Archive for 29 Januari 2012


FACEBOOK MASJID

Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi semakin melebar di dunia maya. Teknologi ini meski didahului oleh orang bukan Islam sekalipun, orang beriman tetap layak bahkan lebih utama memanfaatkannya apatah lagi untuk mempelbagai dan melebarkan jaringan dakwah. Kebijaksanaan mesti dicapai oleh orang beriman agar dakwah tersebar kepada sasarannya.

Masjid bukan saja untuk orang tua. Bukan saja untuk orang pencen. Bukan saja untuk orang yang sudah pergi haji. Bukan hanya untuk solat jumaat. Bukan hanya untuk ceramah sempena tahun baru hijrah atau maulid nabi SAW. Bukan hanya sebulan ramadhan. Sebagaimana masjid yang dibina oleh Rasulullah SAW dan para sahabat, masjid adalah pusat aktiviti masyarakat, pusat pemerintahan, kebudayaan, muamalah, dakwah Islamiah, aktiviti kebajikan dan pendidikan umat Islam. Pokoknya masjid berfungsi hampir dalam seluruh bidang dan masa.

Saya ada berbincang dengan orang kuat beberapa buah masjid dan surau akan peranan yang sepatutnya dimainkan oleh jamaah mereka. Antaranya ialah mengukuhkan struktur dan gerakerja JK masjid. Mereka bukan hanya berfungsi apabila ada acara rasmi atau mesyuarat sahaja, atau memang rajin solat berjamaah tetapi tidak tahu berorganisasi. Maka JK masjid yang dinamik dan berkaliber, akan dapat merancang dan melaksanakan aktiviti dengan baik dan cemerlang.

Selain JK masjid, imam masjid – seperti imam qaryah atau imam rawatib mestilah juga berfungsi tidak sekadar mengetuai dan memimpin solat atau tahlil dan seumpamanya. Imam berperanan bukan sahaja di dalam masjid bahkan di dalam masyarakatnya, bahkan sepatutnya menjadi rujukan masyarakat meminta nasihat dan panduan seperti dahulu di mana imam adalah segala-galanya masyarakat menumpahkan kepercayaan kepadanya. Justeru para imam wajar meningkatkan pengetahuan mereka sepanjang masa.

Di sesetengah tempat kita, masjid dan surau bukanlah pilihan sebahagian golongan masyarakat. Bukan salah masjid, tetapi mungkin di sana serba sedikit kesilapan pengurusan, pentadbiran atau orang-orang tertentu. Usaha-usaha memasyarakatkan masjid dan memasjidkan masyarakat perlu digiatkan. Sementara usaha-usaha untuk memonopoli masjid dengan niat yang salah patut dihentikan.

Perlu difikirkan bagaimana atau apa program yang sesuai agar kanak-kanak cinta masjid? Apa pengisian yang sesuai agar golongan remaja dan belia agar sayang masjid? Apa aktiviti yang sesuai kepada golongan kaum ibu agar mereka sukakan masjid? Masjid tidak boleh dilihat sebagai untuk golongan lelaki berumur pencen atau hampir-hampir pencen saja. Masjid untuk semua.

Bukan semua minat dengan aktiviti ceramah dan kuliah. Jadi pendekatan lain mesti digunakan untuk mendekatkan mereka dengan masjid dan akhirnya mereka terpaut dengan aktiviti keagamaan itu. Untuk memasarkan aktiviti masjid, bukan setakat bergantung dengan pengumuman sebelum azan jumaat, atau iklan ditampal di papan kenyataan masjid sahaja. Iklan dipasarkan melalui saluran-saluran baru yang lebih diminati oleh remaja dan orang muda sekarang. Paling menjadi tumpuan ialah facebook.

