Pendidikan pra sekolah anak-anak kami semuanya di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI). Nuha antara kumpulan pertama ketika PASTI Nur Fathonah ditubuhkan, ketika itu beroperasi di Taman Union Putatan sebelum berpindah ke Taman Pasir Putih. Nuha kini selesai darjah 3 dan diikuti oleh Hana yang juga tamatan PASTI yang sama akhir tahun 2011. Abdul Hadi juga bakal menamatkan pendidikan di PASTI minggu ini.

Ada satu kebiasaan kami untuk anak-anak yang berada pada tahun terakhir di PASTI untuk menyambut ulangtahun di PASTI bersama guru dan kawan-kawannya. Ulangtahun Abdul Hadi jatuh pada 25 Disember, iaitu ketika cuti persekolahan, jadi menjelang jumaat kedua terakhir, kami adakan juga jamuan meraikan ulangtahunnya mengikut tarikh kelahiran bulan Islam pada bulan Zulhijjah.