kami sudah menerima hampir 30 siswa siswi baru untuk memulakan penghidupan baru di Maahad Tahfiz al-Quran wal Qiraat Negeri Sabah. Seperti juga tahun lalu, saya ada mencatatkan lewat blog ini permohonan sumbangan buku tersebut di atas : ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ yang akan digunakan dalam siri kuliah maghrib setiap jumaat malam sabtu.

Justeru tahun ini saya berbesar hati memberi peluang sahabat-sahabat pembaca setia blog Abu Nuha Corner untuk menginfaqkan sedikit wang bagi membeli 30 buah buku yang dimaksudkan. Buku ini akan diagihkan kepada siswa siswi baru dan menjadi rujukan dalam kuliah berkenaan. Kuliah dijangka akan bermula 2 minggu daripada sekarang.

Sebuah buku berharga RM50.00 sahaja. Yang berminat untuk menyumbang boleh pm ke facebook saya : Muhammad Akmal Othman.

Bank Rakyat Penampang

 

Tarikh : 11 April 2013 (Khamis)

Tempat : Bank Rakyat Penampang

Setelah beberapa bulan mengaji bab solat dalam buku Indahnya Hidup Bersyariat, kami mengadakan sesi khas praktikal solat. Seorang staf tampil ke hadapan sebagai model bagi menggayakan pergerakan solat bermula daripada cara berdiri betul sehinggalah menoleh ketika salam akhir.

Sementara bacaan-bacaan wajib dan sunat dibaca beramai-ramai secara jahar. Sebelum ini kami sama-sama belajar rukun solat, perkara sunat ab’adh dan sunat hai’ah, tidak ketinggalan perkara membatalkan solat. Insya Allah dalam sesi akan datang kami akan cuba pula teknik solat berjamaah dan solat ketika sakit. Mudah-mudahan diberi kesempatan.

SEDEKAH YANG MENGALIR

Beberapa minggu sudah saya ada mempromosi kempen wakaf buku ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ tulisan Ybhg Ustaz Dato’ Haji Ismail Kamus terbitan Telaga Biru. Kempen wakaf saya lancarkan kepada teman-teman facebook saya untuk kegunaan siswa siswi Maahad Tahfiz al-Quran Wal Qiraat Negeri Sabah. Saya memanfaatkan buku ini dalam siri kuliah maghrib jumaat malam sabtu. Malam ini sudah kali keempat, alhamdulillah.

Apabila dilancarkan tempohari, kurang 48 jam saya sudah menerima sejumlah wang untuk 37 buah buku berkenaan. Terlebih sedikit berbanding jumlah siswa siswi hafiz dan hafizah yang sedang belajar ketika ini. Saya menutup sementara kempen wakaf buku ini sehingga pelajar sesi baru nanti pada bulan April 2012 Insya Allah. Sebelum ini saya sudah mengambil sebahagian buku di Pustaka Aslam dengan harga yang istimewa dan bakinya saya ambil petang tadi kerana stok buku baru sampai dari Kuala Lumpur.

Beberapa ketika selepas kempen wakaf saya tutup, ada seseorang menghubungi bertanya peluang hendak berwakaf buku lagi. Saya katakan buat masa ini sudah memadai, tetapi kalau beliau berhajat juga, saya hendak meminta yang lain sebagai ganti bahan waqaf. Setelah beliau bersetuju, saya nyatakan kami memerlukan rehal meja untuk warga maahad membaca al-Quran, meletak buku rujukan ketika kuliah maghrib dan sebagainya.

Pendeknya, beliau bersetuju dan berjanji untuk mengusahakan sesuatu. Saya hanya bayangkan kalau beliau dapat menyumbang 4-5 buah rehal sebagai ganti nilai buku Indahnya Hidup Bersyariat. Beberapa hari kemudian, beliau memaklumkan sudah berkempen kepada kawan-kawannya dan dapat mengumpulkan sejumlah wang yang dapat membeli hampir 40 buah rehal meja. Alhamdulillah. Kini sebahagian wang yang dibank-in sudah dibelikan dengan rehal berkenaan dan sebahagian lagi masih menanti stok kedai berkenaan yang sudah kehabisan.

Bagi pihak semua siswa siswi hafiz hafizah di Maahad ini saya mengucapkan setinggi penghargaan kepada semua penyumbang. Insya Allah selama buku ini dimanfaatkan sama ada untuk dipelajari dan diamalkan atau diguna sebagai rujukan dan bahan mengajar, ada pahala yang mengalir ke dalam akaun mereka. Mudah-mudahan Allah membalas dengan harta yang mereka sumbangkan dan seterusnya memberkati harta yang masih berbaki bersama mereka.

Oh ya, satu lagi. Kuliah saya berlangsung setiap jumaat malam sabtu selepas solat maghrib di Surau Maahad Tahfiz, Kepayan. Sahabat-sahabat dari luar, turut serta dijemput hadir.

Beberapa bulan lepas ada wakil dari Masjid Sembulan bertemu dan memujuk agar saya turut berkuliah di masjid mereka. Saya senyapkan saja kerana berharap kawan-kawan yang lebih hampir tinggal di kawasan sana dapat mengisi ruang kosong berkenaan. Namun sesudah beberapa bulan, nampaknya ia terbiar kosong dan saya pula sudah mempunyai sedikit kelapangan pada waktu maghrib.

Sebelum ini jumaat malam sabtu yang lama kosong saya gantikan dengan kuliah di Surau Maahad Tahfiz al-Quran, di Kepayan. Barangkali lebih setahun kosong setelah sebelum itu saya berkuliah di Surau Taman Olivia, juga di Kepayan. Kini ahad malam isnin sudah terisi semula dengan bermulanya kuliah maghrib di Masjid Kg Sembulan Lama pada ahad lepas. Mungkin hampir 2 tahun bercuti kuliah ahad malam isnin kerana dahulunya waktu itu terisi dengan kuliah di Surau Taman Limauan Kinarut dengan kuliah tafsir.

Kini tinggal sabtu malam ahad yang masih kosong walaupun sebenarnya ada wakil-wakil masjid yang meminta saya mengisi kuliah di tempat mereka. Ada yang sudah saya tolak kerana memikirkan jarak yang jauh dan di tempat berkenaan ada sahabat-sahabat yang lebih hampir. Ada pula yang saya masih minta waktu untuk berfikir kerana beberapa sebab lain.

Masjid Kg Sembulan Lama, memang menyimpan banyak sejarah penting buat perkembangan Islam di Sabah. Saya dimaklumkan masjid ini wujud sejak tahun 1958 lagi dan mengalami proses pembaikan dan pemulihan beberapa kali di tapak yang sama yang ada sekarang. Sejak Sabah merdeka pada 1963 ia diiktiraf sebagai Masjid Negeri. Kata orang pada 60an dan 70an hanya ada 3 masjid di sekitar Kota Kinabalu iaitu di Tanjung Aru, Sembulan dan Likas, sebelum kewujudan Masjid Negeri Sabah yang ada sekarang.

Ketika Masjid Sembulan berfungsi sebagai Masjid Negeri, khabarnya ramai para alim ulama’ dan perwakilan asing dari Asia Tenggara dan Timur Tengah datang solat di sini. Saya dimaklumkan oleh orang-orang tua di sini bahawa Pak HAMKA pernah ke masjid ini. Begitu juga Pak-Pak Arab Kedutaan Asing yang menunaikan solat jumaat di sini. Fungsinya sebagai Masjid Negeri terhenti apabila bangunan Masjid Negeri Sabah yang ada sekarang mula digunakan sekitar tahun 1976.

Justeru, saya berbesar hati untuk mengisi satu kuliah di sini, ahad malam isnin, sekali lagi dengan menggunakan buku Indahnya Hidup Bersyariat tulisan Ustaz Ismail Kamus.  Harapnya jamaah masjid akan membeli dan mendapatkan buku ini demi kebaikan bersama. Saya menyertai siri kuliah di sini yang terlebih dahului diterokai oleh Ustaz Haji Mohd Mursal Muchtar dan Ustaz Mohd Jumat Abdul Razak. Insya Allah, mulai minggu hadapan, kami akan bersama-sama mengupas buku ini.

KURANG 48 JAM

Ceritanya bermula 2 minggu lalu apabila siswa-siswa Ma’ahad Tahfiz Sabah meminta saya memberi sedikit tazkirah  selepas solat fardhu maghrib di surau ar-Rahman. Sesudah isyak kami berbincang santai agar satu sesi kuliah maghrib secara tetap diadakan, kerana di surau mereka tidak ada langsung pengisian kuliah maghrib. Maka saya ada mencadangkan kuliah maghrib jumaat malam sabtu dengan memilih buku ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ yang terkenal itu.

Lewat facebook peribadi saya, baru-baru ini saya lancarkan sumbangan buku ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ untuk sebanyak 30 buah buku – berdasarkan jumlah siswa siswi huffaz yang ada sekarang di maahad berkenaan. Alhamdulillah, saya menerima sokongan dan dukungan yang agak mengejutkan juga daripada teman-teman facebook, menunjukkan kesedaran untuk menyumbang dan mengembangkan harta mereka ke jalan yang diridhai oleh Allah SWT.

Dalam tempoh kurang 48 jam, saya menerima sejumlah wang yang mencukupi – bahkan melebihi daripada apa yang kami perlukan. Jumlah wang yang diterima telah membolehkan saya membeli sejumlah 40 buah buku berkenaan untuk digunakan oleh para siswa dan siswi tahfiz kami. Semua penyumbang adalah teman-teman facebook saya, antaranya seorang pegawai bank, seorang pensyarah kolej swasta, seorang peguam, dan seorang muallaf yang menyumbang sejumlah wang untuk 30 buah buku.

%d bloggers like this: