Archive for 6 Februari 2012


Tahun ini sekali lagi kami – Persatuan Ulama’ Malaysia Cawangan Sabah – diundang ke daerah Sipitang untuk mengisi slot-slot ceramah sempena keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW dengan program diadakan di tujuh buah masjid dengan tujuh orang penceramah. Ustaz Rafihi Wasihim, Ustaz Mohammad Suaid, Ustaz Haji Nor Azamuddin Umar, Ustaz Mat Razali Mat Lazim, Dr Aliakbar Gulasan, Ustaz Norzam Senin dan saya sendiri bertolak sekitar jam 3 petang sabtu dengan sebuah kenderaan.

Kami singgah solat asar di Surau an-Nur Taman Limauan Kinarut dan meneruskan perjalanan sebelum tiba kira-kira 10 minit sebelum maghrib di Pekan Sipitang. Di perjalanan kami ada berbincang beberapa point penting isi ceramah untuk dikongsi bersama, antaranya mengaitkan perjuangan Nabi SAW yang paling utama ialah dalam soal aqidah. Gejala aqidah di dalam masyarakat seperti sihir, tangkal, mandi buang sial dan seumpamanya dikaitkan dalam ceramah, sementara isi-isi yang lain tergantunglah atas kreativiti masing-masing.

Setiba kami di pekan, Tuan Imam Haji Raffee Haji Mohd Salleh selaku imam daerah sudah menunggu kami bersama dengan imam-imam masjid yang akan membawa para penceramah ke masjid masing-masing. Ustaz Rafihi ke Masjid Pekan Sipitang, Ustaz Mohammad ke Kg Pelakat, Dr Aliakbar ke Kg Banting, Ustaz Mat Razali ke Kg Pantai, Ustaz Norazamuddin di Kg Luagan, Ustaz Norzam di Ulu Sipitang dan saya sendiri ke sempadan – Masjid Sahabat Sindumin-Merapok.

Masjid Sahabat Sindumin-Merapok ialah sebuah masjid yang dibina pada zaman pemerintahan BERJAYA, khabarnya atas cadangan Tun Dr Mahathir ketika itu bagi mengeratkan hubungan sempadan Sabah-Sarawak. Menariknya masjid ini, apabila kita berdiri atau duduk di tengah masjid, sebelahnya adalah tanah Sabah, sebelah lagi tanah Sarawak. Jamaahnya terdiri daripada 2 negeri, begitu juga Jawatankuasa dan imam-imamnya. Kehadiran malam itu dianggarkan sekitar 100 orang dan mereka duduk membuat bulatan mendengar ceramah. Oh ya, pada tahun 2010 dahulu, ceramah maulidnya di sini disampaikan oleh Allahyarham Ustaz Haji Nahar Mantamin juga atas kunjungan kami dari Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Sabah.

Untuk ke masjid ini (atau ke sempadan) jaraknya kira-kira 15-20 minit dari Pekan Sipitang. Untuk masuk ke kawasan perkarangan masjid pula, laluannya mesti masuk ke imigresen sempadan Sabah-Sarawak terlebih dahulu. Dari sini pula hanya mengambil sekitar setengah jam untuk ke Bandar Lawas, Sarawak. Saya pernah catatkan dalam satu entri dulu, rupa bentuk masjid ini sama dengan masjid Telekom Malaysia (TM) di Sepanggar dan Masjid Jamek Kg Layang-Layangan Labuan.

Ceramah saya dan sahabat-sahabat lain di masjid masing-masing sekitar sejam bermula jam 7 malam – seperti yang disepakati dengan penganjur. Saya mulakan dengan menceritakan beberapa keutamaan dan kelebihan Rasulullah berbanding dengan nabi-nabi yang lain, Rasulullah SAW datang sebagai pembawa rahmat, dan beberapa contoh pergaulan baginda dengan isteri, keluarga, sahabat bahkan dengan orang bukan Islam sekalipun.

Selepas solat isyak, masjid-masjid mengadakan majlis barzanji dan marhaban, dan kami berkumpul kembali di Restoran Azmie Pekan Sipitang selepas itu untuk menikmati jamuan makan malam, bertukar-tukar fikiran dengan imam-imam yang hadir untuk mengadakan program-program yang lain pada masa akan datang. Kami pulang masing-masing membawa pengalaman yang berharga. Tidak lupa, bekalan sekarung durian yang diberi oleh pihak Imam Daerah yang baunya semerbak memenuhi kenderaan dalam perjalanan yang memakan masa 2 jam.

Imam Kudi Abdullah, imam rawatib masjid ini. Beliau yang menjemput dan menghantar saya ke Pekan Sipitang semula. Terima kasih banyak atas kesudian dan maklumat yang diberi sepanjang perjalanan.

Saya berdiri menghadap arah makmum, membelakangi kiblat. Di kawasan sebelah kanan adalah Sarawak dan sebelah kiri tanah Sabah. Kaki saya berpijak di tengah-tengah!

Khatib : Ustaz Daroni

Lokasi : Masjid Nurul Islam Kg Peringatan Petagas

Rasulullah SAW telah diiktiraf sebagai ketua kepada sekalian para nabi dan rasul sebagaimana maksud sebuah hadith baginda SAW : “Aku adalah ketua bagi seluruh manusia anak keturunan Nabi Adam, ini bukan untuk membangga-banggakan diri”. Ia adalah suatu isyarat dan petanda bahawa Rasulullah SAW adalah yang paling utama daripada semua nabi di dunia dan akhirat.

Di dunia, Baginda SAW telah bersifat dengan akhlak yang luhur dan agung, maka di akhirat bagindalah yang paling afhal kerana balasan pahala mengikut ketinggian akhlak dan sifat yang mulia. Apabila Allah SWT melebihkan Rasulullah SAW di dunia dengan keperibadian dan sifat yang terpuji, maka Allah melebihkannya di akhirat dengan martabat dan darjat yang tinggi. Justeru keunggulan baginda di dalam soal akhlak dan perjuangan terbukti sehingga tercatat sebagai salah seorang Nabi Ulul Azmi sebagaimana firman Allah SWT :

“(Jika demikian akibat orang-orang kafir yang menentangmu wahai Muhammad), maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya Rasul-Rasul Ulul Azmi (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) daripada kalangan Rasul-Rasul (yang terdahulu daripadamu), dan janganlah engkau meminta disegerakan azab yang dijanjikan untuk mereka (yang menentangmu itu). Sesungguhnya keadaan mereka semasa melihat azab yang dijanjikan kepada mereka, merasai seolah-olah mereka tidak tinggal (di dunia) melainkan sekadar satu saat sahaja daripada siang hari. (Penerangan yang demikian) cukuplah menjadi pelajaran (bagi orang-orang yang mahu insaf). Maka (ingatlah) tidak dibinasakan melainkan kaum yang fasik – derhaka”. (al-Ahqaf : 35).

%d bloggers like this: