Archive for 29 Februari 2012


Sumber : http://www.darulquran.gov.my/

DARUL QURAN merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi dalam bidang Tahfiz Al-Quran yang diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA), mempelawa calon-calon yang berkelayakan untuk mengikuti pengajian Diploma Tahfiz Al-Quran. 

KURSUS YANG DITAWARKAN:

Kursus dijalankan mengikut sistem semester selama 3 tahun (6 semester). Anda akan dibimbing dan dilatih sebagai seorang Hafiz dan Hafizah yang mampu menghafaz 30 juzuk Al-Quran. Subjek yang ditawarkan meliputi bidang Pengajian Al-Quran, Qiraat, Dakwah, Syariah, Hadis dan Muamalat.

SYARAT-SYARAT PERMOHONAN:

1. Berumur tidak melebihi 21 tahun dan belum berkahwin.
2. Lulus SPM dengan mendapat kepujian dalam mata pelajaran:

  • Bahasa Melayu,
  • Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah/Pendidikan Syariah Islamiah/Pendidikan Islam/Tasawwur Islam,
  • Bahasa Arab Tinggi / Bahasa Arab Komunikasi dan,
  • Lulus Bahasa Inggeris atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengan SPM.

Calon-calon yang sedang mengikuti pengajian di mana-mana Maahad Tahfiz Negeri yang menyertai pengajian bersama Program Diploma Tahfiz di Darul Quran adalah tidak layak memohon.

YURAN PENGAJIAN:

Yuran pengajian tidak dikenakan. Elaun Pengajian akan dipertimbangkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia untuk pelajar-pelajar Darul Quran.

CARA MEMOHON:

Permohonan secara atas talian (online) boleh diisi melalui laman sesawang:

a)   http://www.darulquran.gov.my/
b)   http://www.islam.gov.my/

UJIAN & TEMUDUGA:

Calon-calon yang berkelayakan akan dipanggil untuk temuduga dan menduduki ujian bertulis. Sila semak senarai nama dalam talian dan bawa borang permohonan  yang telah dicetak  semasa temuduga.

TARIKH TUTUP PERMOHONAN:

Tarikh tutup permohonan 10 hari selepas keputusan SPM diumumkan.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Telefon: 03-60635333 atau 03-60635349 / 5350 / 5351
Faks: 03-60645497

MAKLUMAN:

• Calon-calon yang tidak menerima apa-apa makluman selepas 7 Mei 2012 adalah dianggap tidak berjaya.

Sumber : http://www.islam.gov.my/pentas-akhir-sirah-nabi-adikku-sabah-fm

Pada 18 Februari 2012 yang lepas, program Pentas Akhir Sirah Nabi Adikku Sabah fm 2011 telah diadakan bertempat di Masjid Bandaraya, Kota Kinabalu, Sabah. Ia adalah anjuran bersama Sabah fm (Jabatan Penyiaran Malaysia, Sabah), Masjid Bandaraya K.Kinabalu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah, Pusat Zakat Sabah (PZS), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Zon Sabah dan beberapa NGO lain.

Objektif utama rancangan ini untuk mengetengahkan cerita dan sejarah nabi-nabi terdahulu kepada semua lapisan masyarakat. Seterusnya untuk menyampaikan dakwah Islam melalui kanak-kanak berumur antara 7 hingga 12 tahun. Penganjur juga mengharapkan ia dapat memupuk jati diri, keyakinan serta memberi peluang kepada masyarakat untuk mengetahui tentang cara hidup dan kisah teladan sejarah nabi-nabi yang terdahulu.

Menyorot kembali latar belakangnya, rancangan Sirah Nabi Adikku adalah sebuah rancangan baru di Sabah fm. Rancangan ini berkonsepkan dakwah hiburan yang mengupas sejarah nabi-nabi, melibatkan kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun. Disiarkan setiap hari selasa, 8.30 malam di Radio Malaysia Sabah fm.

Secara ringkas mengenai rancangan ini, satu ujibakat telah diadakan pada bulan April 2011 yang lalu. Hasilnya hanya 9 peserta yang terpilih untuk menyampaikan cerita pada setiap minggu dari bulan April hingga Oktober 2011. Peserta kanak-kanak telah dipilih dari Sekolah-sekolah Agama Negeri sekitar Kota Kinabalu. Pemilihan sekolah dibuat oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Bahagian Pendidikan berdasarkan perbincangan dengan penerbit Rancangan Sirah Nabi Adikku.

Pentas Akhir Sirah Nabi Adikku yang turut berlangsung live di corong Radio Malaysia Sabah fm itu telah manampilkan 8 peserta yang sangat berbakat. Pelbagai elemen kemahiran dan nilai tambah yang digabungkan bersama bakat yang dilatih menjadikan persembahan mereka mendapat perhatian hadirin yang hadir serta memukau para juri. Alunan ayat suci Al-Quran, hadith Nabi Muhammad S.A.W, nasyid, gurindam, pantun, syair dan lakonan yang dipersembahkan oleh para peserta menjadikan penceritaan mereka sangat menarik.

Y.Bhg. Tuan Haji Ahmad Zaki bin Haji Arsad, Pengarah JAKIM Cawangan Sabah telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang dan semua penaja rancangan yang julung kali diadakan oleh Sabah fm tersebut.

Sementara itu, program lain sempena Maulidur Rasul 1433H yang turut berlangsung sepanjang hari di Masjid Bandaraya itu ialah program ‘Kami Cinta Rasul’ yang dijalankan di sebelah pagi. Antara pengisiannya ialah kuiz, nasyid, pertandingan mewarna kategori kanak-kanak dan sesi tazkirah khas yang disampaikan oleh Y.Bhg. Tuan Haji Ahmad Zaki bin Haji Arsad, Pengarah JAKIM Cawangan Sabah. Di sebelah malamnya pula, sesi ceramah Maulidur Rasul telah disampaikan oleh penceramah khas yang diterbangkan dari Indonesia.

%d bloggers like this: