Archive for 27 Julai 2009


SEJENAK DI PANTAI EMAS

IMG_6004

Ada masa setengah jam lagi sebelum maghrib, saya dijadualkan menyampaikan ceramah umum di masjid yang sama. Kalau tadi khusus untuk para imam dan bilal, ceramah nanti untuk penduduk kampung pula.

Imam Daerah Tuan Imam Hj Madli Mansur membawa saya berehat sebentar di persisiran pantai. Nama kampungnya pun Kg Pantai Emas.

Khabarnya dahulu di persisiran pantai itu langsung tiada pepohonan kayu. Hanya rumput semata. Jadi sejauh mata memandang, pemandangan rumput di persisiran pantai itu berwarna kuning keemasan. Demikian cerita imam qaryah kepada saya. Wallahu a’lam.

IMG_5996

Tuan Imam Hj Madli Mansur sudah saya kenali hampir 10 tahun lalu. Seorang qari, dan pernah mendapat johan qari dalam MTQ Negeri Sabah beberapa tahun lalu. Suara beliau memang merdu dan padat.

Pada 2007, pernah saya memimpin solat sunat tarawih di Masjid Pekan Kota Belud bersama TYT dan rombongan Istana Negeri. Ketika itu Hj Madli bertindak sebagai bilal. Pulang dari Kota Belud, TYT Tun Ahmadshah memuji suara merdu beliau.

Dalam perjalanan kami ke seluruh pelusuk Sabah bertarawih bersama rakyat, gandingan saya bersama Imam Madli, diikuti dengan sambutan jamaah masjid di Pekan Kota Belud, TYT Tun menyatakan ia antara yang terbaik pada tahun itu.

Tuan Imam Hj Madli setahu saya antara yang dicalonkan ke Istana Negeri mengganti tempat saya sebagai pegawai agama Istana ketika itu. Saya difahamkan beliau menolak dengan baik atas beberapa alasan yang munasabah.

Saya berdiri dan berjalan di persisiran pantai di Kg Pantai Emas yang kelihatan luas dan bersih. Dapatlah seketika saya menenangkan fikiran dan mencari idea baru untuk ceramah malam itu.

IMG_6014

IMG_6017

IMG_5985

Sabtu tengahari saya berangkat ke Kota Belud.

2-3 hari sebelum ke sana, saya mencari seseorang sebagai teman berjalan dan bersembang, tetapi rakan-rakan yang dihubungi semuanya menolak dan berhalangan.

Akhirnya, saya berserah kepada Allah SWT kerana terpaksa bermusafir sendirian. Saya hanya bimbangkan kalau-kalau saya terlalai, terlelap dalam perjalanan, atau diganggu orang. Mudah-mudahan Allah memudahkan perjalanan saya, demikian bisik hati saya.

اَلله ُ أَكْبَرُ ، اَلله ُ أَكْبَرُ ، اَلله ُ أَكْبَرُ سُبْحَاْنَ الَّذِيْ سَخَّرَ لَنَاْ هٰذَا وَمَاْ كُنَّاْ لَهُ مُقْرِنِيْنَ وَإِنَّاْ إِلـٰى رَبِّنَاْ لَمُنْقَلِبُوْنَ ‏‏اَللّهُمَّ إِنَّاْ نَسْأَلُكَ فِيْ سَفَرِنَاْ هٰذَا الْبِرَّ‏ وَالتَّقْوَى وَمِنَ الْعَمَلِ مَاْ ‏ ‏تَرْضٰى ، اَللّهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَاْ‏ سَفَرِنَاْ هَذَا‏ وَاطْوِ عَنَّاْ بُعْدَهُ ،‏ اَللّهُمَّ أَنْتَ الصَّاْحِبُ فِيْ السَّفَرِ‏ وَالْخَلِيْفَةُ فِيْ‏ اﻷَهْلِ ‏،‏ اَللّهُمَّ‏ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنْ ‏ ‏وَعْثَاْءِِ‏ الْسَّفَرِ وَكَا ٰبَةِ الْمَنْظَرِ وَسُوْءِ ‏ ‏الْمُنْقَلَبِ فِيْ الْمَاْلِ وَاﻷَهْلِ

IMG_5988

Jam 2.10 petang saya tiba di Masjid Nurul Hikmah Kg Liang, 10 minit dari Pekan Kota Belud dengan iringan Imam Daerah Tuan Hj Madli Mansur yang menyambut dari Masjid Pekan. 

Masjid Kg Liang ini dibina pada 1982 dengan status surau pada zaman BERJAYA dan dinaikkan status masjid pada 2006 lalu.

Di hadapan saya ada kira-kira 40-50 orang yang hadir, khususnya para imam qaryah, imam rawatib, bilal, dan ajk masjid. Tidak ketinggalan ada juga kaum ibu yang bersemangat untuk mendengar ceramah berkenaan solat tarawih.

Sebenarnya kursus yang dikendalikan hari ini ada sempena program Semarak Masjid Zon 5 yang melibatkan 7 buah masjid iaitu Kg Pantai Emas, Kg Peladuk, Kg Kota Peladuk, Kg Tg Batu, Kg Rudang, Kg Payas-Payas dan Kg Liang sendiri selaku tuan rumah.

Ia dianjurkan oleh Masjid Nurul Hikmah Kg Liang dengan kerjasama JHEAINS Kota Belud.

Di Kota Belud, Imam Daerah telah membahagi-bahagikan kepada 10 zon untuk memudahkan pentadbiran dan pengurusan masjid-masjid.

Perbincangan dan pembentangan kertas kerja melibatkan beberapa tajuk. Antaranya tentang qiyam ramadhan, definasi solat tarawih, dalilnya, bilangan rakaat, hukumnya dan cara pelaksanaannya.

Selepas asar pula, perbincangan berkisar tentang adab-adab sebagai imam, dan kaedah mengendalikan majlis solat tarawih. Beberapa bilal pula diuji tentang bacaan solawat yang biasa dibaca antara solat-solat tarawih. Ada juga imam yang menawarkan diri untuk diperbetulkan fatihahnya.

Alhamdulillah, sesi petang itu berakhir.

IMG_5981

IMG_5982

IMG_5983

IMG_5984

IMG_5998

%d bloggers like this: