Archive for 1 Julai 2009


IMG_4940Semalam saya ke Pantai Andus Papar. Jaraknya dari rumah ke lokasi tidak sampai 40 minit.

Program yang diatur oleh Pusat Serenti Papar (PUSPA) menemukan saya dengan 31 pelatih berstatus fasa putih dan pra bebas, dalam erti kata mereka menunggu masa untuk pulang ke kampung masing-masing memulakan hidup baru.

Program ini namanya Perkhemahan Ibadah kali ke-2. Saya mengisi slot pada jam 10.30 pagi sehingga sejam berikutnya. Ini kali ketiga saya memenuhi undangan mereka. Sebelum ini program ceramah dibuat di dalam kawasan PUSPA.

Saya hanya berbicara secara umum tentang 3 perkara. Aqidah, Syariah dan Akhlak.

Aqidah membentuk diri menjadi manusia muslim yang punya jati diri, sehingga apabila berada sendirian pada waktu malam yang gelap gelita, ia tetap meyakini bahawa Allah melihatnya dan malaikat mencatat perbuatannya.

Syariah sebagai bukti keimanan yang jitu. Ia melaksanakan suruhan dan meninggalkan larangan. Mencari dan menyediakan bekalan untuk dibawa ke kehidupan yang satu lagi.

Akhlak penghias diri. Kepada Allah, kepada Rasulullah, kepada manusia, kepada haiwan, kepada tumbuhan dan alam. Bukankah Nabi SAW ada bercerita, seorang yang memberi minuman kepada seekor anjing, akhirnya ia masuk syurga.

IMG_4934Saya katakan, kita seperti orang yang naik keretapi (kerana rel keretapi berada di hadapan mereka dan saya menghadap ke arah pantai Laut China Selatan). Di setiap hentian, akan ada yang akan turun dan naik. Tidak selamanya kita berada di dalam gerabak, sampai masa kita akan turun jua.

Akhirnya saya mengucapkan selamat berjaya kepada mereka kembali ke dalam masyarakat. Yang pastinya ujian dan dugaannya pasti lebih hebat dan mencabar. Ujian keluarga, masyarakat sekitar dan kawan-kawan lama yang pernah merosakkan mereka.

Takdirnya ceramah tidak dapat dihabiskan dalam masa yang ditetapkan. Angin kencang mula bertiup, hujan mulai turun. Saya tamatkan 10 minit lebih awal.

IMG_4943

Praktikal Tayammum

Selesai itu, hujan reda semula. Saya sempat berbual pendek dengan seorang pelatih yang bakal keluar. Asal Labuan. Dia menceritakan penyesalannya dan bersyukur dapat masuk membina diri di PUSPA.

Saya bertanya modus operandi mereka mendapatkan bekalan dadah. Tiga kali seminggu mereka ke Kota Kinabalu dengan bot 3 enjin dalam masa 4-5 jam. Dalam sebulan, pendapatan mereka boleh mencecah 5 hingga 6 ribu ringgit. Mana tidak mata mereka menjadi juling.

Saya bertanya, adakah mereka tidak bimbangkan serbuan polis marin?

“Kalau maritim kami takut. Tapi, kalau polis, marin, bos-bos kami sudah mengatur di atas”. Ertinya rasuah disuap kepada mereka yang berkenaan.

Demikian perbualan lebih kurang kami berakhir. Terima kasih Ust Yusrino Yusuf yang menghantar undangan.

IMG_4953

IMG_4868Setahun lalu, saya telah membaca buku ‘Travelog Haji’ karya Prof Dr Hj Kamil Ibrahim. Apabila buku keduanya ‘Travelog Dakwah’ lahir, saya juga telah mendapatkannya.

Menghayati ceramah dan kisah perjalanan hidupnya di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral ahad malam isnin lalu, saya membuat kesimpulan bahawa usaha dan doa yang bersungguh-sungguh dan penuh keyakinan serta pergantungan yang mutlak kepada Allah SWT akan membuahkan hasil dan kejayaan.

Allah SWT telah mencampakkan hidayahNya bermula dengan keinginan beliau mendapatkan jawatan profesor. Dari situ hikmah kebijaksanaan serta ketentuan Allah berlaku satu persatu menyebelahi beliau. Di sanalah keyakinannya semakin menebal terhadap kasih sayang dan rahmat Allah SWT.

IMG_4869

IMG_4872

Dalam ceramahnya juga, saya mendapati sokongan yang tidak berbelah bagi daripada isteri beliau juga memainkan peranan yang sangat penting. Syukur alhamdulillah, Allah SWT mengurniakan beliau isteri dan keluarga yang baik-baik.

Na’uzubillah, ada di kalangan tertentu yang jahil dan baru berjumpa Islam begitu bersemangat menceritakan nikmat hidayah dan keinsafan yang mereka perolehi terutamanya apabila balik haji dan umrah; akhirnya ada yang kembali ke dunia asal mereka dahulu.

Tetapi Prof Dr Hj Kamil ini lain. Saya kira Prof Dr Hj Kamil telah membuat kunci yang tepat apabila memohon hadirin mendoakan kebaikan dan istiqamah untuk diri dan keluarganya. Amin.

IMG_4874

Carilah dua buku beliau yang saya sebutkan itu dan ikuti catatan beliau di http://muhdkamil.net/kehidupan/ dengan tagline ‘KEHIDUPAN RINGKAS TETAPI SIGNIFIKAN’. Kisah perjalanan beliau ke Sabah juga sudah dimuatkan di dalam catatan beliau.

IMG_4897

Dr Hj Kamil membuat titipan dalam buku ‘Travelog Haji. Di sebelahnya, Hj Shariman, bendahari Surau yang juga seorang ahli korporat terkemuka. Kami makan malam di Restoran Nasi Padang Ibu di Jesselton Point, sejurus ceramah tamat.

%d bloggers like this: