Archive for 10 Januari 2012


MASTER CHEF MALAYSIA AKHIR

Sumber : http://www.astro.com.my/masterchef/

Doktor Ezani Farhana Md Monoto, Doktor Gigi muda yang berasal dari Kajang, Selangor telah dinobatkan sebagai Juara MasterChef Malaysia yang pertama. Ezani yang berusia 26 tahun ini telah menewaskan pencabar terdekatnya, Wahidan yang berusia 42 tahun dalam Santapan Penamat MasterChef Malaysia. Ezani membawa pulang sebuah trofi, wang tunai berjumlah RM100,000 dan peluang menerbitkan buku masakan sendiri.

Finalis MasterChef Malaysia iaitu Ezani dan Wahidan telah berentap dalam cabaran terakhir yang diadakan di dapur MasterChef Malaysia. Dalam cabaran ini, mereka dikehendaki menyediakan 3 hidangan untuk 40 tetamu yang terdiri daripada chef-chef professional dan chef-chef selebriti yang pernah hadir ke dapur MasterChef Malaysia.

Dalam cabaran ini juga, mereka dikejutkan dengan kehadiran 18 peserta MasterChef Malaysia yang telah tersingkir sebelum ini untuk membatu Wahidan dan Ezani. Tetapi bukan semua dapat membantu mereka, hanya 10 peserta sahaja akan dipilih oleh Wahidan dan Ezani iaitu 5 orang bagi setiap finalis untuk membantu.

Wahidan telah memilih Amita, Zamir, Danial, Deena dan Shahriah manakala Ezani memilih Brian, Felix, Ary, Azilah dan Imelda. Pembantu-pembantu ini hanya boleh melakukan tugas yang diarahkan oleh Ezani dan Wahidan dan tidak boleh membantu dalam pembikinan menu. Pembantu akan dikeluarkan sekiranya melanggar syarat ini.

Sebelum cabaran bermula, 15 minit telah diberikan kepada finalis untuk meneliti bahan yang terdapat di pantri dan 30 minit pula diberi untuk menyediakan menu untuk 40 tetamu ini. Wahidan telah memilih untuk menyediakan Udang dan Kekapis Diperap dengan Citrus sebagai pembuka selera, Ikan Merah Dengan Sos Bunga Kantan sebagai hidangan utama dan Fillo Kastard Krim Bersama Buahan Beri sebagai pemanis mulut manakala Ezani menyediakan Salad Nusantara Dengan Kekapis sebagai pembuka selera, Cutlet Bebiri Dengan Medley Sayur-Sayuran sebagai hidangan utama dan Kek Ubi Bit Berempah sebagai pemanis mulut.

3 jam diberikan kepada finalis untuk menyediakan kesemua hidangan yang telah dirancang. Segala kemahiran yang telah dipelajari sepanjang MasterChef Malaysia perlu digunakan sebaiknya untuk melaksanakan tugasan terakhir ini. Setiap chef yang merasa setiap hidangan perlu memberikan markah yang akan menentukan pemanang cabaran ini.

Sebelum Ezani diumumkan sebagai pemanang, satu sesi yang mengimbas kembali suka duka sepanjang perjalanan kesemua peserta MasterChef Malaysia diadakan. Ada yang ketawa dan tidak kurang pula yang menangis. Satu lagi kejutan diberikan apabila ahli keluarga Ezani dan Wahidan dibawa masuk ke dapur MasterChef Malaysia untuk sama-sama meraikan kedua-dua finalis.

Tahniah sekali lagi kepada Ezani atas kejayaan menjadi Juara MasterChef Malaysia yang pertama. Sudah pasti Ezani akan menjadi sumber inspirasi kepada sesiapa sahaja yang ingin menyertai MasterChef Malaysia musim akan datang. Tahniah juga kepada Wahidan yang berjaya mengangkat dirinya sebaris dengan tukang masak terkemuka di Malaysia.

WAHIDAN BIN HAJI AWANG SUPAIN

Umur: 42

Asal: Kinabatangan, Sabah

Pekerjaan: Pekebun

Hidangan Kegemaran: Makanan Halal

Lokasi Percutian Kegemaran: Menunaikan Umrah atau Haji di Mekah

Masakan Kegemaran Untuk Dimasak: Makanan Malaysia & Thailand

Pencuci Mulut Kegemaran: Aiskrim

Sweet or Savoury: Both

Chilli or Garlic: Both

Mengenali makanan dan erti memasak melalui ibunya yang tercinta, Wahidan menjadikan ibunya sebagai sumber inspirasi dan pembakar semangatnya untuk terus memasak dan berjaya dalam bidang yang diminatinya ini serta berjaya dalam MasterChef Malaysia. Pekebun yang berasal dari Sabah ini begitu meminati masakan Melayu dan Cina dan sering menggunakan kedua-dua jenis masakan ini sebagai pengaruh dan ikutan dalam memasak dan menyediakan hidangan yang lazat.

Pengendalian masakan mengikut sunnah oleh Selebriti Chef Sabri Hassan menarik minat Wahidan. Kemahiran Chef Sabri dalam pelbagai cabang kulinari dan pengalamannya menjadi chef VVIP juga menjadikan Chef Sabri sebagai chef kegemaran Wahidan. Wahidan yang berasal dari Kinabatangan ini ingin sekali menyediakan hidangan khas termasuk Sambal Tempoyak Durian Merah yang menjadi kegemaran Ahli Parlimen Kinabatangan, YB Datuk Bung Mokhtar Radin. YB Datuk juga menggemari masakan kampung.

Menjadi chef yang berjaya merupakan impian Wahidan. Beliau juga bercita-cita membuka restoran yang menyajikan masakan kampung terutamanya masakan tradisional yang berasal dari Sabah.

901