Tag Archive: Masjid Kg Sipanggil Putatan


Ustaz Haji Mohammad Ibrahim

Ustaz Haji Mohammad Ibrahim, imam rawatib di Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan memutuskan untuk balik ke Semenanjung Malaysia setelah berkhidmat di bumi Sabah lebih 40 tahun.

Beliau adalah guru agama kepada ramai orang, termasuk isteri saya pada zaman persekolahan dahulu. Ustaz Haji Mohammad berasal dari Melaka, melalui cerita lisan yang sampai kepada saya pernah serumah dengan guru kami Allahyarham Ustaz Haji Abu Bakar Omar (yang baru meninggal bulan oktober lepas) semasa tinggal bersama Allahyarham Ustaz Datuk Haji Mohammad bin Ahmad, Mufti Sabah ketika itu.

Ustaz Haji Mohammad sudah beberapa tahun bertugas sebagai imam di masjid ini, bahkan ketika masih di lokasi masjid (surau) lama yang masih wujud di kawasan yang sama di sini. Pada peringkat awal saya tidak mengetahui ketokohan beliau, beliau mendatangi saya ketika saya bertugas di Masjid Negeri Sabah – sekitar tahun 2005-2006 – untuk tasmik hafazan beberapa surah al-Quran.

Beberapa bulan kemudian saya jadi rasa terkedu apabila mendapat tahu beliau adalah orang lama dalam dunia dakwah di Sabah bahkan guru agama kepada isteri saya. Apabila saya berkuliah maghrib setiap isnin di masjid ini, beliau adalah orang yang istiqomah untuk berjabat tangan dan mengucapkan terima kasih setiap selepas kali selesai kuliah sebelum azan isyak dikumandangkan. Luhurnya akhlak beliau walaupun kepada orang muda seperti saya.

Isteri Ustaz Haji Mohammad meninggal dunia beberapa bulan lepas ketika mereka berziarah ke Semenanjung, juga seorang guru agama dan mereka adalah pasangan suami isteri yang sangat konsisten hadir ke masjid solat berjamaah, sama ada ketika Ustaz bertugas imam solat atau tidak.

Ustaz Haji Mohammad memutuskan untuk berpindah ke Negeri Sembilan, kita doakan beliau dikurniakan umur yang panjang, tubuh yang sihat, dimudahkan beramal ibadah. Semoga ada kesempatan bertemu dengan beliau lagi selepas ini.

Masjid Kg Sipanggil Putatan

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan

Firman Allah SWT (bermaksud) : “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.

Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik”.

Kini kita berada pada awal bulan Sya’aban yang turut mempunyai kelebihan dan catatan sejarah yang tersendiri. Nabi SAW bila ditanya tentang amalan baginda yang banyak berpuasa sunat pada bulan Sya’aban lalu baginda menjelaskanbahawa Sya’aban adalah bulan yang kebanyakan orang melalaikannya iaitu antara Rejab dan Ramadhan.

Sya’aban merupakan bulan yang di dalamnya di angkat amalan-amalan kepada Allah, Tuhan seluruh Alam. Maka Nabi SAW ingin amalan diangkat sedangkan baginda dalam keadaan berpuasa.

‘Aishah RA telah berkata : “Rasulullah SAW berpuasa sehingga kita mengatakan dia tidak berbuka dan baginda SAW berbuka sehingga kami berkata dia tidak berpuasa. Dan aku tidak pernah melihat Rassulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan dan  aku tidak pernah melihat baginda SAW banyak berpuasa sunat melainkan pada bulan Sya’ban”.

Ibarat kata Ulama’ : “Bulan Rejab bulan menanam pokok. Bulan Syaaban bulan menyiram pokok. Dan bulan Ramadan bulan menuai buahnya.”

Begitu juga Hukama’ menyifatkan bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun daripada segala dosa, bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri daripada  segala macam celaan manakala bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.

Marilah kita sama-sama menghidupkan bulan Sya’aban ini dengan pelbagai amalan soleh sebagai latihan awal dan persiapan dari segi rohani dan jasmani sebelum datangnya Ramadhan. Antara amalan sunat yang paling  baik bulan Sya’aban ialah berpuasa sunat selain daripada memperbanyakkan doa, membaca al-Quran dan memohon keampunan kepada Allah.

Nazmi Karim (1)

Terima kasih saya ucapkan kepada Ustaz Nazmi Abd Karim yang sudi mengisi ruang kosong dalam kuliah subuh di Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan pagi tadi. Alhamdulillah, saya memahami keletihan dan situasi beliau yang kurang sihat. Namun kuliah khas bersama beliau tidak kurang bersemangatnya juga di hadapan jamaah yang hadir sekitar 100 orang termasuk jamaah muslimat.

Kuliah beliau selama sejam berkisar tentang kesesatan syiah. Saya kira ini suatu pendedahan yang sangat baik dan beliau merungkaikannya dalam bahasa yang mudah. Maklum saja jamaah yang mempunyai pelbagai latar termasuk majoritinya penduduk kampung yang mungkin saja ada yang tidak pernah tahu tentang perkara ini.

Terima kasih pengerusi masjid Tuan Haji Yusuf Othman yang sudi menerima slot pagi ini walaupun notis singkat selepas solat jumaat 2 hari lepas. Alhamdulillah, dalam keadaan itu masjid melalui jamaahnya ada yang sudi menyumbang sarapan roti canai dan mee goreng untuk 100 orang. Licin…

Nazmi Karim (2) Nazmi Karim (3) Nazmi Karim (4) Nazmi Karim (5) Nazmi Karim (6) Nazmi Karim (7)

Masjid Kg Sipanggil Putatan

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan

Firman Allah SWT : “Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan telah Aku cukupkan untuk kamu nikmatKu dan Aku ridha bahawa Islam sebagai agama kamu” (al-Maidah : 3)

Ayat ini menyatakan pengertian Islam yang sebenarnya menunjukan makna agama Islam berbeza dengan agama lain. Oleh kerana itu maka kita umat Islam jangan terkeliru dengan takrif agama yang dipakai oleh orang lain lalu kita letakkan takrif itu kepada agama kita kerana perkataan agama mengikut orang yang bukan Islam sama ada orang yang bukan Islam dari negara barat atau timur.

Di dalam buku-buku, kamus dan eksiklopedia yang mereka tulis, mereka menyatakan bahawa yang dimaksudkan agama mengikut agama mereka ialah ajaran yang menyatakan hubungan dengan Tuhan yang mempunyai sifat-sifat dan cara beribadat, berakhlak dan cara-cara yang berhubung dengan perkara-perkara yang dinamakan keruhanian.

Inilah takrif agama yang dipakai oleh orang yang bukan Islam. Adapun agama Islam mempunyai takrif yang berlainan dengan mereka. Agama mengikut Islam daripada kalimah ad-Deen yang dihuraikan oleh firman Allah SWT tadi, iaitu ajaran Allah yang sempurna  dan lengkap serta terkandung di dalamnya cara-cara hubungan manusia dengan tuhan, dengan dirinya sendiri, sesama manusia, masyarakat, kebendaan dan makhluk yang dijadikan oleh Allah SWT di atas muka bumi.

Bahkan segala perkara yang penting d alam hidup manusia di dunia ini adalah tercakup di dalam Islam. Dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran sama ada secara tafsil (terperinci) atau dinyatakan secara umum, merupakan satu kitab yang mejadi mukjizat kepada Rasulullah SAW, mukjizat yang berpanjangan sehingga hari kiamat kerana perkara yang disebut di dalam al-Quran bukan berlaku pada zaman kita, bahkan menceritakan perkara yang lebih kehadapan iaitu setelah manusia meninggal dunia dan mereka dibangkitkan oleh Allah serta ditentukan sama ada ke syurga atau ke neraka.

15 Ramadhan : Solat Isyak & Tarawih : Surau al-Firdaus Kg Sri Pandan Putatan

16 Ramadhan : Solat Isyak & Tarawih di Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan.

17 Ramadhan : Solat Isyak & Tarawih di Surau Kg Dumpil Putatan.

18 Ramadhan : Solat Isyak & Tarawih di Surau ar-Rahman, Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah, Kepayan.

19 Ramadhan : Solat Isyak & Tarawih di Masjid al-Kauthar Kg Tg Aru Lama Kota Kinabalu.

20 Ramadhan : Solat Isyak & Tarawih di Masjid Kg Serigai Putatan.

21 Ramadhan : Solat Isyak & Tarawih di Surau Kuarters Penjara Kepayan.

Khatib : Ustaz Abdul Rahman Ibrahim

Lokasi : Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan

Bulan Syaaban adalah masa untuk kita mengejar kebajikan sebanyak mungkin sebagai latihan dan persediaan untuk kita menghadapi bulan Ramadhan yang merupakan medan ibadah bagi umat Islam. Dalam sebuah hadith Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Keutamaan bulan Syaaban di atas semua bulan itu, seperti keutamaan aku di atas semua Nabi dan keutamaan bulan Ramadhan itu di atas semua bulan ibarat keutamaan Allah SWT di atas semua hamba-Nya”. Untuk mencapai kelebihan pada bulan ini maka umat Islam dianjurkan pelbagai ibadah antaranya :

Pertama : Melakukan ibadah puasa sunat dan qiyamullail, Inilah ibadah yang paling diutamakan oleh Rasulullah SAW pada bulan yang mulia ini. Rasulullah SAW memperbanyakkan ibadah puasa sunat pada 15 terakhir bulan Syaaban. Ambillah peluang ini untuk membiasakan diri kita dengan ibadah puasa supaya ianya tidak menjadi keberatan apabila tibanya bulan Ramadhan. Melakukan Solat tahajjud dan solat sunat taubat amatlah ditekankan terutama pada malam Nisfu Syaaban. Inilah masa yang sesuai untuk diperbanyakkan berdoa memohon supaya diberi keampunan dan kerahmatan dari Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Apabila tiba malam Nisfu Syaaban, lalu berqiyamullail pada malamnya, dan berpuasa di siangnya, maka sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia ketika matahari terbenam dan berfirman,“Adakah disana orang yang memohon keampunan, lalu Aku mengampunkan dia? Adakah di sana orang yang memohon rezeki, lalu Aku memberi dia rezeki? Adakah di sana orang yang di beri ujian bala bencana, lalu Aku menyejahterakan dia? Adakah di sana adakah di sana? sehingga terbit fajar.”(Riwayat ibn Majah)

Kedua: Memperkukuhkan tali silaturrahim sesama manusia. Hubungan sesama manusia amatlah penting kerana ianya bersangkutan dengan hubungan manusia dengan Allah SWT. Leraikanlah permusuhan sesama kita dan saling bermaafan kerana Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa manusia sesama manusia selagi mana mereka saling bermaafan. Sucikan diri dari perasaan dendam dan dengki sesama muslim sebelum tibanya Ramadhan supaya amal ibadah pada bulan yang berkat ini dapat dirasai kemanisannya.

Ketiga: Beristiqamah melaksanakan amal ibadah dan kebajikan. Amal ibadah yang dilakukan secara berterusan akan menjadikan jiwa kita sentiasa tetap dengan pendirian. Beristiqamah membawa maksud sentiasa melakukan amal ibadah tersebut tiap-tiap hari walaupun hanya sedikit atau sekejap masa yang diambil untuk melaksanakannya.

Keempat: Memperbanyakkan memohon keampunan daripada Allah SWT. Ramai yang tidak menyedari bahkan alpa dengan segala dosa yang dilakukannya saban waktu. Dosa yang dilakukan semakin hari semakin bertambah terutamanya dosa-dosa kecil yang datang dari perbuatan manusia samada melalui percakapan, penglihatan, pendengaran dan perbuatan. Semua dosa ini sebenarnya telah menjadi titi-titik hitam di dalam hati yang menyebabkan hati menjadi semakin keras. Lebih membimbangkan, hati akan jauh dari petunjuk Allah SWT. Perbanyakkan berdoa dan memohon ampun daripada Allah SWT kerana selagi pintu keampunan itu terbuka.

 

Khatib : Ustaz Jasimin Mohd Rashid

Lokasi : Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan

Berdasarkan iktikad al-Sunnah wa al-Jama’ah, setiap manusia akan berada di dalam satu alam yang dinamakan alam Barzakh. Ia terletak di antara alam dunia dan alam akhirat sebelum dihimpunkan di padang Mahsyar daripada waktu mati sehingga dibangkitkan. Alam Barzakh juga tempat permulaan manusia di hukum segala amalannya di dunia.

Sebagaimana kesukaran manusia menghadapi keperitan saat nazak kematian, maka jenazah juga sekali lagi menghadapi kesukaran siksaan kubur di alam barzakh. Sebaik sahaja ahli keluarga dan sahabat handai selesai mengkebumikan dan dalam perjalanan pulang ke rumah maka dalam suasana yang gelap gelita dua malaikat iaitu Munkar dan Nakir datang menghampiri dan mendudukkan jenazah.

Bagi jenazah yang beriman dan berbekalkan amal soleh serta ketakwaan yang unggul maka alam barzakh adalah suatu kerehatan yang damai. Tetapi bagi jenazah yang ingkar, sarat dengan beban dosa kerana melanggar perintah Allah SWT, maka alam barzakh adalah episod ngeri yang dipenuhi gelombang azab sengsara hingga datangnya hari kiamat. Mereka berkeadaan seperti orang yang lemas dalam air yang meraung meminta pertolongan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya kubur itu ialah penginapan pertama antara penginapan akhirat, maka sekiranya seseorang itu terlepas dari seksaannya, maka apa yang akan datang kemudiannya akan lebih mudah lagi dan seandainya seseorang itu tidak terlepas (kandas) daripada (seksaannya), maka yang akan datang sesudahnya akan lebih sukar (keras).” (Riwayat al-Tirmizi).

Sahabat Nabi bernama Ubaid bin Umair al-Laitsi pernah berkata, “setiap mayat yang hendak meninggal, pasti liang lahad di mana mayat itu di kubur memanggilnya, “Akulah rumah yang gelap gelita, sunyi dan sendiri. Jika waktu hidupmu kau taat kepada Allah SWT maka aku hari ini akan menjadi rahmat bagimu. Jika kau derhaka, maka hari ini aku akan menjadi seksa bagimu. Siapa memasukinya dengan taat, akan keluar dengan bahagia. Dan sesiapa masuk dengan derhaka, dia akan keluar dengan penuh penyesalan.”

Renungkanlah bagaimana perjalanan seseorang akan berakhir di alam kubur. Seorang ulama al-Rifa’i pernah berkata: “ Setiap orang yang takut pada sesuatu pasti akan menghindarinya, kecuali alam kubur. Tidak ada orang yang ingin lari daripadanya melainkan dia akan datang kepadanya. Dia selalu menunggumu tanpa jemu, dan apabila engkau masuk ke dalamnya, engkau tidak akan kembali buat selama-lamanya. Renungilah nasib saudaramu yang kini telah dikuburkan, dahulu dia menikmati pemandangan yang indah, kini matanya telah tertanggal, dahulu lidahnya fasih bertutur, kini cacing tanah telah memakan mulutnya. Dahulu dia sering tertawa, kini giginya hancur terbenam.”

Khalifah Umar bin Abdul Aziz pula pernah berkata kepada beberapa orang rakannya di dalam satu majlis, “Wahai fulan, engkau telah melepasi satu malam, adakah pernah kau terfikir tentang alam kubur dan penghuninya? Sekiranya kau tahu keadaan sebenarnya dalam kubur, pasti kau tak akan berani mendekatinya .”

Ketika khalifah Umar mengiringi jenazah sahabatnya lalu kubur memanggilnya dan bertanya, “ Wahai Umar bin Abdul Aziz, mahukah aku ceritakan kepadamu apakah yang akan aku lakukan terhadap jenazah yang kau cintai ini? Ya jawab Umar. Kubur itu menjawab: Aku akan bakar kain kapannya, aku robek badannya, aku sedut darahnya serta aku kunyah dagingnya. Mahukah engkau tahu apa yang akan aku lakukan pada anggota badannya? Tentu jawab Umar.

Aku cabut satu persatu dari telapak hingga ke tangan, dari tangan ke lengan, dan dari lengan menuju ke bahu. Lalu aku cabut pula lutut dari pehanya, Peha dari lututnya.aku cabut lutut itu dari betis. Dari betis menuju ke telapak kakinya. Khalifah Umar menangis dan berkata.” Ketahuilah sahabatku, umur dunia hanya sedikit. Kemuliaan di dalamnya adalah kehinaan. Yang muda akan menjadi tua dan yang hidup akan mati. Celakalah mereka yang tertipu olehnya. Celakalah aku dan bagaimana keadaanku ketika bertemu malaikat maut, saat rohku meninggalkan dunia? Keputusan apakah yang diturunkan oleh tuhanku.

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan

Allah SWT menentukan dalam peraturannya sejak azali lagi bahawa mereka yang mendukung perjuangan Islam sejak zaman Nabi-nabi dan Rasul akan menghadapi proses ujian sebagaimana firman Allah SWT (bermaksud) :

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata : “Kami beriman” sedangkan mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?  Demi sesungguhnya Kami telah menguji orang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui oleh Allah tentang orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang yang berdusta”. (al-Ankabut 2-3).

Firman Allah SWT lagi (bermaksud) :

“Dan Kami menghendaki bahawa Kami akan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang yang mewarisi (memerintah bumi ini).” (al-Qasas : 5)

Ayat ini menceritakan kisah Nabi Musa dan kaumnya yang berhadapan dengan kerajaan yang dipimpin oleh Fir’aun yang paling zalim dalam sejarah manusia. Fir’aun memperhambakan kaum Bani Israil serta mengabdikan orang yang beriman. Dia membunuh anak-anak lelaki yang dilahirkan. Nabi Musa tidak pernah menyerah kalah. Akhirnya Allah SWT memberikan kemenangan kepada agama-Nya, manakala Fir’aun dibinasakan oleh Allah SWT bersama bala tenteranya.

Allah SWT menunaikan janjinya kepada Rasulullah SAW dengan berlakunya peristiwa hijrah. Segala adat jahiliyyah dan berhala dihapuskan di Semenanjung Tanah Arab. Pada zaman Khulafa’ ar-Rasyidin, dua kuasa besar dunia iaitu Parsi dan Rom ditumbangkan. Allah SWT tetap menguji orang yang beriman kerana Islam adalah agama yang mengalami pasang surut kemenangan. Firman Allah :

“Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa kemenangan dan kekalahan) Kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran)”. (Ali Imran : 140)

Oleh sebab itu kita jangan lemah semangat, jangan hilang kekuatan iman dengan ujian yang melanda umat Islam. Umat Islam juga dilanda penyakit cintakan dunia dan bencikan mati. Ada ahli ilmu Islam yang sanggup menjual agamanya dengan pangkat dan kesenangan dunia. Mereka takut mengharamkan perkara yang diharamkan oleh Allah SWT dan takut menyatakan wajib pada perkara yang diwajibkan oleh Allah SWT.

TAMAT KITAB SYAMAIL

Alhamdulillah, kurang seminggu untuk genap setahun, kami di Masjid as-Sobirin Kampung Sipanggil Putatan selesai menamatkan bacaan kitab hadith terjemahan Syamail Muhammad SAW yang merupakan himpunan hadith riwayat Imam at-Tirmizi berkenaan keperibadian Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Yang seronoknya bagi saya kebanyakan jamaah yang hadir memiliki buku ini untuk bacaan dan nota bersama.

Demikianlah dengan serba kekurangan, apatah lagi saya bukan orang yang ahli dalam bidang hadith, kami membaca sedikit demi sedikit. Ada yang mudah difahami dan diikuti, ada yang memerlukan keterangan dan huraian yang panjang dan ada juga ketikanya saya terpaksa menangguhkan huraian hadith-hadith tertentu kerana ingin bertanya lanjut dengan para ustaz yang lain akan maksud hadith-hadith berkenaan.

Sedari awal kami memulakan pada pertengahan Februari tahun 2010, saya suka menjelaskan antara objektif memilih buku berkenaan sebagai bacaan mingguan dalam kuliah maghrib di masjid berkenaan. Antaranya, dengan membaca hadith seumpama itu akan mendekatkan kita dengan diri Rasulullah SAW, lebih menyayangi baginda dan mengikut jejak baginda sedikit demi sedikit.

Barangkali antara bab yang menarik perhatian kebanyakan kami ialah apabila membaca bab-bab yang awal berkenaan susuk tubuh baginda sebagaimana yang diceritakan oleh para sahabat seperti Anas bin Malik RA, Aisyah RA dan lain-lain. Begitu juga tentang makanan, minuman, pakaian serta warna kegemaran nabi SAW yang boleh diikuti oleh umat baginda SAW ini.

Antara yang menaikkan emosi juga ialah berkenaan kesederhanaan hidup baginda SAW yang kadang kala tidak mempunyai bekalan makanan untuk beberapa hari. Begitu juga pada bab terakhir bercerita tentang saat  kewafatan baginda SAW, sikap dan perasaan para sahabat yang sangat mengasihi baginda SAW.

Semoga ada manfaat untuk jamaah yang hadir. Sekurang-kurangnya membaca hadith seumpama ini mendekatkan diri dan menyebabkan kami lebih cinta kepada Rasulullah SAW. Pada minggu hadapan kami akan memulakan buku ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ tulisan Dato’ Ustaz Haji Ismail Kamus.

BAB KEHIDUPAN RASULULLAH SAW

Kitab Hadith Syamail Muhammadiyyah SAW susunan Imam at-Tirmizi yang sama-sama kami pelajari di Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan kini menghampiri babak-babak akhir. Kami sudah tiba dan menamatkan bab ‘Kehidupan Rasulullah SAW’ yang menceritakan tentang kesederhanaan hidup baginda SAW.

Ada riwayat dan kisah yang mencatatkan bagaimana Rasulullah SAW dan keluarganya hidup dengan bekalan makanan yang tidak pernah mencukupi selama sebulan lamanya, sedangkan kehidupan kita pada hari ini dipenuhi dengan makan minum yang tidak pernah berhenti. Lapar belum hilang, sudah ada sesi makan yang berikutnya.

Nikmat makan minum yang kita perolehi hari ini menunjukkan betapa Allah SWT memberi rezeki yang banyak. Justeru bandingkanlah pula dengan kuantiti dan kualiti ibadah seharian kita sebagai tanda kita bersyukur atas nikmat pemberian Allah SWT yang tidak pernah putus kepada hamba-hamba-Nya.

Menarik sebuah kisah dan salah satu hadith yang tercatat di dalamnya menceritakan pernah betapa laparnya para sahabat baginda SAW mengadu kepada baginda sehingga mereka terpaksa mengikat sebiji batu di perut masing-masing untuk menahan lapar mereka. Junjungan Nabi SAW kemudiannya pula mengangkatkan pakaiannya memperlihatkan perutnya sendiri yang memang turut kelaparan, diikat dengan dua biji batu berbanding sebiji batu di perut sahabatnya yang lain.

%d bloggers like this: