Khatib : Khairul Anwar Bin Abd Razak

Lokasi : Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah

Ibn Kathir di dalam kitabnya Tafsir Ibn Kathir menyatakan bahawa: perkataan toyyiba itu membawa maksud baik, bermanfaat dan elok dari segi tabiat dan syarak . Thoyyiba merangkumi dua perkara iaitu soal fizikal dan kerohanian. Ia mestilah selari dengan syariat, tidak bercanggah dan disertai dengan keikhlasan kepada Allah SWT. Makanan yang halal di sisi syara’ adalah makanan yang bersih zatnya, suci kaedah perolehannya serta bebas dari sebarang kemudharatan, sebaliknya sesuatu makanan yang haram sekalipun lazat rasanya, harum baunya tetap keji di sisi Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Wahai orang yang beriman, makanlah barang yang bersih daripada apa yang kami kurniakan kepada kamu (Hadith Riwayat Muslim).

Oleh yang demikian sebagai seorang Islam samada pengusaha makanan halal dan individu hendaklah mengambil kira setiap perkara samada dari segi modal perniagaan, pelaburan, hasil pendapatan dan hendaklah dijauhi dari unsur-unsur yang haram seperti judi, riba, rasuah dan sebagainya.

Ajaran Islam amat menitikberatkan persoalan makanan yang halal dan bersih kepada umatnya. sesuatu makanan yang haram dimasukkan ke dalam tubuh seseorang akan membawa kepada kesan yang mendalam kepada tingkah laku, budi pekerti, kejernihan hati nurani dan penerimaan doa yang dipanjatkan kehadrat Allah SWT. Panduan pemakanan di dalam Islam adalah berlandaskan konsep “memberi kemudahan, menjaga nyawa, menjamin kesihatan tubuh badan dan akal”. Kerana itu setiap makanan yang memberi manfaat kepada tubuh badan dan akal fikiran adalah dibenarkan oleh syarak, manakala yang haram dan memudharatkan fikiran serta badan diharamkan dan ditegah.

Seorang ulama terkenal Abdullah Sahl al-Tusturi berkata: “Sesiapa yang makan makanan haram, maka akan bermaksiatlah anggota tubuhnya sama ada atas kehendaknya atau tidak, sama ada dia tahu atau tidak dan sesiapa yang makan makanan yang halal, maka seluruh anggota tubuhnya akan tunduk taat dan mudah melaksanakan kebajikan. Berdasarkan kepada pandangan ini menunjukkan bahawa pemakanan halal mempunyai kedudukan yang penting dalam kehidupan di dunia ini dan berkait rapat dengan balasan hari akhirat.

Dalam perkembangan semasa juga ada dari kalangan peniaga yang tidak bertanggungjawab dengan memperdayakan pengguna seperti permalsuan logo halal, menggunakan logo halal pada produk yang haram. Walaupun matlamat perniagaan untuk mencari rezeki dan mendapat keuntungan namun soal keberkatan dan keikhlasan tidak boleh diketepikan atau dipandang remeh. Justeru mereka yang melakukan penipuan ini sebenarnya telah mengkhanati masyarakat Islam dan telah melakukan amalan syaitan yang menyesatkan.

Berdasarkan kepada keperluan ini dan keperihatinan pemerintah maka dikuatkuasakan Akta Perihal Dagangan 2011. Melalui akta ini terdapat dua perintah yang menerangkan aspek halal iaitu Perintah Perihal Dagangan (Takrifan Halal) 2011 dan Perintah Perihal Dagangan Perakuan dan Penandaan Halal 2011 yang berkuatkuasa mulai 1 Januari 2012.

Perlaksanaan Akta Perihal Dagangan 2011 ini adalah untuk membantu kelancaran perlaksanaan persijilan halal di negara kita, justeru kepada semua pihak yang terlibat hendaklah mengikuti segala prosedur, standard dan segala aspek yang ditetapkan dalam persijilan halal. Kewujudan akta ini antara lain ialah bagi memastikan jaminan tanda halal hanya dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama yang berautoriti, bagi memastikan integriti halal terjamin sepanjang masa.

Walaubagaimanapun perlu diingatkan dalam keghairahan kita membicarakan tentang halal samada dari segi akta, sistem kualiti dan pengurusannya, janganlah kita lupa bahawa rujukan sebenar halal dan persijilan halal hendaklah berdasarkan kepada syariah Islam sebagai ukuran yang mutlak.