Archive for 10 Julai 2009


SEMPENA IJTIMAK TABLIGH

khemah2

Gambar ihsan bonekahati.blogspot.com

Ketika cuti sekolah hujung tahun 1988 darjah 3, saya berjinak-jinak dengan Jamaah Tabligh yang ada di kampung.

Walaupun penyertaan saya hanya dalam tempoh cuti itu sahaja, Jamaah Tabligh mempunyai jasa yang besar kepada diri saya sendiri.

Sepanjang darjah 1, 2 dan 3 pada sebelah pagi saya belajar di sekolah kebangsaan dengan berseluar pendek. 

Sementara pada sebelah petang, saya ke sekolah agama pula dengan berseluar panjang atau berbaju melayu lengkap bersamping pada hari jumaat. Sekolah agama itu baru sahaja ditubuhkan ketika saya berumur 7 tahun.

Sebulan dua bersama Jamaah Tabligh, saya merasai kemanisan solat berjamaah, makan setalam, iktikaf di masjid dan sebagainya.

Menjelang maghrib, saya ikut bapa ke masjid menaiki kereta. Setelah isyak, bapa pun balik sedang saya masih berada di masjid untuk program selanjutnya.

Biasanya, jam 9-10 malam baru balik. Sendirian berjalan kaki kira-kira 20-30 minit. Bayangkan ketika itu baru darjah 3, sementara jalan raya masih gelap tanpa lampu jalan seperti sekarang.

Dalam umur begitu, saya kurang maklum apa sebenarnya tujuan saya ikut Jamaah Tabligh.

Tetapi saya selesa bersama mereka, membaca ta’lim dan bayan.  Hanya saya tidak pernah menyertai keluar yang namanya 3 hari, 7 hari atau 40 hari itu.

Cuma ada beberapa situasi yang rasanya berlaku kepada Jamaah Tabligh walaupun mungkin ini kes terpencil dan mungkin masalah berkenaan kini sudah selesai.

Kisah 1.

Satu ketika, kami bersolat zuhur berjamaah. Yang berjamaah itu pula semuanya ahli Jamaah Tabligh termasuk imamnya sekali. Ketika rakaat ketiga, imam sudah duduk tahiyyat akhir.

Saya tahu solat kami masih kurang serakaat. Tapi saya darjah 3 dan paling muda, manalah tahu macamana hendak tegur dan betulkan imam. 

Selesai imam memberi salam ke kanan dan kiri, saya membisikkan rakan di sebelah kanan yang jauh lebih tua umurnya daripada saya, bahawa solat kita kurang serakaat.

Senior itu juga menyedari, tapi dia juga jahil macam saya. Tak tahu hendak memperbetulkan imam. Rupa-rupanya hampir kesemua ma’mum menyedari kesilapan imam, dan semuanya tak tahu belaka kaedah menegur imam ini.

Pendek cerita, kami pun solat zuhur semula.

Kisah 2.

Pada Februari tahun 2000, saya menjadi imam di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu. Ketika itu, masjid berkenaan baru dirasmikan oleh TYT ketika itu, Tun Sakaran Dandai.

Masjid ini sarat dengan aktiviti. Antara yang regular ialah kuliah-kuliah maghrib yang berlegar tentang ilmu aqidah, ibadah dan akhlak.

Tetapi saya ralat dengan beberapa jamaah yang saya kenali sebagai ahli Jamaah Tabligh. Selesai saja solat maghrib, mereka beredar keluar dan nampaknya tidak berminat untuk mendengar kuliah.

Nanti dekat waktu Isyak, mereka hadir kembali. Apa yang saya kesalkan, pergerakan solat mereka ini ada yang masih belum betul menurut pemerhatian saya. Mereka ada ruang untuk belajar selepas maghrib tetapi mereka keluar pula.

Lebih anehnya, mereka mahu jamaah masjid mendengar ta’lim mereka selepas isyak di satu penjuru tiang masjid.

***

Seperti yang saya catatkan pada awal tadi, mungkin masalah sebegini terpencil sahaja. Saya sangat berharap, ia tidak lagi berlaku.

Rakan-rakan dalam Jamaah Tabligh hendaklah turut serta belajar dan mendengar kuliah-kuliah di masjid dan surau, bukannya hanya mengharap jamaah masjid menyertai ta’lim dan bayan kita selepas isyak.

Saya menyaksikan Jamaah Tabligh di negara lain khususnya di bumi Arab dipimpin oleh para pensyarah universiti yang pakar dalam permasalahan agama. Sedangkan di negara kita keadaan itu sangat berbeza.

Saya boleh kaitkan kisah 1 dan 2 di atas, bahawa sebahagian punca kesilapan itu berlaku kerana kita tidak mahu belajar sedangkan ruangnya sudah ada di hadapan mata.

***

Sempena Ijtimak Tabligh di Masjid KLIA Kuarters yang sedang berlangsung kini, saya ingin mengungkapkan penghargaan dan kredit buat Jamaah Tabligh ini.

Memanglah ada sedikit sebanyak kesilapan mereka (berbentuk individu) dalam menyampaikan risalah Islam, tetapi secara umumnya bagi saya kita harus memberi penghargaan kepada mereka terhadap beberapa perkara.

1. Mereka berani menegur anak-anak muda yang main bola supaya berhenti menjelang maghrib dan ke masjid untuk solat jamaah.

2. Mereka berani mengetuk rumah demi rumah dan menjelaskan kepada penghuni rumah terutama lelaki dewasa akan keutamaan hadir ke surau dan masjid untuk solat jamaah.

3. Istiqamah mereka dalam menjaga solat pada awal waktu secara berjamaah hendaklah menjadi teladan dan contoh yang baik kepada kita khususnya ahli gerakan Islam.

Kesannya kepada saya selepas mengikuti program tabligh di kampung pada 1988, naik darjah 4 saya sudah pun memakai seluar panjang. Saya pandai memakai serban pada hari ini pun atas jasa ahli Jamaah Tabligh juga.

Semoga Allah membalas jasa kalian.

Malam tadi, saya berada di Rumah Kebajikan Teratak Fitrah yang menjadi markas bagi Pertubuhan Kebajikan Saudara Kita Kota Kinabalu (SAHABAT).

Ada majlis pengislaman dua individu. Seorang perempuan dan seorang lelaki.

Baitah baru berumur 20 tahun dan berasal dari Tenom. Sementara Harry pula dari Keningau berumur 22 tahun dan kini  bekerja di Luyang.

Majlis dimulakan dengan sesi penerangan oleh Ustazah Hajjah Mariah Hasibuan dari Bahagian Dakwah JHEAINS yang sememangnya banyak bertanggungjawab soal muallaf ini di pihak jabatan.

Perkara paling asas diterangkan kepada mereka berdua ialah bahawa mereka tidak dipaksa untuk memeluk Islam. Ustazah sempat menceritakan, terdapat mereka yang memeluk Islam di JHEAINS, kemudiannya datang semula untuk keluar Islam dengan pelbagai dalih dan alasan.

Kepada Baitah dan Harry, berulang kali ustazah mengingatkan bahawa mereka tidak dipaksa, dan disuruh berfikir sehabisnya. Alhamdulillah, kedua-dua mereka tetap bertegas dan konsisten dengan keputusan untuk menganut Islam.

Baitah memeluk Islam di tangan Ustazah Mariah, sementara saya pula mengislamkan Harry. Semoga mereka istiqamah dengan Islam.

Malangnya, majlis bersejarah ini saya tidak dapat berkongsi gambar kerana tidak membawa kamera yang sedia tinggal di rumah seharian.

%d bloggers like this: