Archive for 18 Januari 2012


KONVO BANGI-23

Istiadat Konvokesyen
Ijazah Perubatan Islam
Pusat Pengajian Bandar Baru Bangi
Persatuan Kebajikan dan Perubatan Islam Malaysia
Angkatan Bangi-23 (2011)

Tarikh : 8.1.2012 (Ahad)
Lokasi : IPGM Kampus Pendidikan Islam, Bangi, Selangor

Teruja melihat foto-foto dalam majlis Istiadat Kovensyen Ijazah Perubatan Islam, Darussyifa Bangi bagi kumpulan ke-23 pada 8 Januari lepas di Bangi. Satu demi satu negeri menamatkan kumpulan masing dan seterusnya memulakan kumpulan baru selepas itu. Sementara Darussyifa’ Sabah baru hendak menamatkan kumpulan pertama, insya Allah konvokesyen dijangka diadakan pada bulan mac akan datang.

Hujung minggu ini kami berkuliah dengan Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din, dan mungkin selepas itu ada 2-3 kali pertemuan lagi sebelum konvo berlangsung. Ujian lisan juga akan diadakan dalam tempoh itu menguji hafalan ruqyah kami pula.

Beberapa bulan lepas ada wakil dari Masjid Sembulan bertemu dan memujuk agar saya turut berkuliah di masjid mereka. Saya senyapkan saja kerana berharap kawan-kawan yang lebih hampir tinggal di kawasan sana dapat mengisi ruang kosong berkenaan. Namun sesudah beberapa bulan, nampaknya ia terbiar kosong dan saya pula sudah mempunyai sedikit kelapangan pada waktu maghrib.

Sebelum ini jumaat malam sabtu yang lama kosong saya gantikan dengan kuliah di Surau Maahad Tahfiz al-Quran, di Kepayan. Barangkali lebih setahun kosong setelah sebelum itu saya berkuliah di Surau Taman Olivia, juga di Kepayan. Kini ahad malam isnin sudah terisi semula dengan bermulanya kuliah maghrib di Masjid Kg Sembulan Lama pada ahad lepas. Mungkin hampir 2 tahun bercuti kuliah ahad malam isnin kerana dahulunya waktu itu terisi dengan kuliah di Surau Taman Limauan Kinarut dengan kuliah tafsir.

Kini tinggal sabtu malam ahad yang masih kosong walaupun sebenarnya ada wakil-wakil masjid yang meminta saya mengisi kuliah di tempat mereka. Ada yang sudah saya tolak kerana memikirkan jarak yang jauh dan di tempat berkenaan ada sahabat-sahabat yang lebih hampir. Ada pula yang saya masih minta waktu untuk berfikir kerana beberapa sebab lain.

Masjid Kg Sembulan Lama, memang menyimpan banyak sejarah penting buat perkembangan Islam di Sabah. Saya dimaklumkan masjid ini wujud sejak tahun 1958 lagi dan mengalami proses pembaikan dan pemulihan beberapa kali di tapak yang sama yang ada sekarang. Sejak Sabah merdeka pada 1963 ia diiktiraf sebagai Masjid Negeri. Kata orang pada 60an dan 70an hanya ada 3 masjid di sekitar Kota Kinabalu iaitu di Tanjung Aru, Sembulan dan Likas, sebelum kewujudan Masjid Negeri Sabah yang ada sekarang.

Ketika Masjid Sembulan berfungsi sebagai Masjid Negeri, khabarnya ramai para alim ulama’ dan perwakilan asing dari Asia Tenggara dan Timur Tengah datang solat di sini. Saya dimaklumkan oleh orang-orang tua di sini bahawa Pak HAMKA pernah ke masjid ini. Begitu juga Pak-Pak Arab Kedutaan Asing yang menunaikan solat jumaat di sini. Fungsinya sebagai Masjid Negeri terhenti apabila bangunan Masjid Negeri Sabah yang ada sekarang mula digunakan sekitar tahun 1976.

Justeru, saya berbesar hati untuk mengisi satu kuliah di sini, ahad malam isnin, sekali lagi dengan menggunakan buku Indahnya Hidup Bersyariat tulisan Ustaz Ismail Kamus.  Harapnya jamaah masjid akan membeli dan mendapatkan buku ini demi kebaikan bersama. Saya menyertai siri kuliah di sini yang terlebih dahului diterokai oleh Ustaz Haji Mohd Mursal Muchtar dan Ustaz Mohd Jumat Abdul Razak. Insya Allah, mulai minggu hadapan, kami akan bersama-sama mengupas buku ini.

%d bloggers like this: