Archive for 6 Januari 2012


Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan

Allah SWT menentukan dalam peraturannya sejak azali lagi bahawa mereka yang mendukung perjuangan Islam sejak zaman Nabi-nabi dan Rasul akan menghadapi proses ujian sebagaimana firman Allah SWT (bermaksud) :

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata : “Kami beriman” sedangkan mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?  Demi sesungguhnya Kami telah menguji orang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui oleh Allah tentang orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang yang berdusta”. (al-Ankabut 2-3).

Firman Allah SWT lagi (bermaksud) :

“Dan Kami menghendaki bahawa Kami akan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang yang mewarisi (memerintah bumi ini).” (al-Qasas : 5)

Ayat ini menceritakan kisah Nabi Musa dan kaumnya yang berhadapan dengan kerajaan yang dipimpin oleh Fir’aun yang paling zalim dalam sejarah manusia. Fir’aun memperhambakan kaum Bani Israil serta mengabdikan orang yang beriman. Dia membunuh anak-anak lelaki yang dilahirkan. Nabi Musa tidak pernah menyerah kalah. Akhirnya Allah SWT memberikan kemenangan kepada agama-Nya, manakala Fir’aun dibinasakan oleh Allah SWT bersama bala tenteranya.

Allah SWT menunaikan janjinya kepada Rasulullah SAW dengan berlakunya peristiwa hijrah. Segala adat jahiliyyah dan berhala dihapuskan di Semenanjung Tanah Arab. Pada zaman Khulafa’ ar-Rasyidin, dua kuasa besar dunia iaitu Parsi dan Rom ditumbangkan. Allah SWT tetap menguji orang yang beriman kerana Islam adalah agama yang mengalami pasang surut kemenangan. Firman Allah :

“Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa kemenangan dan kekalahan) Kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran)”. (Ali Imran : 140)

Oleh sebab itu kita jangan lemah semangat, jangan hilang kekuatan iman dengan ujian yang melanda umat Islam. Umat Islam juga dilanda penyakit cintakan dunia dan bencikan mati. Ada ahli ilmu Islam yang sanggup menjual agamanya dengan pangkat dan kesenangan dunia. Mereka takut mengharamkan perkara yang diharamkan oleh Allah SWT dan takut menyatakan wajib pada perkara yang diwajibkan oleh Allah SWT.

Sekolah Menengah Agama Toh Puan Hajjah Rahmah Kota Kinabalu terus mencatatkan keputusan cemerlang dalam PMR 2011 apabila 5 orang pelajarnya mendapat keputusan 9A dalam semua mata pelajaran, 2 orang mendapat 8A, 2 orang lagi mendapat 7A serta 11 orang memperolehi 6A hingga ke 5A.

Pelajar yang mendapat 9A ialah Assaiyidah Aisyah bt Saipuddin, Fiqriyah bt Mohd Kunarto, Mohammad Hafiz bin Hawaji, Sofiyyah bt Sarudin dan Satria bin Ali. Manakala dua orang yang mendapat 8A ialah Mohd Firdaus bin Azmih dan Noraisyah Syafiqah bt Yaakub. Seterusnya mereka yang mendapat 7A ialah Amira Athirah bt Hamjah dan Mohd Nur Syafiee bin Ag Juri.

Pengetua sekolah Tuan Haji Awang Omar Haji Pengiran Gana mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang memperolehi keputusan cemerlang dan kepada semua guru yang mengajar mata pelajaran dalam PMR 2010. Beliau berkata, kesungguhan guru dan pelajar berusaha untuk mencapai visi sekolah sebagai faktor utama kejayaan tersebut. Begitu juga kerjasama dan doa ibu bapa yang tidak henti-henti demi kemajuan anak-anak dan sekolah berkenaan.

Menyatakan rasa penuh kesyukuran kepada Allah, beliau turut merakamkan ucapan berbanyak terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Yayasan Sabah yang terlibat dalam menyumbang ke arah kejayaan tersebut.