Justeru, masjid-masjid dan surau-surau wajar mewujudkan akaun facebook masjid masing-masing melalui jamaah-jamaah yang aktif dalam bidang ICT juga. Beberapa masjid dan surau ketika kuliah saya berlangsung telah saya cadangkan perkara ini. Di sekitar Kota Kinabalu, antara masjid yang sudah menyediakan akaun facebook (menurut nama rasmi di fb berkenaan) ialah

1) Masjid Negeri Sabah;

2) Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah;

3) Masjid Bandaraya Kota Kinabalu;

4) Syukbah Wanita Masjid Bandaraya;

5) Masjid Sembulan Kota Kinabalu;

6) Masjid Al-Kauthar, Tanjung Aru, KK;

7) Masjid Al-Falah Kg Tebobon;

8) Masjid Tun Ahmadshah, Inanam Laut;

9) Masjid Al-Hilal (Mosque);

10) Masjid KG Taun Gusi;

11) Masjid Al-Mahabbah;

12) Masjid Assalam, Kampung Contoh;

13) Wakaf Masjid Penampang, Sabah;

14) Masjid Daerah Papar;

15) Surau Riyadhusolihin Taman Austral;

Yang berminat untuk sertai facebook masjid atau surau berkenaan, boleh tulis nama-nama masjid atau surau berkenaan di kotak carian facebook masing-masing. Kemudian berbincanglah dengan menjaga adab dan akhlak Islam.

Sumber : http://jomfaham.blogspot.com/2009/09/apakah-hukum-suatu-perkara-yang-tidak.html

Soalan :

Apakah hukum suatu perkara yang tidak terdapat nas bagi menunjukkan haram atau halalnya perkara tersebut?

Jawapan :

Hukum tersebut adalah harus dan tidak bid’ah, kerana ALlah subahanahu wa ta’ala telah berfirman :

وَمَآ ءَاتَٮٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَہَٮٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْ‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ‌ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ

Ertinya : Apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya). (Surah al-Hasyr : Ayat 7)

ALlah Subahanahu wa ta’ala tidak berfirman, “Apa yang ditinggalkan, maka hendaklah kamu tinggalkan”. Sebaliknya RasuluLLah sallaLLahu ‘alaihi wasallam menjelaskan melalui riwayat daripada Abu Darda’ radiyaLlahu ‘anhu yang bererti :

“Apa yang dihalalkan oleh Allah di dalam KitabNya, maka ia adalah halal. Apa yang diharamkan oleh ALlah, maka ia adalah haram. Apa yang disenyapkan (didiamkan) darinya (yang tidak disebut hukumnya), maka ia adalah dimaafkan (diharuskan). Terimalah daripada ALlah akan kemaafanNya (keharusanNya) kerana sesungguhnya ALlah tidak pernah melupai sesuatu. Kemudian Baginda sallaLLahu ‘alaihi wasallam membaca (firman ALlah yang bermaksud:) Dan tidaklah Tuhan kamu itu lupa” (Diriwayatkan oleh al Bazzar dan disohihkan oleh al Hakim).

Menurut jumhur ulama’ “halal” itu adalah hukum asal sedangkan yang “haram” adalah sesuatu yang memiliki nas kerana sedikitnya, oleh kerana itu, ia harus diteliti dengan saksama.  Di sebut dalam Matan al Arba’in li Imam an Nawawi : Hadith RasuluLlah yang bererti :

“Sesungguhnya ALlah subahanahu wa ta’ala telah menetapkan kepadamu beberapa kefardhuan maka janganlah kamu melalaikannya dan menetapkan untukmu beberapa batasan maka janganlah kamu melampauinya dan mengharamkan atas kamu beberapa perkara, maka janganlah kamu melanggarnya dan juga telah mendiamkan beberapa perkara sebagai rahmat untukmu, bukan kerana lupa. Maka janganlah kamu membicarakannya.”

Al Hafiz Ibnu Hajar berkata dalam al Fath : Riwayat ini dikeluarkan oleh Daraquthi dari hadith Abi Tsa’labah dan dia memarfu’kannya kemudian dia berkata : Riwayat ini asalnya ada dalam al Bukhari.

Sumber rujukan :

1. Quran Explorer

2. Al Allamah Abu AbduLLah ‘Alawi al Yamani, Intabih diinuka Fi Khatrin, Agamamu Dalam Bahaya, Terjemahan Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki, Cetakan Kedua, Sofa Production, Selangor.

3. Dr Muhammad Adil Azizah Al Kayali, Al Firqah An Najiah Hia al Ummatul Islamiyah Kulluha, Terjemahan Abu Al Fayadi, Cetakan Pertama 2008, Mutiara Ilmu, Surabaya.

%d bloggers like this: