Saya sendiri terkejut dengan kehadiran sejumlah ribuan umat Islam ke Masjid Negeri Sabah pada ahad malam isnin lepas dalam siri ceramah perdana bersama Dr KH Wahfiyuddin Sakma, Pengarah Dakwah & Tamadun Islam, Pusat Islam Jakarta Indonesia. Khabarnya ceramah beliau malam sebelum itu di Masjid Bandaraya dan petang di Masjid Daerah Putatan juga mendapat sambutan yang hangat.

Seolah saya merasakan bagai ada satu kebangkitan umat Islam sekitar Pantai Barat Sabah untuk menghadiri ceramah daripada seorang tokoh yang meningkat naik di bumi Indonesia. Keduanya, saya melihat kesatuan beberapa JK Masjid seperti Masjid Negeri Sabah dan Masjid Bandaraya, agensi kerajaan seperti JHEAINS, JAKIM, YADIM, YPEIM, juga NGO Islam seperti ABIM, CONCERN, PUM dan lain-lain apabila hadir bermesyuarat bersama beberapa kali di Masjid Bandaraya.

Satu lagi, suara Dr Wahfiyuddin sendiri dalam menyampaikan ceramahnya agak mantap dan bulat. Suaranya yang jelas dan menggunakan istilah yang mudah difahami oleh jamaah masjid, barangkali menyebabkan jamaah semakin ramai dari satu masjid ke satu masjid. Program beliau bermula di Masjid Bandaraya sempena ulangtahun ke-10 masjid berkenaan dengan kehadiran yang agak ramai. Kemudian barangkali mendengar kualiti ceramah beliau menyebabkan sebahagian jamaah itu mengekori siri-siri ceramah beliau berikutnya sehingga berakhir pada isnin malam selasa di bangunan baru USIA di 1Borneo.

Pengisian beliau berkenaan ‘mengenal diri’, persoalan hati dan zikir adalah antara perkara yang digemari jamaah. Sentuhan ceramah beliau adalah gabungan aqidah dan sufi, menyebutkan antaranya tentang memahami makna ilah sehingga ada ilah yang dipuja dan disembah selain Allah SWT. Sinis juga rasanya bagi yang mahu memahami apabila ada manusia yang menjadikan nafsu, pemimpin, raja, harta dan sebagainya sebagai ilahnya. Teguran beliau itu patut disedari oleh semua yang hadir.

Semoga ini bukan satu-satunya melihat kebangkitan umat Islam dalam mengimarahkan masjid dan saya mengharapkan kesatuan masjid dan surau serta agensi berkaitan dalam memberikan kefahaman Islam kepada masyarakat. Belum berakhir majlis berkenaan, saya sudah bisikkan kepada Ustaz Haji Muchlish yang bertindak sebagai pengerusi malam itu, saya sebut kepada beliau nama tokoh yang saya cadangkan untuk mengisi ceramah berikutnya. Mudah-mudahan dipermudahkan Allah SWT.