Archive for 16 Julai 2009


DOSA KERING

Ketika mengaji dengan Shaikh Nuruddin al-Banjari dahulu, pernah beliau menyebut tentang persoalan hiburan. Dengan selamba beliau menyebut Siti Nurhaliza, Sharifah Aini dan bermacam nama artis Malaysia dan Indonesia.

Faham saya beliau cuba memancing hadirin, adakah menyebut perkara begitu tidak termasuk dalam dosa mengumpat?

Beliau menyebut sebuah hadith Nabi SAW :

“Semua ummatku terampun, kecuali orang yang melakukan dosa secara terang-terangan”

Yang namanya mengumpat ialah seseorang menyebut tentang keburukan seseorang yang lain yang benar-benar berlaku, sedangkan orang yang diumpat itu tidak menyukai perbuatannya diketahui orang.

Orang yang melakukan dosa secara terang-terangan seperti para artis dan seumpama mereka melakukan aktiviti secara terbuka, berbangga dengan kehadiran audien yang ramai. Mereka mempengaruhi penonton agar mengikuti perbuatan dan gelagat mereka.

Kesungguhan mereka ini juga terbukti apabila sebelum aktivitinya dipersembahkan kepada khalayak, mereka akan mengadakan latihan dengan bersungguh-sungguh.

Mereka mempelopori satu sunnah yang tidak baik dan kemudiannya apabila diikuti oleh orang belakangan, mereka mendapat saham dan dosa mereka tidak berkurang sedikit pun.

Wajarlah para pendakwah menyebut hal ini dengan niat mudah-mudahan mereka kembali ke pangkal jalan. Mudah-mudahan kita diberi petunjuk oleh Allah SWT.

Pekan Sipitang.

 

Masjid Sahabat, di sempadan Sabah & Sarawak, salah sebuah lokasi ceramah kami

Masjid Sahabat, di sempadan Sabah & Sarawak, salah sebuah lokasi ceramah kami

 

Petang ini, 7 orang aktivis Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Sabah bergerak ke Sipitang untuk mengisi program serentak ceramah al-Isra’ wal-Mi’raj.

Ketika PUM mengendalikan program pemantapan aqidah di SMPO Sipitang beberapa bulan lalu, saya telah melontarkan idea kepada timbalan pengerusi kami, Ust Bungsu Aziz agar ceramah serentak diadakan di daerah ini.

Kebetulan selepas idea itu saya suarakan, Ust Bungsu bertemu dengan timbalan pengarah JHEAINS Ust Sidik yang merupakan anak jati Sipitang di sebuah restoran di pekan ini.

Persetujuan asas dicapai.

Minggu lalu saya mula menguruskan program ini bersama-sama dengan Penolong Pegawai Tadbir Agama (PPTA) JHEAINS Sipitang Ust Hafidz Ahmad yang juga rakan sekelas saya di sekolah dan di Maahad dahulu.

Pada peringkat ini, kami mendapat respon yang sangat baik. Pada mulanya, hanya 4 masjid dicadangkan. Dalam tempoh perbincangan demi perbincangan, – yang kesemuanya melalui SMS dan telefon sahaja – ada 3 masjid memohon tambahan kepada 7 buah kesemuanya.

Kami di pihak PUM berbesar hati menerima tambahan itu.

Malam tadi, kami berkumpul. Semestinya setiap penceramah mempunyai kepakaran dan idea masing-masing untuk menghurai sirah isra dan mi’raj ini.

Tetapi, kami mengambil kesepakatan bahawa ada perkara-perkara yang kami akan sebut bersama, khususnya persoalan masyarakat Islam di sana.

Antaranya tentang masalah ketika penyelenggaraan janazah, kenduri arwah dan lain-lain; persoalan remaja yang terlibat dengan jenayah dan maksiat dan beberapa persoalan lain.

Ust Muchlish dalam perbincangan itu banyak mencurahkan idea berikutan pengalaman beliau bertugas di sana beberapa tahun pada awal hujung 70an dan awal 80an. Kehadiran beliau pada malam ini sudah tentu dinanti-nantikan oleh masyarakat di sana.

al-Fadhil ustaz ada menceritakan pengalamannya berceramah di hadapan penduduk kampung. Mereka hadir ke masjid dan surau dengan berseluar pendek dan bertenggek sambil parang di sisi.

Ust Hafizullah bertanya lokasi ceramah masing-masing.

Sebenarnya, saya sendiri kurang maklum di masjid mana saya akan berceramah. Hanya Ust Muchlish yang sudah dipastikan tempatnya di Masjid Pg Hashim Pekan Sipitang. Cuma saya petik satu kata-kata :

Sesuatu perkara akan menjadi lebih nikmat jika ia dirahsiakan.

Insya Allah jam 2.30 kami akan berangkat dan akan balik malam ini juga.

Ust Hj Muchlish, Ust Bungsu, Ust Azam, Ust Zainuddin, Ust Hafizullah, Ust Ithnin dan saya. Che’gu Jamil turut menyertai rombongan kami kerana ada kes kaunseling murtad kepada 3 pelajar.

%d bloggers like this: