Archive for 2 November 2012


Khatib : Ustaz Hisham Yayah

Lokasi : Masjid al-Kauthar Kg Tanjung Aru Lama, Kota Kinabalu.

Segala amalan kita di dunia ini akan dibentangkan di akhirat, tidak terkecuali walaupun ianya sekecil zarah. Pada ketika itu kita akan melihat segala amalan semasa hidup ini dalam suratan amal, ada yang berpahala, ada juga yang berdosa. Mereka yang berdosa itu akan merasa takut dengan keadaan sedemikian.

Dan Kitab-kitab Amal dibentangkan, maka engkau akan melihat orang yang berdosa itu merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka berkata: Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau besar, melainkan semua dihitungnya! Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu ada tertulis di dalamnya. dan ingatlah Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun.

Namun persoalannya pada hari ini ada daripada kalangan kita yang kaya di dunia tetapi miskin di akhirat dengan kata lain mereka ini banyak melakukan amalan kebaikan dan kebajikan semasa di dunia tetapi ketika di akhirat mereka ini dikira sebagai golongan miskin ataupun muflis.. Kenapa jadi sebegini?

Jawapannya ialah kerana semasa hidup di dunia, mereka melakukan kebaikan dan kebajikan serta dalam masa yang sama mereka juga melakukan kejahatan dan dosa sesama manusia. Segala ganjaran pahala kebaikan di ambil oleh Allah SWT bagi membayar segala hutang kejahatan semasa hidup di dunia ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW :

Siapa yang muflis? Manusia yang muflis itu bukanlah mereka yang tidak berharta dan tempat tinggal.”Sesungguhnya orang yang muflis itu ialah mereka yang tidak menunaikan hak-hak orang lain seperti mencaci dan merampas harta tanpa hak, memukul tanpa sebab dan sebagainya”. (Riwayat Muslim).

Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Para sahabat menjawab: Bagi kami orang yang muflis ialah orang yang tidak memiliki wang mahupun hartabenda”. Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: Sebenarnya orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah mereka yang pada hari Kiamat datang dengan membawa pahala amal solat, puasa, zakat dan haji tetapi semasa di dunia mereka pernah mencaci maki orang, menuduh tanpa bukti, memakan harta dengan zalim, membunuh dan memukul sesuka hati.

Lalu pada hari kiamat, orang yang di zalimi akan menerima pahala amal si penzalim. Jika pahala amalnya telah habis (diberikan) sedangkan kesalahan dan dosanya semasa di dunia kepada orang yang tidak berdosa masih banyak, maka Alllah SWT akan memberi pula dosa orang yang dizalimi itu kepadanya sehingga semakin berat bebannya, lalu Allah SWT campakkan dia ke dalam neraka. ” (Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadith ini, dapat kita fahami bahawa golongan yang menjadi muflis di akhirat adalah berasal daripada mereka yang memiliki pahala yang banyak. Bagaimanapun, semua pahala ibadah mereka itu habis kerana digunakan sebagai bayaran ganti rugi kepada insan yang pernah disakiti, dikianati, dihina, dibunuh atau dizalimi. Bahkan mereka juga akan dibebankan dengan dosa orang yang dizalimi. Alangkah ruginya golongan muflis ini.

Ganjaran pahala yang dikumpulkan dengan mengerjakan bermacam kebaikan dan ibadah, akhirnya menjadi barang tukaran kerana denda yang perlu dibayar dengan sebab kesalahan terhadap orang lain. Kuat beribadah dan memiliki pahala yang banyak tidak menjamin terpeliharanya seseorang itu daripada azab Allah SWT jika pada masa yang sama masih lagi melakukan penganiayaan, penindasan dan kezaliman kepada insan lain.

Dalam pergaulan hidup sehari-hari sudah tentu berlaku kesilapan sama ada disengajakan atau tidak. Kesilapan itu boleh mengundang dosa terutama jika ia menyentuh pelanggaran hak yang berkaitan dengan tubuh, maruah diri dan harta benda orang lain.  Apabila kesalahan berkaitan dengan manusia, maka wajib bagi kita meminta maaf dan mengembalikan haknya.

Jika kita tidak sempat memohon kemaafan semasa hidup di dunia ini maka dosa-dosa itu akan dibayar dengan pahala-pahala di akhirat. Kerana itulah  pahala kita ini akan berkurangan sehingga kita miskin di akhirat nanti. Jika kita miskin di dunia masih ada lagi orang yang bersimpati dan dapat membantu kita. Tetapi bagaimana pula hal keadaan kita apabila miskin di akhirat? Siapakah yang akan bersimpati, siapakah yang akan menolong kita dan siapakah pula yang akan menyelamatkan kita dari azab seksaan neraka Allah SWT?

Semoga dapat membantu mereka yang berhajat.

%d bloggers like this: