Tag Archive: Masjid Kg Petagas


Masjid Kg Petagas

Khatib : Ustaz Suharto Sukarnie

Lokasi : Masjid Nurul Jannah, Kg Petagas

Firman Allah SWT bermaksud : ” Setiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya, oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan, kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan), sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu.” (Al-Baqarah : 148)

Kalimah dan pesanan taqwa yang saban hari dan minggu disampaikan bermakna agar kita terus menerus berusaha berbuat kebaikan dan meninggalkan maksiat. Atas siapa pun bangsa dan suku kaum kita, kerana tiada kelebihan pada mana-mana bangsa melainkan dengan taqwa dan amal solehnya.

Sesudah Allah SWT menjadikan manusia yang pelbagai kaum tadi dengan tujuan utamanya agar manusia saling mengenal antara satu sama lain. Maka hendaklah manusia bersungguh-sungguh berbuat kebajikan, bersaing di dalam kebaikan. Manusia hendaklah mengingat bahawa hujung kehidupan di dunia ini bernama kematian, dan ada satu lagi kehidupan abadi selepas itu manusia dikumpul dan dinilai oleh Allah SWT

Khatib : Ustaz Suharto Soekarni

Lokasi : Masjid Nurul Jannah, Kg Petagas Putatan

Ungkapan dan seruan taqwa yang sering dikumandangkan oleh para khatib saban minggu bukanlah pada nama dan sebutan sahaja. Ia mesti dibuktikan dengan pelaksanaan ajaran din al-Islam secara menyeluruh. Ada kalangan manusia yang memahami ad-Din sebagai religion iaitu ibadah ritual semata-mata.

Sedangkan ad-Din sepatutnya diterjemahkan sebagai way of life atau cara hidup yang lengkap dan memandu penganutnya secara keseluruhan. Ad-Din adalah gaya hidup pentadbiran, ad-Din adalah gaya hidup kekeluargaan, ad-Din adalah gaya pemerintahan dan begitulah seterusnya. Sementara Islam yang menjadi pegangan hendaklah dibuktikan secara harmoni dan damai kerana Islam itu sendiri adalah agama perdamaian dan orang Islam merasa selamat dengan kehadiran orang Islam yang lain.

Sabda Nabi SAW : “Orang Muslim itu ialah mereka yang selamat orang Islam lainnya dari (kejahatan) lisan dan tangannya.” (HR al-Bukhari)

Khatib : Ustaz Haji Abu Hurairah Abd Rahman

Lokasi : Masjid Nurul Jannah Kg Petagas Putatan

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran. (Surah Al-Baqarah 2: Ayat 186)

“Tiga bentuk doa yang dimustajabkan Allah: doa ibu bapa terhadap anak; doa orang yang berpuasa; dan doa orang bermusafir.” (Riwayat al-Baihaqi) Bulan Ramadhan adalah bulan untuk kita berdoa pada Allah SWT. Berdoa bukan terhad pada bulan Ramadhan semata-mata. Kerana Bulan Ramadhan akan dimakbulkan doa oleh Allah.

Bulan Ramadhan adalah bulan lebih baik daripada seribu bulan. Kerana bulan Ramadhan ada malam yang sangat istimewa kepada umat Islam khususnya iaitu Lailatul Qadar. Malam penuh berkat itu segera kita kejari sebelum ia pergi meninggalkan kita.

Khatib : Seni Deliman

Lokasi : Masjid Nurul Jannah Kg Petagas

Islam telah mengatur prinsip-prinsip dasar semua bidang kehidupan umat manusia. Termasuk di dalamnya adalah konsep toleransi dan hubungannya dengan penganut agama lain. Allah SWT menciptakan manusia di muka bumi ini dengan berbagai macam suku bangsa, ras, agama dan etnik. Untuk itu Allah SWT mengajarkan konsep toleransi dengan tujuan untuk mewujudkan perdamaian umat manusia di muka bumi ini.

Dan janganlah kamu menghina apa yang mereka sembah selain dari Allah, kerana mereka kelak akan mencaci Allah secara melampaui batas tanpa ilmu pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.” (al-An’am : 108)

Perbezaan agama sebenarnya bukan penghalang terjalinnya kerukunan dan kedamaian di antara sesama manusia. Meskipun kita bergaul dengan orang yang berbeza iktikad keyakinan, tetapi kedamaian hidup tetap menjadi keutamaan. Allah SWT mengizinkan umat-Nya untuk menjalin kerjasama dan berbuat baik kepada mereka yang menganut agama bukan Islam.

Allah SWT mengajar kita bagaimana untuk menghormati dan melindungi hak orang lain. Pengajaran paling penting adalah kita hendaklah berlaku adil terhadap sesama manusia. Atas dasar inilah agama Islam menolak sikap membeza-bezakan darjat ketinggian sesuatu kumpulan manusia di atas dasar bangsa, warna kulit, bahasa, kewarganegaraan dan seumpamanya.

Islam menetapkan bahawa menentukan darjat manusia semata-mata di atas alasan tersebut sebagai satu manifestasi jahiliyyah yang menyesatkan. Ingatlah bahawa bumi yang kita diami ini sejak dahulu hingga ke akhir tamadun kemanusiaan adalah berasal daripada keturunan yang satu. Oleh kerana itu kita sebagai manusia adalah bersaudara dalam status sebagai manusia. Kita di tuntut untuk saling kenal-mengenali dan melenyapkan perbezaan yang ada sesama kita.

Penghormatan terhadap orang lain boleh dihayati menerusi sirah Nabawiyah. Perhatikanlah ketika  peristiwa Piagam Madinah yang terkenal di dalam sejarah Islam. Baginda telah menyeru umat Islam agar sentiasa menjaga hak keharmoniaan sesama manusia. Ia merupakan lambang keadilan Islam terhadap umat manusia keseluruhannya.

Di antara butir-butir kesepakatan yang terkandung dalam Piagam Madinah ialah sesiapa yang hidup dan tinggal di wilayah Madinah, baik Islam atau pun bukan Islam, dengan syarat tidak berbuat zalim, maka hendaklah mereka dilindungi dan diberi keamanan di bawah kekuasaan Islam yang suci. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud dengan maksudnya :

Sesiapa yang menzalimi seorang kafir yang diberi janji perlindungan oleh negara Islam (mu’ahad) atau mengurangi haknya atau memaksanya melakukan sesuatu di luar kekeuasannya atau mengambil sesuatu yang menjadi miliknya tanpa kerelaan hatinya, maka saya adalah penentangnya di hari Kiamat nanti”. (Riwayat Abu Daud)

Seharusnya umat Islam memahami tuntutan keadilan dan sikap bertoleransi ini. Namun, toleransi yang dimaksudkan bukanlah bererti kita mengakui doktrin keyakinan mereka kerana di dalam persoalan akidah Islam tidak sama sekali berkompromi dengan kesyirikan. Toleransi yang dimaksudkan oleh Islam ialah di dalam muamalah harian di samping akhlak baik yang dihayati ketika berkomunikasi dengan penganut agama lain. Ini merupakan dakwah bil hal yang memberi impak positif kepada perkembangan Islam.

%d bloggers like this: