biodataCalon1

biodataCalon2

Antara bahan kempen UBN di Man-U bahawa calon PAS hanyalah seorang peraih ikan, bersekolah rendah dan mengaji pondok. Berbanding calon mereka yang punya sarjana muda pengurusan teknologi UTM. Mereka membesar-besarkan isu latar belakang pendidikan calon PAS ini.

Pagi ini saya menerima sms seorang sahabat yang memberi respon kepada isu ini.

Sebenarnya UBN lupa bahawa dalam majlis ulangtahun UMNO baru lalu, mereka telah menyampaikan anugerah usahawan terbilang kepada seseorang yang belajar hanya setakat SPM.

Usahawan berkenaan merupakan orang ke-7 terkaya di Malaysia dan ke-32 terkaya di Asia Tenggara. Beliau banyak menderma dan melakukan kerja-kerja amal sehingga kini.

Prestasi akademik memang penting, tetapi dalam kehidupan ini, segulung ijazah bukanlah segala-galanya. Begitu juga dalam memilih pemimpin seperti wakil rakyat.

Rasulullah SAW juga bukan keluaran mana-mana universiti, bahkan baginda seorang yang buta huruf. Tetapi Allah SWT telah memilih hambaNya ini sebagai nabi akhir zaman, dan menjadi presiden bagi semua nabi dan rasul.

Apabila kita mengaji ilmu tauhid, khususnya perkara berkaitan kerasulan, ada 4 sifat wajib bagi rasul. Benar, amanah, menyampaikan dan bijaksana. Keempat-empat sifat digabung jalin untuk menjadikan rasul itu sebagai pemimpin yang hebat dan contoh sepanjang zaman.

Dahulu ketika Man-U berADUNkan Paksu Wel, beliau juga bukanlah seorang yang berpendidikan tinggi. Selama 5 penggal beliau memimpin rakyat dan dengan izin Allah mampu menewaskan calon BN seperti Wan Zaid yang mempunyai kelulusan sarjana.

Hari ini ramai orang bijak, terutama keluaran universiti. Ada orang bijak tetapi tidak amanah.

Dewasa ini juga kita membaca kisah-kisah seperti penyelewengan akaun bank, memindah duit akaun orang ke dalam akaun peribadinya sehingga mencecah juta-juta, rompakan cip komputer dan bermacam-macam lagi. 

Takkanlah kepakaran memindah duit akaun orang lain ke dalam akaun peribadi seperti itu dilakukan oleh orang yang setakat sekolah rendah dan sekolah pondok saja.