Archive for 26 Februari 2012


Sumber : http://www.smecorp.gov.my/v4/node/924

Bermula 1 Januari 2012, hanya JAKIM dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sahaja yang boleh mengeluarkan Sijil Halal di Malaysia. Ini terpakai untuk semua produk dan perkhidmatan yang dikeluarkan di Malaysia. Sijil dan logo halal yang dikeluarkan atau dipohon sama ada secara self declaration atau yang dikeluarkan oleh mana-mana syarikat swasta tidak lagi dibenarkan. Tindakan tersebut adalah merupakan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

PENGUATKUASAAN AKTA PERIHAL DAGANGAN 2011 (APD 2011) DAN PERINTAH-PERINTAH PERIHAL DAGANGAN BERKAITAN HALAL

Artikel ini disediakan oleh Bahagian Pembangunan Perniagaan SME Corp. Malaysia berdasarkan Pekeliling Pensijilan Halal Malaysia Bil 1/2011. Sebarang istilah atau maksud di dalam artikel ini yang tidak selari dengan APD 2011 dan Pekeliling Pensijilan Halal Malaysia Bil 1/2011 maka rujukan utama iaitu APD 2011 dan Pekeliling Pensijilan Halal Malaysia Bil 1/2011 adalah terpakai.

PENDAHULUAN

Pekeliling Pensijilan Halal Malaysia Bil. 1/2011 telah dikeluarkan bertujuan untuk memaklumkan berkenaan pindaan Akta Perihal Dagangan 1972 (APD 72) kepada akta yang baru iaitu Akta Perihal Dagangan 2011 dan Perintah-Perintah Perihal Dagangan Berkaitan Halal (APD 2011) yang telah diluluskan di Parlimen pada 11 Julai 2011. Akta yang baru ini akan mula berkuat kuasa bermula 1 Januari 2012.

OBJEKTIF UTAMA

Objektif utama pekeliling ini adalah untuk memaklumkan kesemua pengusaha produk dan perkhidmatan bahawa bermula1 Januari 2012sijil dan logo halal yang dikeluarkan atau dipohon sama ada secara self declaration atau yang dikeluarkan oleh mana-mana syarikat swasta tidak lagi dibenarkan. Tindakan tersebut adalah merupakan suatukesalahan yang boleh dihukum di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

LATAR BELAKANG

Pasaran produk halal yang besar juga menyebabkan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab memanipulasikan perkataan halal atau lain-lain elemen bagi menggambarkan ianya merupakan produk atau perkhidmatan halal untuk tujuan pemasaran dan keuntungan.

Sebelum akta baru ini digubal, bagi permohonan Sijil Halal boleh dibuat kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) atau syarikat-syarikat swasta. Oleh yang demikian, timbul perbezaan bentuk Sijil Halal yang berbeza-beza bagi setiap negeri dan Sijil Halal yang dikeluarkan oleh pihak-pihak swasta yangdiragui kebolehpercayaannya serta bermatlamatkan keuntungan. Disebabkan tiada satu undang-undang khusus yang boleh memantau pengeluaran sijil dan logo halal, ini menimbulkan kekeliruan di kalangan pengguna.

KANDUNGAN APD 2011

Akta Perihal Dagangan 2011 dan Perintah-Perintah Perihal Dagangan Berkaitan Halal (APD 2011) yang telah diluluskan di Parlimen pada 11 Julai 2011. Pindaan akta ini, memberi kuasa kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sebagai badan penguatkuasaan dengan dibantu oleh  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN ). Akta tersebut juga menamakan JAKIM dan MAIN sebagai agensi pensijilan halal di Malaysia yang diiktiraf sebagai pihak berkuasa berwibawa di bawah APD 2011.  Di bawah akta ini terdapat dua Perintah Perihal Dagangan iaitu :

  • Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011; dan
  • Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Tarikh kuatkuasa APD 2011 adalah bermula pada 1 Januari 2012 iaitu hanya JAKIM dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN ) sahaja yang boleh mengeluarkan Sijil Halal di Malaysia.

Semua produk atau perkhidmatan yang telah mendapatkan pensijilan halal daripada JAKIM atau MAIN hendaklah menggunakan Logo Halal Malaysia seperti dilampirkan.

TAKRIF HALAL

Takrif Halal merujuk kepada produk atau perkhidmatan yang diperihalkan sebagai halal atau diperihalkan dengan apa-apa ungkapan lain untuk menunjukkan ianya boleh digunakan oleh pengguna Islam. Ini bermaksud bahawa setiap produk dan perkhidmatan yang diperihalkan sebagai halal dijalankan mengikut Hukum Syarak.

Mana-mana orang/pihak yang membekalkan atau menawarkan produk makanan atau perkhidmatan yang memperihalkannya  sebagai halal atau dengan apa-apa ungkapan lain yang bertentangan dengan Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 adalah melakukan kesalahan.

PENANDAAN/PERAKUAN PERIHAL HALAL

Semua makanan dan barang-barang tidak boleh diperihalkan sebagai halal atau diperihalkan dengan cara lain untuk menunjukkan makanan atau barang-barang itu boleh dimakan atau digunakan oleh orang Islam melainkan jika :

  • Diperakukan sebagai halal oleh pihak berkuasa yang berwibawa; dan
  • Ditandakan dengan logo Halal Malaysia

Perkhidmatan yang berhubung dengan makanan atau barang-barang tidak boleh diperihalkan sebagai halal atau diperihalkan dengan cara lain untuk menunjukkan perkhidmatan itu boleh digunakan oleh orang Islam melainkan jika ia diperakukan sebagai halal oleh pihak berkuasa berwibawa. Ini termasuk penggunaan ayat-ayat suci Al-Quran atau apa-apa perkara atau objek yang berhubung dengan agama Islam sama ada di premis di mana makanan itu dijual atau di bekas di mana makanan itu dibekalkan.

KESALAHAN DAN PENALTI 

1. Perakuan dan Penandaan Makanan

Mana-mana orang yang :

  • Memperakukan bahawa mana-mana makanan, barang-barang atau perkhidmatan yang berhubung dengan makanan atau barang-barang itu adalah halal; atau
  • Membekalkan atau menawarkan untuk membekalkan apa-apa makanan, barang-barang atau perkhidmatan yang berhubung dengan makanan atau barang-barang itu,

Bertentangan dengan perintah di bawah APD 2011, adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh apabila disabitkan :

  • Jika ianya suatu pertubuhan perbadanan (termasuk syarikat Sdn Bhd), didenda tidak melebihi dua ratus ribu ringgitdan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya boleh didenda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit; atau
  • Jika ianya bukan suatu pertubuhan perbadanan (termasuk Enterprise), didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit; atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi dua ratus lima puluh ribu ringgit; atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

2. Kesalahan bagi memperdayakan atau mengelirukan

Perenggan di bawah ini bermaksud sekiranya produk makanan tersebut mempunyai unsur tidak halal tetapi dibuat sebarang representasi yang mengelirukan bahawa makanan tersebut adalah halal untuk dimakan oleh orang Islam adalah melakukan kesalahan  seperti berikut:

  • Mana-mana orang/pihak yang membekalkan atau menawarkan untuk membekalkan apa-apa makanan dengan membuat representasi atau perbuatan yang memperdaya atau mengelirukan mana-mana orang bahawa makanan itu adalah halal atau boleh dimakan oleh orang Islam adalah melakukan suatu kesalahan
  • Bagi maksud subperenggan (1), “representasi atau perbuatan’ termasuklah penggunaan ayat-ayat suci Al-Quran atau apa-apa perkara atau objek yang berhubung dengan agama Islam sama ada di premis di mana makanan itu dijual atau di bekas di mana makanan itu dibekalkan.
  • Jika mana-mana orang dipertuduh dengan suatu kesalahan di bawah subperenggan (1) beban untuk membuktikan bahawa makanan yang dibekalkan atau ditawarkan untuk dibekalkan adalah halal mengikut kehendak perenggan 3 hendaklah terletak pada orang yang dipertuduh itu.

Mana-mana orang yang melakukan kesalahan di bawah perintah ini boleh, apabila disabitkan:

  • Jika ianya suatu pertubuhan perbadanan (termasuk syarikat Sdn Bhd), didenda tidak melebihi lima juta ringgit dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya boleh didenda tidak melebihi 10 juta ringgit; atau
  • Jika ianya bukan suatu pertubuhan perbadanan (termasuk Enterprise), didenda tidak melebihi satu juta ringgit; ataudipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi lima juta ringgit; atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

PERAKUAN PERIHAL HALAL BAGI PRODUK IMPORT
Bagi produk yang diimport dan dipasarkan di Malaysia, penandaan yang menunjukkan produk tersebut sebagai halal hendaklah diperakukan (dibuat)  oleh mana-mana badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM di negara berkenaan.

Pengimport atau pengeluar mana-mana makanan atau barang-barang yang diperakukan sebagai halal oleh badan pensijilan luar Negara yang diiktiraf oleh JAKIM hendaklah menandakan nama badan pensijilan tersebut pada produk tersebut. Maklumat badan-badan tersebut diperolehi pada website JAKIM iaitu www.halal.gov.my.

PERMOHONAN PENSIJILAN HALAL

Bermula 1 Januari 2012 kesemua permohonan Sijil Halal untuk produk dalam negara hendaklah melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN).

TEMPOH PERALIHAN

Produk 

Bagi produk yang berada di pasaran yang menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf, pihak industri diberi tempohsehingga 31 Disember 2012 untuk menghentikan penggunaan logo tersebut. Pada masa yang sama pihak industri perlu mendapatkan pensijilan Halal daripada JAKIM atau MAIN.

Premis

Bagi premis (termasuk  restoran) yang menggunakan logo halal yang tidak diktiraf, logo tersebut perlu dilupuskan serta merta. Pada masa yang sama pihak industri perlu mendapatkan pensijilan Halal daripada JAKIM atau MAIN.

TARIKH KUATKUASA

Tarikh kuatkuasa APD 2011 adalah bermula daripada 1 Januari 2012

RUJUKAN

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan pindaan akta ini bolehlah dirujuk kepada :

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Bahagian Hub Halal
Aras Bawah, Blok 2200,
Bangunan Enterprise 3,
Persiaran APEX, 63000 Cyberjaya
Telefon : 03- 8315 0200
Fax : 03-8318 7044

PEMAKAIAN

Pekeliling ini terpakai kepada semua pihak yang akan menggunakan penandaan halal terhadap produk atau perkhidmatan atau apa-apa penandaan lain yang menunjukkan bahawa ianya adalah halal.


 

Daripada Abdullah bin Mas’ud RA daripada Nabi SAW (maksudnya) : “Bacalah al-Quran karena Allah tidak menyiksa hati yang menghayati Al-Quran. Dan sesungguhnya Al-Quran ini adalah jamuan Allah, maka siapa yang masuk di dalamnya, dia pun aman. Dan siapa mencintai al-Quran, maka berilah khabar gembira.” (HR Ad-Darimi)

Diriwayatkan dari Mu’az bin Anas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda (maksudnya) : “Sesiapa membaca al-Quran dan mengamalkan isinya, Allah memakaikan kepada kedua orang tuanya pada hari kiamat suatu mahkota yang sinarnya lebih bagus dari pada sinar matahari di rumah-rumah di dunia. Maka bagaimana tanggapanmu terhadap orang yang mengamalkan ini.” (HR Abu Dawud)

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr Ibnul Ash RA daripada Nabi SAW bersabda (maksudnya) : “Dikatakan kepada pembaca al-Quran, bacalah dan naiklah serta bacalah dengan tartil seperti engkau membacanya di dunia karena kedudukanmu adalah pada akhir ayat yang engkau baca”. (HR Abu Dawud, Tirmidzi dan Nasa’I, Tirmidzi)

Diriwayatkan dari Ibnu Abbas RA katanya : Rasulullah SAW bersabda (maksudnya) : “Sesungguhnya orang yang tidak terdapat dalam rongga badannya sesuatu dari al-Qur’an adalah seperti rumah yang roboh.” (HR Tirmidzi)

%d bloggers like this: