Khatib : Seni Deliman

Lokasi : Masjid Nurul Jannah Kg Petagas

Islam telah mengatur prinsip-prinsip dasar semua bidang kehidupan umat manusia. Termasuk di dalamnya adalah konsep toleransi dan hubungannya dengan penganut agama lain. Allah SWT menciptakan manusia di muka bumi ini dengan berbagai macam suku bangsa, ras, agama dan etnik. Untuk itu Allah SWT mengajarkan konsep toleransi dengan tujuan untuk mewujudkan perdamaian umat manusia di muka bumi ini.

Dan janganlah kamu menghina apa yang mereka sembah selain dari Allah, kerana mereka kelak akan mencaci Allah secara melampaui batas tanpa ilmu pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.” (al-An’am : 108)

Perbezaan agama sebenarnya bukan penghalang terjalinnya kerukunan dan kedamaian di antara sesama manusia. Meskipun kita bergaul dengan orang yang berbeza iktikad keyakinan, tetapi kedamaian hidup tetap menjadi keutamaan. Allah SWT mengizinkan umat-Nya untuk menjalin kerjasama dan berbuat baik kepada mereka yang menganut agama bukan Islam.

Allah SWT mengajar kita bagaimana untuk menghormati dan melindungi hak orang lain. Pengajaran paling penting adalah kita hendaklah berlaku adil terhadap sesama manusia. Atas dasar inilah agama Islam menolak sikap membeza-bezakan darjat ketinggian sesuatu kumpulan manusia di atas dasar bangsa, warna kulit, bahasa, kewarganegaraan dan seumpamanya.

Islam menetapkan bahawa menentukan darjat manusia semata-mata di atas alasan tersebut sebagai satu manifestasi jahiliyyah yang menyesatkan. Ingatlah bahawa bumi yang kita diami ini sejak dahulu hingga ke akhir tamadun kemanusiaan adalah berasal daripada keturunan yang satu. Oleh kerana itu kita sebagai manusia adalah bersaudara dalam status sebagai manusia. Kita di tuntut untuk saling kenal-mengenali dan melenyapkan perbezaan yang ada sesama kita.

Penghormatan terhadap orang lain boleh dihayati menerusi sirah Nabawiyah. Perhatikanlah ketika  peristiwa Piagam Madinah yang terkenal di dalam sejarah Islam. Baginda telah menyeru umat Islam agar sentiasa menjaga hak keharmoniaan sesama manusia. Ia merupakan lambang keadilan Islam terhadap umat manusia keseluruhannya.

Di antara butir-butir kesepakatan yang terkandung dalam Piagam Madinah ialah sesiapa yang hidup dan tinggal di wilayah Madinah, baik Islam atau pun bukan Islam, dengan syarat tidak berbuat zalim, maka hendaklah mereka dilindungi dan diberi keamanan di bawah kekuasaan Islam yang suci. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud dengan maksudnya :

Sesiapa yang menzalimi seorang kafir yang diberi janji perlindungan oleh negara Islam (mu’ahad) atau mengurangi haknya atau memaksanya melakukan sesuatu di luar kekeuasannya atau mengambil sesuatu yang menjadi miliknya tanpa kerelaan hatinya, maka saya adalah penentangnya di hari Kiamat nanti”. (Riwayat Abu Daud)

Seharusnya umat Islam memahami tuntutan keadilan dan sikap bertoleransi ini. Namun, toleransi yang dimaksudkan bukanlah bererti kita mengakui doktrin keyakinan mereka kerana di dalam persoalan akidah Islam tidak sama sekali berkompromi dengan kesyirikan. Toleransi yang dimaksudkan oleh Islam ialah di dalam muamalah harian di samping akhlak baik yang dihayati ketika berkomunikasi dengan penganut agama lain. Ini merupakan dakwah bil hal yang memberi impak positif kepada perkembangan Islam.