IMG_5930

Malam tadi saya sedikit berkesempatan bertemu dengan sahabat lama ini.

Pertemuan kami bersama beberapa rakan lain, adalah untuk membuat kerjasama program dakwah untuk kemaslahatan umat di Sabah.

Ustaz Farhan adalah rakan sekelas ketika di Maahad Qiraat al-Azhar, Shoubra Kaherah sepanjang 2000-2003. Bukan setakat itu, kami sepenerbangan pergi, dan pernah duduk serumah dan sebilik dalam beberapa ketika.

Ustaz Farhan dari pandangan saya sebagai seorang rakan, adalah seorang yang sangat berani mencuba walaupun kelihatan berisiko besar program yang bakal dijalankan. Dengan suara hidungnya, ceramahnya juga selalu menarik perhatian ramai orang.

Ketika ke Mesir pada 28 Ogos 2000, dia meninggalkan isteri dan 3 anaknya di tanahair. Kini bukan setakat anak bertambah kepada 7 orang, Ust Farhan sudah ada isteri kedua dari Negeri Sembilan yang dinikahi 3 tahun lalu.

Dua daripada 7 anaknya setakat ini, adalah hasil isteri kedua. Katanya tadi, dia berhasrat lagi menambah kedua-duanya. Anak dan isteri. Mungkin jodoh ketiganya orang Sabah pula.

Ust Farhan dikenali ramai di Semenanjung dengan aktiviti dakwahnya, juga punya sedikit ruang untuk menyambung pengajian peringkat sarjana di UKM. Ramai mengenali beliau selaku aktivis dakwah yang pernah hidup dalam agama kristian.

Setelah memeluk Islam pada awal 1990, dia mengaji di PERKIM Kelantan sebelum menyambung di Darul Quran Kuala Kubu Baru.

Aktivitinya kini berpusat di Serdang dan Bangi, dan di Sabah katanya sudah punya 3 sekolah tahfiz. Dua di Kota Belud dan satu di Alam Mesra berhadapan dengan UMS. 

Oh ya, Ust Farhan sebenarnya berasal dari Kota Belud Sabah.