Archive for 1 Januari 2012


JADI DRIVER YB

Ketika YB Dato’ Seri Mohd Nizar Jamaluddin diamanahkan sebagai Menteri Besar Perak selepas PRU 2008, saya pernah bertemu dengan beliau dalam satu acara rasmi Lajnah Tashih al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN) makan malam dan pihak beliau menyampaikan cenderakenangan kepada kami setiap seorang. Foto saya menerima cenderahati daripada beliau, saya gantung di rumah sebagai kenang-kenangan.

Jumaat lepas, hampir jam 10 pagi saya keluar rumah, berhajat untuk ke Kota Kinabalu bertemu dengan dua kawan yang lama tidak ditemui. Hendak dijadikan cerita,  saya dihubungi oleh seorang teman lain meminta saya terus ke Terminal 1 LTAKK. Setakat yang saya tahu, seorang ustaz iaitu Ustaz Nik Zawawi Salleh dari Terengganu akan tiba di Kota Kinabalu pagi berkenaan dan teman saya itulah yang akan menyambutnya.

Bagaikan menjadi rezeki saya pula yang kebetulan ketika itu berada di Petagas untuk bertemu Ustaz Nik Zawawi, saya terus meluru ke Terminal 1. Rupanya di Terminal 1, tidak lama kemudian keluar bersama Ustaz Nik Zawawi ialah YB DS Mohd Nizar dan Ustaz Idris Ahmad yang juga adik kepada SS Mufti Negeri Pulau Pinang Dato’ Hassan Ahmad. Rezeki sayalah pula membawa dan menjadi pemandu kepada YB Nizar dan Ustaz Idris tanpa dirancang ke satu lokasi untuk makan-makan tengahari sebelum mereka meneruskan perjalanan masing-masing. Ustaz Idris dan Ustaz Nik Zawawi kemudiannya ke Sandakan dan YB Nizar ke Sepanggar dengan orang lain pula.

Dalam keadaan spontan dan singkat, saya dapat bertanya beberapa perkara. Antaranya pendapat YB Nizar sebagai seorang IR berkenaan pembinaan jambatan antara Labuan ke Menumbok yang menjadi impian penduduk Labuan khususnya, yang menurut beliau kosnya sudah meningkat 4 kali ganda berbanding 15 tahun lalu ketika projek ini pernah diumumkan sekitar tahun 1996-1997. Beliau juga bercerita tentang kenangan kawan-kawannya yang berasal dari Sabah ketika sama-sama belajar dahulu.

Ini entri pertama pada tahun 2012.

Alhamdulillah, sudah 2 tahun rasanya tidak mengisi program di sini sejak saya diamanahkan kuliah tafsir setiap ahad malam isnin di Surau an-Nur Taman Limauan, Kinarut. Kiranya beberapa minggu sudah, timbalan pengerusi JK Surau, Ribbang Haji Ampong sudah menempah saya awal-awal dan saya bersetuju kerana terkenangkan jasa jamaah surau di sana.

Sebenarnya ada kesilapan di backdrop berkenaan. Ketiga-tiga kami yang tercatat adalah ahli panel forum manakala Sdr Ribbang bertindak sebagai moderator forum berkenaan. Ia berlegar tentang hijrah, azam, niat yang betul, cara menyambut tahun baru, dan masa depan umat Islam. Forum bermula lambat, iaitu sekitar jam 9 malam kerana didahului oleh ucapan Ketua Anak Negeri dan forum hanya berakhir jam 11 malam.

Saya terpaksa meninggalkan majlis sejurus forum berakhir walaupun ada acara lain yang diadakan penganjur. Majlis yang sangat baik khususnya untuk menjelaskan kepada masyarakat setempat tentang sambutan tahun baru. Cuma saya kira perlu ada lebih perbincangan di kalangan pimpinan surau, rukun tetangga dan lain-lain kerana, sejurus saya pulang, saya melalui gelanggang futsal kira-kira 100 meter dari surau berkenaan. Kehadiran di sana terutama anak-anak muda lebih ramai berbanding di surau, walaupun kehadiran di surau tidaklah terlalu mengecewakan.

%d bloggers like this: