Ust Hj Md Ilham (kiri) bersama Dato Hj Sallehuddin Omar

Ust Hj Md Ilham (kiri) bersama Dato Hj Sallehuddin Omar

 

Salah seorang lagi tenaga lajnah tahsih al-Quran KDN yang senior ialah Ust Hj Md Ilham Hj Ihsan. Berumur 62 tahun (lahir 1948), beliau berasal dari Sabak Bernam.

Ust Hj Md Ilham sebenarnya adalah salah seorang pelajar tahfiz daripada kumpulan yang kedua pada 1969-1971 di Masjid Negara setelah kumpulan sulung menyelesaikan pengajian mereka pada 1965-1968.

Menurut Ust Hj Md Ilham, kumpulan mereka ada seramai 12 orang.

Selain beliau sendiri, rakan-rakannya ialah Ust Hj Abd Ghaffar Rijim (Sabah), Ust Hj Salleh Yakob (Sabah), Dato’ Sheikh Hj Mohammad Nor Mansur (Perak), Ust Salam Mohammad (Terengganu), Allahyarham Ustaz Zainul Noh (Kedah), Dato’ Hj Shaa’ri Abdullah (Johor), Ust Mohammad Saman (Melaka), Ust Syam Talib (Sarawak), Ust Ahmad Badawi Abdullah (Pahang), Ust Hassan Mahmud (Perlis) dan Ust Hj Zaharuddin Hj Ahmad (Negeri Sembilan).

Ketika itu guru yang membimbing mereka ialah Tuan Hj Ismail, orang Johor yang pernah bertugas sebagai qadhi dan mengaji di Mesir sebelum itu.

Antara pelajaran yang diajar selain menghafaz al-Quran ialah Rasmul Quran, Tafsir, Qiraat dan lain-lain lagi.

BERANGKAT KE MESIR

Seterusnya, pada 1975 Ust Hj Md Ilham berangkat ke bumi Mesir untuk melanjutkan pelajaran di Maahad Qiraat al-Azhar Shoubra Kaherah bermula pada kelas Aliyah selama 4 tahun dan kemudiannya pengkhususan qiraat selama 4 tahun.

Lapan lagi sahabat sepengajiannya turut melanjutkan pelajaran bersama-sama ke Mesir manakala baki yang lain meneruskan aktiviti dakwah ke dalam masyarakat.

AKTIVITI PERSATUAN

Ketika di Mesir, Ust Hj Md Ilham pernah menjadi Yang diPertua Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) dan menjadi Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) pada awal 80an selama setahun.

Bukan itu sahaja, selesai pengajian di Maahad Qiraat, beliau tidak terus pulang.

Beliau mengambil peluang mempelajari ilmu khat secara serius dan formal melalui sekolah khat selama 4 tahun yang dipanggil Tahsinul Khutut yang terletak di Medan Jaisy, Atabah.

JADI JURUHEBAH RADIO

Menurut Ust Hj Ilham, di Mesir beliau pernah bertugas sebagai juruhebah radio Suara Malaysia.

Pada ketika itu, terdapat empat petugas dari Malaysia yang kesemuanya merupakan pelajar. Radio Suara Malaysia hanya bersiaran 4 hari seminggu selama 2 jam mulai 4 petang melalui studio mereka di Tahrir.

Antara tugasan beliau dan rakan-rakan juruhebahnya ialah menterjemahkan berita-berita berbahasa Arab ke dalam bahasa Melayu sekaligus menjadi penyampainya.

Begitu juga mereka akan melakukan temuramah dengan pemimpin negara yang datang berkunjung ke sana.

Tugasan sebagai juruhebah radio memberikan pendapatan sampingan beliau di sana, tambahan lagi ketika itu beliau sudah pun berkeluarga.

Pernah beliau mempunyai pendapatan sehingga LE300 yang dianggap mewah bagi kehidupan orang Mesir, sehingga beliau pernah memiliki kereta dan motorsikal.

KEMBALI KE TANAHAIR

Puas mengutip pengalaman di bumi orang, pada 1989 beliau sekeluarga kembali ke Malaysia. Tidak lama berehat, beliau terus bertugas di Institut Pengajian Tahfiz al-Quran (IPTQ), Pusat Islam sebagai pensyarah tahfiz sehingga 1991.

Mulai 1991 pula, beliau berkhidmat di negeri sendiri dan menjadi pensyarah di Maahad Tahfiz Selangor yang beroperasi di Masjid Negeri, Shah Alam sehingga bersara pada 2003.

Sejak bersara, aktiviti dakwah beliau terus berjalan dan berkembang. Tumpuan mengajar al-Quran dan kuliah-kuliah maghrib di merata tempat khususnya di Shah Alam.

Sejak kembali ke tanahair, khidmat kepakaran beliau juga dimanfaatkan sebagai ahli lajnah tashih al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN), sehingga kini.

Beliau juga merupakan hakim bagi Majlis Tilawah al-Quran Negeri sejak 1989 dan hakim Majlis Tahfiz al-Quran peringkat negeri Selangor sejak tahun 2000.

Kepakaran beliau dalam ilmu khat juga dimanfaatkan apabila dilantik sebagai guru khat di Yayasan Restu sejak awal 2000 sehingga kini.

Mudah-mudahan Allah SWT memberi umur yang panjang serta kesihatan yang baik kepada beliau dan isterinya Ustazah Khamsatun Hj Ibrahim serta 5 orang anak beliau yang kini  berumur antara 35 hingga 13 tahun serta dua cucu dan dua menantu.