Archive for 20 Julai 2009


IMG_5918

Pagi tadi pula, saya mengisi ceramah yang sama di Sektor Pengurusan Akademik (SPA), Jabatan Pelajaran Sabah, Bangunan KUWASA.

Rasanya, ini adalah ceramah isra & mi’raj yang ke-6, selepas RTM, GiatMARA, Kg Dumpiring Atas Kundasang, Kg Pelakat Sipitang dan Kg Serigai Putatan.

Hari ini saya tumpukan ceramah tentang pengajaran menerusi ayat 1 surah al-Isra’. Masa yang terbatas, tidak mengizinkan saya bercakap lebih lama.

Tetapi, yang lebih utama di sini ialah aplikasi kita untuk menjadi hamba Allah melalui contoh yang santai dan mudah, seperti zikir harian, solat fardhu, serta pergerakan seharian.

Sebenarnya, saya seronok berceramah kerana peluang berkongsi ilmu dan pendapat serta ruang berbuat pahala yang banyak kerana kemungkinan besar ilmu yang kita kongsikan itu diamalkan sama oleh para pendengar selepas ini.

Tambahan pula, berhadapan dengan pegawai-pegawai di SPA, saya seronok melihat kebanyakan mereka tidak lekang dengan pen dan buku, mencatat apa yang patut.

Tetapi satu segi yang lain, kadang-kadang saya tertanya-tanya juga apakah dengan banyaknya jemputan ceramah itu menunjukkan kita kekurangan penceramah dan pendakwah?

Bukan hendak mengangkat diri, tetapi saya mendapati beberapa rakan-rakan ustaz seperti tidak menang tangan menerima jemputan ceramah, sehingga dalam beberapa keadaan terpaksa menolak jemputan yang diberikan. Habiskah sudah penceramah dan pendakwah kita?

Sebenarnya di luar sana, terlalu ramai ustaz dan ustazah yang mampu berceramah dengan lebih hebat dan baik, tetapi tidak disedari oleh penganjur.

Satu hal pula, mungkin ada ustaz dan ustazah yang juga tidak menyedari mereka boleh berceramah dan sangat diperlukan oleh masyarakat untuk membimbing mereka.

Di mana ada sekolah, di sana ada ustaz dan ustazah. Panggillah mereka untuk berceramah dan berkuliah. Bukan hanya untuk hari kebesaran Islam, tetapi dalam kuliah tetap yang disusun secara berkala.

Terima kasih kepada Puan Hjh Nuri Udin, Ketua SPA bersama warganya yang hadir. Dalam kita bergembira, tersengih, tersenyum dan ketawa, ambillah pengajaran dan teladan. Itulah yang lebih aulanya.

IMG_5917

IMG_5911

Dalam suasana hujan renyai dan sesekali bertukar lebat, dalam tempoh sejam 15 minit malam tadi saya dapat mengganti ceramah berkenaan di Surau al-Amin Kg Serigai, Putatan.

Dalam jadual asal, saya dijemput ke dua lokasi serentak sempena sambutan isra’ & mi’raj ini iaitu di Masjid Kg Lok Kawi Baru dan Surau an-Nur Taman Limauan Kinarut.

Masjid Kg Lok Kawi Baru saya serahkan kepada Ust Bungsu Aziz Jaafar, sementara surau Taman Limauan saya serah kepada Ust Md Sayuti Abd Shukor.

Niat asal saya malam tadi tidak berceramah, hendak meninjau dan mendengar ceramah kawan-kawan pula.

Tetapi akhirnya terpaksa mengganti Ust Hj Awwaluddin yang dijadual asal berceramah di Kg Serigai. Beliau pula terpaksa ke Felda Sahabat Lahad Datu untuk mengisi ceramah yang sama di sana.

Saya menerima dengan senang hati kerana tidak pernah berceramah di surau berkenaan, walaupun jarak rumah ke surau berkenaan tidak sampai 10 minit.

Di surau ini, saya lebih menekankan tentang ujian-ujian yang menimpa manusia berdasarkan perjalanan isra’ & mi’raj Nabi SAW. Ujian nafsu syahwat, syaitan, dunia, yahudi dan kristian, ujian harta dan ujian ahli keluarga.

Alhamdulillah, mudah-mudahan semuanya mendapat rahmat dan hidayah Allah SWT. Terima kasih kepada Ust Ahmad Ukup, Pengerusi JK Surau dan semua jamaah yang hadir.

IMG_5914 

IMG_5916

%d bloggers like this: