Archive for 1 November 2012


Saya dan Ustaz Suhaidi Kuanting diberikan amanah oleh pihak maahad untuk melakukan kerja-kerja mempromosi Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat Negeri Sabah kepada umum dengan sasaran khusus ke sekolah-sekolah menengah agama kendalian JHEAINS, SMKA-SMKA dan SMK biasa yang mempunyai Kelas Aliran Arab (KAA) yang terpilih.

Ada beberapa alasan program ini tertangguh lama terutama kesibukan menyiapkan majalah maahad buat kali pertama. Ketika maahad bercuti 3 minggu sebelum ini, pihak sekolah yang menjadi sasaran kami pula kebanyakannya sedang menjalani peperiksaan semester atau persediaan peperiksaan. Namun begitu hubungan yang baik dengan beberapa sekolah sehingga ceramah promosi maahad dapat dianjurkan.

Membuka tirai tugasan kami kali ini ialah ceramah di SMKA Kota Kinabalu yang diadakan di surau sekolah mereka. Lebih 200 pelajar putera dan puteri hadir dan mendengar taklimat yang saya sampaikan di Surau ar-Rahman. Taklimat sekitar sejam sahaja merangkumi tentang sejarah maahad, program akademik dan ko-kurikulum, subjek pengajian, yuran dan kemudahan yang disediakan, syarat kemasukan serta peluang-peluang melanjutkan pengajian selepas maahad.

Terima kasih atas peluang yang diberikan khususnya buat Ustaz Amir Hussin Baadul dan semua warga SMKAKK yang hadir. Saya dan rombongan – 4 orang siswa maahad yang menemani perjalanan gembira dapat berziarah dan bertemu mata. Insya Allah kami menanti wakil SMKAKK menjadi sebahagian warga maahad pula pada tahun hadapan.

%d bloggers like this: