Archive for 29 November 2012


RUQYAH PESAKIT IV

Ruqyah @ Tg Aru

Hampir tengah malam, saya dihubungi oleh Ustaz Arif, sahabat kami yang mengajar di SK Tanjung Aru 1 Kota Kinabalu. Ada sedikit masalah yang berlaku di Tanjung Aru, seorang remaja perempuan berumur lingkungan 19 tahun hendak keluar rumah.

Pada mulanya saya menjangkakan anak ini mungkin liar hendak mengikut teman lelaki seperti kebanyakan kes remaja yang lari dari rumah. Apabila kami tiba di rumah keluarga berkenaan, ia siap menyediakan begnya yang hanya berisi al-Quran dan surah Yasin. Saya ruqyah anak ini dan berbual beberapa perkara dengannya. Daripada perbualan kami, dia hendak berangkat ke Pulau Pinang, katanya hendak memberitahu kawan-kawannya di sana ada bala hendak tiba.

Kami katakan, kalau dia keluar rumah tengah-tengah malam sebegini, silap-silap dia pula dapat bala. Dia mendakwa dimaklumkan oleh dua ulamak besar yang ada di hadapannya (di hadapan kami juga) tetapi kami tidak dapat melihatnya pun. Lama juga perbualan kami, sesekali jadi perdebatan pula. Malam itu kami berada di situ sehingga jam 3 pagi.

Badan sudah keletihan sebenarnya, kami kasihankan orang tuanya yang kebetulan kurang sihat juga, jika kami tinggalkan malam itu bimbang anak itu secara senyap akan lari pula.  Berkali-kali menyatakan hendak ke Pulau Pinang kerana katanya amanah untuk menyampaikan maklumat musibah berkenaan. Kami mohon izin balik dan berjanji akan datang pula pada sebelah siang.

Menjelang tengahari kami datang semula. Kali ini Hj Dzul pula yang ruqyah dan memberi beberapa tips untuk diamalkan oleh keluarganya. Ada sedikit positif keadaannya berbanding malam tersebut. Babak ini belum habis sepenuhnya kerana ada peristiwa lain, namun saya padakan di sini sahaja. Apa yang penting doakan semoga keluarganya bersabar atas ujian yang menimpa. Sesungguhnya kesakitan dan kesembuhan itu daripada Allah SWT jua.

Tarikh : 24 November 2012

Lokasi : Kian Kok Kota Kinabalu

 

%d bloggers like this: