Tag Archive: PASTI Nur Fathonah


Pendidikan pra sekolah anak-anak kami semuanya di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI). Nuha antara kumpulan pertama ketika PASTI Nur Fathonah ditubuhkan, ketika itu beroperasi di Taman Union Putatan sebelum berpindah ke Taman Pasir Putih. Nuha kini selesai darjah 3 dan diikuti oleh Hana yang juga tamatan PASTI yang sama akhir tahun 2011. Abdul Hadi juga bakal menamatkan pendidikan di PASTI minggu ini.

Ada satu kebiasaan kami untuk anak-anak yang berada pada tahun terakhir di PASTI untuk menyambut ulangtahun di PASTI bersama guru dan kawan-kawannya. Ulangtahun Abdul Hadi jatuh pada 25 Disember, iaitu ketika cuti persekolahan, jadi menjelang jumaat kedua terakhir, kami adakan juga jamuan meraikan ulangtahunnya mengikut tarikh kelahiran bulan Islam pada bulan Zulhijjah.

Dengan tempoh empat kali pertemuan, 1 & 2, 8 & 9 hb Disember, seramai 12 orang anak-anak berumur 5-6 tahun mengisi masa mereka di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Nur Fathonah Taman Pasir Putih Putatan dalam program Smart al-Quran.

Dalam program ini, anak-anak akan didedah dan diuji dengan kemampuan menghafaz beberapa surah lazim,  lafaz-lafaz niat solat fardhu,  bacaan-bacaan dalam solat, serta praktikal wudhu dan solat.

Foto-foto ini dirakamkan pada awal sesi hari pertama, dengan semua anak-anak berkenalan dengan fasilitator yang akan bersama-sama mereka dalam program ini. Tahniah kepada semua AJK penganjur dan ibu bapa yang sudi menghantar anak-anak mereka. Semoga ada manfaatnya.

PROGRAM SMART AL-QURAN

Insya Allah program ini bermula pada 1/12/2010 dengan kekerapan 2 kali seminggu iaitu pada setiap hari RABU dan KHAMIS sahaja. Program berjalan 8 kali dalam masa 4 minggu dan berakhir pada 23/12/2010. Program ini dianjurkan oleh Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Nur Fathonah, Taman Pasir Putih Putatan Sabah.

Pendaftaran bagi kemasukan murid ke Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Nur Fathonah sesi 2010 telahpun bermula.

Walaubagaimanapun PASTI berkenaan yang selama ini beroperasi di Taman Union Putatan (2007-2009) bakal berpindah lokasi.

PASTI Nur Fathonah akan memulakan operasinya untuk sesi 2010 ini di Pejabat Parti Islam SeMalaysia (PAS) Kawasan Putatan, Tingkat 1, Blok D, Jalan Hussin 3A, Platinum Plaza Putatan (blok paling belakang), di atas premis Terapi as-Salam /BCI Tijarah Sdn Bhd. (Gambar atas).

Para ibu bapa dialu-alukan untuk menghantar anak masing-masing yang berumur 4 hingga 6 tahun di PASTI berkenaan. Sehingga kini sudah 20 murid disahkan menyertai PASTI ini untuk 2010. Pendaftaran masih dibuka.

Untuk maklumat lanjut boleh menghubungi 013-8600545 (Muhasibi).

Bangunan di Taman Union disahkan telahpun dijual oleh tuan rumah kepada pemilik baru minggu lalu.

Konvokesyen PASTI Pantai Barat Sabah 2009 (7)

HATIKU TERUSIK.

1984-1985

Saya mula mengenal erti sekolah, cikgu, beg sekolah dan seumpamanya pada tahun 1984. Saya memasuki pra sekolah bernama Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) anjuran KEMAS di kampung sendiri.

Dari rumah ke kelas, hanya sekitar 200 meter.

Meski jaraknya dekat, saya bukanlah murid yang rajin ke sekolah. Pemalasnya, Allah saja yang tahu. Sudahlah pemalas, penakut pula. Teringat zaman itu, boleh membuatkan senyum sendiri.

Di sekolah TADIKA pula saya kerap bersembunyi di bawah meja. Lebih hebat, di bawah kerusi. Hari-hari ditemani mama, menanti penuh sabar seorang anaknya yang be’ulah ini sehingga 10.30 pagi.

Situasinya hanya dua. Kalau datang, saya lebih banyak bersembunyi kerana takutkan Cikgu Salina. Kalau tidak, saya hanya di rumah, tidak mahu ke sekolah.

Tapi di rumah, saya suka ‘menengok’ akhbar Sabah Times yang menjadi bacaan bapa dan keluarga. Saya tidak tahu membaca, hanya melihat gambar dan cuba mengeja rancangan TV. Kalau-kalau petang itu ada cerita kartun.

Selain itu, di rumah saya suka membuat latihan berbanding di sekolah. Kebetulan bapa seorang guru (pengetua), dia selalu menyediakan kerja rumah untuk saya siapkan.

Hujung 1985, ada majlis penyampaian hadiah (konvo dalam bahasa hari ini) untuk murid tadika. Majlis diadakan di dewan sekolah rendah yang terletak bersebelahan.

Di hujung majlis, saya dinobatkan sebagai murid tadika terbaik. Saya diapit oleh rakan-rakan, yang sebahagiannya kami masih bersahabat sehingga kini. Mohd Farizey John, Jamaluddin Ahmad, Awangku Hasbollah Pg Hassan dan Md Irwan Adnan.

2007-2009

Hati saya terusik apabila melihat anak sulung, Nuha naik pentas di Pusat Perdagangan Sabah (STC) Likas sabtu lalu. Terusik mengenang diri naik pentas kampung 25 tahun lalu menerima hadiah ketika umur sama seperti Nuha.

Masa pantas berlalu. Tanpa dirasa PASTI Nur Fathonah Taman Union Putatan menggenapkan umur operasinya selama 3 tahun. Nuha satu-satunya murid yang bermula dari awal pada 2007 dan bertahan selama 3 tahun sehingga minggu ini.

Kawan-kawannya ketika PASTI bermula sudah mengundur diri dan berpindah ke tadika lain. Saya sendiri pernah terfikir untuk memindahkan Nuha ke tempat lain, kerana hampir berputus asa dengan keadaan dan cabaran ketika itu.

Saat Nuha mula ke PASTI pada 2007, rasa gembira itu saya kongsikan dengan bapa. Saya hubungi sendiri, bercerita bahawa cucu ke sembilannya itu berani ke sekolah.

“Baguslah.. bukan macam kau dulu, penakut!” Bapa mengimbau sikap dan gelagat saya 25 tahun lalu. Hahaha.. malunya.

Dua minggu lalu, ketika saya ada tugas rasmi di Melaka, isteri ada menyampaikan SMS bahawa Nuha dan Hana mendapat tempat pertama dalam tahap masing-masing. Ertinya mereka akan naik pentas menerima hadiah.

Nuha anak yang berani, kalau dibanding dengan saya dahulu. Dia tidak menangis ditinggal di PASTI sendirian seperti saya, Nuha berani menyertai sukaneka mewakili PASTInya dan menjadi qariah ketika majlis bermula dalam konvo sabtu lalu.

Nuha akan meninggalkan PASTI hujung minggu ini dan memasuki medan baru di sekolah rendah awal tahun hadapan. Dia meninggalkan guru di PASTI yang sering bertukar guru, dan meninggalkan adiknya Hana yang akan naik ke kelas umur 5 tahun.

Sebagai ganti, hero kami Abdul Hadi akan masuk ke PASTI untuk umur 4 tahun. Cuma saya kurang maklum, adakah PASTI Nur Fathonah masih wujud pada tahun hadapan atau tidak? Pengurusan PASTI mungkin boleh menjawabnya.

Walaupun Hadi mengganti Nuha, pengalaman menghantar dan meninggalkan anak di sekolah saat mereka masih kecil sudah tentu tidak sama. Anak pertama sudah tentu meninggalkan kenangan tersendiri yang sukar dilupakan.

Sebab itu hati saya sekali lagi terusik apabila petugas majlis menegur ibu bapa yang menggambar anak di atas pentas ketika sesi penyampaian sijil berjalan, kerana dikatakan lambat.

Saya ada perasaan. Naluri saya sebagai bapa kepada anak yang diraikan mengatakan, ini hari mereka. Tanpa anak-anak yang diraikan, majlis ini tiada ertinya.

Perasaan saya terusik lagi ada anak yang tidak digambar oleh ibu bapanya. Menerima skrol sijil tanpa dihiasi kerdipan cahaya kamera. Ada di kalangan anak ini yang ternanti dan terhenti di atas pentas menunggu saat digambar. Suram rasanya.

Secara ringkasnya, saya titipkan berbanyak terima kasih kepada gurunya, Cikgu Aminah, Cikgu Eja, Cikgu Sarini, Cikgu Yusni, Cikgu Anne dan beberapa nama lagi yang tidak diingati kerana selalu bertukar guru. Allah saja yang mampu membalas.

‘Ala kulli hal, perasaan bersyukur kepada Allah SWT tetap mengatasi segalanya. Nuha menamatkan pelajarannya di PASTI dalam keadaan boleh membaca rumi, jawi dan al-Quran. Alhamdulillah.

Konvokesyen PASTI Pantai Barat Sabah 2009 (8)

Konvokesyen PASTI Pantai Barat Sabah 2009 (9)

Konvokesyen PASTI Pantai Barat Sabah 2009 (10)

Konvokesyen PASTI Pantai Barat Sabah 2009 (11)

%d bloggers like this: