Archive for 15 Februari 2012


TASMIK RUQYAH & HERBA

Ini kali kedua tasmik ruqyah dan seterusnya tasmik herba dalam pengajian kami di Darussyifa’ Sabah. Tasmik ruqyah buat pertama kali diadakan pada akhir bulan oktober tahun lepas dengan kehadiran empat orang mumtahin (pemeriksa) dari Darussyifa’ Bangi. Tapi kali ini mumtahin ada 5 orang dan ditambah lagi seorang dengan Ustaz Nik Anwar Zakaria dari Darussyifa’ Sabah.

Jumaat malam sabtu diadakan taklimat bersama Pengerusi Darussyifa’ iaitu Tuan Haji Abdul Rahman Ahmad yang menjelaskan panjang lebar etika pengubatan Islam yang mesti dipatuhi oleh perawat Darussyifa’. Ia menerangkan tentang akhlak muslim yang mesti ada sebagai seorang perawat muslim dan Darussyifa’.  Antara yang mengesankan saya ialah tidak meminta atau menetapkan sebarang upah kepada pesakit yang memohon rawatan. Jika ada sumbangan, diberikan kepada tabung persatuan. Begitu juga diterangkan kepada pesakit bahawa kesembuhan itu adalah milik Allah SWT, bukan kepada perawat yang sekadar berikhtiar kepada Allah SWT.

Tasmik ruqyah pusingan kedua diadakan pagi sabtu, selepas majlis zikir diadakan. Ia merangkumi lebih 100 peserta yang masih bertahan, menghafaz bait-bait ruqyah yang perlu diperdengarkan kepada mumtahin dengan baik. Ada yang tasmik ruqyah asas kedua dan ketiga, dan ada yang tasmik ruqyah ketiga saja seperti saya. Giliran saya tasmik sekitar jam 12.15 tengahari, beberapa minit sebelum azan zuhur dilaungkan. Selepas solat dan makan tengahari, tasmik disambung lagi sehingga lewat petang. Tasmik ruqyah berakhir dan selepas isyak disambung lagi dengan tasmik herba pula.

Ada 12 kumpulan semuanya, enam kumpulan berada di bilik kuliah 2 dan enam kumpulan lagi di bilik mesyuarat Masjid Negeri Sabah. Setiap kumpulan mempersembahkan cara-cara merawat 2 jenis penyakit zahiriah yang melibatkan penggunaan herba dan ruqyah sekaligus. Ada penyakit tentang asma, gaut, buah pinggang, sawan, kencing manis, migrain, gastrik, kayap dan lain-lain.

Buku yang baru dibaca :

Penulis : CN al-Afghani & Mohd Rapi Mohd Nor al-Jundi

Penerbit : Best Seller Publication (2011)

Harga : RM17.00/RM20.00

Petikan :

Pada mereka, aku perlu berada dalam selamat dan pulang dengan selamat, bukan sahaja selamat ke Islamabad, malah ke negaraku. Aku sedar, mereka menganggapku amat berharga. Berharga untuk perjuangan mereka. Bukan nyawaku yang dipentingkan, tetapi adalah maklumat yang akan kubawa pulang.

Mereka mahu kubawa ole-oleh dari medan jihad Kashmir. Agar umat Islam di Malaysia tahu apa yang sedang berlaku di Kashmir. Pertembungan antara kuffar dan Islam di bumi yang terpinggir itu. Mereka mahu umat Islam tahu, bahawa saudara mereka di Kashmir amat memerlukan sokongan mereka. Bukan sokongan tenaga, tetapi kewangan dan doa. Satu sen sahaja dari umat Islam Malaysia ini, amat tinggi nilainya untuk jihad mereka. Sebagaimana Allah Taala telah berfirman yang maksudnya :

“..dan barang apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantikannya dan Dialah sebaik-baik pemberi rezeki” (Saba : 39)

Sebab itu, mereka melihat kedatanganku amat penting. Sebab itu jugalah kudapati Mansoor sentiasa waspada terhadap keselamatanku. Hinggakan kuhendak ke tempat buang air pun ia mengikutnya. Dia menghormatiku bukan sahaja sebagai tetamu biasa, malah lebih dari itu. Ada sesuatu yang mereka harapkan dariku. Harapan yang terlalu agung, tinggi menggunung, seluas lautan dan setebal bumi.

Inilah juga yang merisaukanku. Harapan mereka. Apakah aku mampu untuk memenuhi harapan mereka atau sebaliknya. Entahlah, sukar untukku memberi jawapan. Apa yang kumampu lakukan, sekadar mendedahkan maklumat dan tinjauan kepada umum. Setelah itu terpulanglah kepada pembaca sekalian. Mahu membantu atau tidak perjuangan mereka, bukan kuasaku untuk menentukan. 

%d bloggers like this: