Lokasi kali ini ialah sebuah bangunan rumah dua tingkat yang dijadikan asrama penginapan pekerja di Tanjung Aru Kota Kinabalu. Asrama ini dihuni oleh sekitar 15 orang pekerja, dengan pekerja lelaki di aras bawah dan sementara pekerja perempuan tinggal di aras atas. Ziarah kami berlaku pada malam ini – 1 Muharram – selepas solat fardhu isyak.
Sekali lalu, kawasan ini pada sebelah malam agak menyeramkan juga kerana kawasan laluan kaki lima yang gelap dan agak sunyi walaupun berjiranan dengan beberapa rumah yang lain. Jalan di sini pula tidak ramai dilalui orang kerana bukan jalan utama. Sempat kami nasihatkan kepada beberapa pekerja yang hadir agar tidak mengabaikan solat fardhu, kerana ia menjadi benteng ruhani bagi setiap muslim.
Ada dua pekerja perempuan yang turut menyertai kami dan duduk di belakang. Seorang daripadanya tidak menutup aurat, hanya memakai baju-t dan seluar track suit. Apabila sampai waktu berdoa, saya mengisyaratkannya agar mengangkat tangan bersama-sama. Sesudah selesai majlis baru saya tahu bahawa perempuan tadi bukan beragama Islam. Saya soal pula secara spontan, bila dia hendak memeluk Islam, jawabnya dalam perancangan. Baguslah, kata saya.