Tag Archive: Tun Sakaran Dandai


Saya sendiri terkejut dengan kehadiran sejumlah ribuan umat Islam ke Masjid Negeri Sabah pada ahad malam isnin lepas dalam siri ceramah perdana bersama Dr KH Wahfiyuddin Sakma, Pengarah Dakwah & Tamadun Islam, Pusat Islam Jakarta Indonesia. Khabarnya ceramah beliau malam sebelum itu di Masjid Bandaraya dan petang di Masjid Daerah Putatan juga mendapat sambutan yang hangat.

Seolah saya merasakan bagai ada satu kebangkitan umat Islam sekitar Pantai Barat Sabah untuk menghadiri ceramah daripada seorang tokoh yang meningkat naik di bumi Indonesia. Keduanya, saya melihat kesatuan beberapa JK Masjid seperti Masjid Negeri Sabah dan Masjid Bandaraya, agensi kerajaan seperti JHEAINS, JAKIM, YADIM, YPEIM, juga NGO Islam seperti ABIM, CONCERN, PUM dan lain-lain apabila hadir bermesyuarat bersama beberapa kali di Masjid Bandaraya.

Satu lagi, suara Dr Wahfiyuddin sendiri dalam menyampaikan ceramahnya agak mantap dan bulat. Suaranya yang jelas dan menggunakan istilah yang mudah difahami oleh jamaah masjid, barangkali menyebabkan jamaah semakin ramai dari satu masjid ke satu masjid. Program beliau bermula di Masjid Bandaraya sempena ulangtahun ke-10 masjid berkenaan dengan kehadiran yang agak ramai. Kemudian barangkali mendengar kualiti ceramah beliau menyebabkan sebahagian jamaah itu mengekori siri-siri ceramah beliau berikutnya sehingga berakhir pada isnin malam selasa di bangunan baru USIA di 1Borneo.

Pengisian beliau berkenaan ‘mengenal diri’, persoalan hati dan zikir adalah antara perkara yang digemari jamaah. Sentuhan ceramah beliau adalah gabungan aqidah dan sufi, menyebutkan antaranya tentang memahami makna ilah sehingga ada ilah yang dipuja dan disembah selain Allah SWT. Sinis juga rasanya bagi yang mahu memahami apabila ada manusia yang menjadikan nafsu, pemimpin, raja, harta dan sebagainya sebagai ilahnya. Teguran beliau itu patut disedari oleh semua yang hadir.

Semoga ini bukan satu-satunya melihat kebangkitan umat Islam dalam mengimarahkan masjid dan saya mengharapkan kesatuan masjid dan surau serta agensi berkaitan dalam memberikan kefahaman Islam kepada masyarakat. Belum berakhir majlis berkenaan, saya sudah bisikkan kepada Ustaz Haji Muchlish yang bertindak sebagai pengerusi malam itu, saya sebut kepada beliau nama tokoh yang saya cadangkan untuk mengisi ceramah berikutnya. Mudah-mudahan dipermudahkan Allah SWT.

KUNJUNGI TUN SAKARAN

Berikutan beberapa keputusan mesyuarat JK Wakaf Masjid Penampang, satu pertemuan dan kunjungan hormat ke atas Yang Di Pertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Yang Amat Berbahagia Tun Sakaran Dandai telah diadakan pada jam 11.30 pagi isnin lalu di tingkat 1 Bangunan USIA Sembulan. Kunjungan JK Wakaf diketuai oleh pengerusi Tuan Haji Sainuri Yahmin dan tujuh AJK yang lain.

Dalam pertemuan hampir sejam itu, Tuan Haji Sainuri bagi pihak  seluruh ahli  jawatankuasa  telah menyatakan hasrat untuk memohon bantuan dan nasihat Tun Sakaran bagi mencari sumber dana terutama daripada individu korporat dan berpengaruh di negeri dan negara ini.

Tun Sakaran pula menyatakan syukur dan tahniah kerana usaha murni yang dilakukan oleh JK wakaf dan seluruh umat Islam yang menyumbang bagi tertegaknya sebuah rumah Allah di daerah Penampang suatu hari nanti. Beliau turut menceritakan pengalaman menziarahi masjid-masjid di Singapura, Taiwan, Hongkong dan Turki yang menurutnya pengurusan masing-masing kreatif untuk mengimarahkan masjid bagi menarik jamaah datang memakmurkannya.

Memetik sebuah hadith Rasulullah SAW, beliau mengingatkan berkenaan manusia terbaik yang boleh memberi manfaat kepada orang lain. Saya tertarik dengan perumpamaan yang beliau utarakan, katanya umpama sebiji benih yang ditanam, berhasil dan berkekalan hingga ke anak cucu. Beliau memberi contoh usaha orang tua zaman dahulu yang suka menanam buah-buahan untuk dinikmati oleh generasi berikutnya walaupun mereka yang menanam tidak sempat merasa manis buah berkenaan.

Beliau dalam kesempatan itu turut menyatakan hasrat untuk membantu berdasarkan pengalaman dan pengaruh yang ada untuk menyebarluaskan dan berhubung langsung dengan pemimpin tertinggi negeri dan negara bagi mencari dana pembinaan masjid ini. Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan agar sama-sama menjaga hubungan dengan Allah SWT dengan bermunajat kepada-Nya agar semua pihak dibukakan pintu hati untuk menyumbang ke dana wakaf ini.

IMG_0376

Madrasah al-Mubarak di bawah seliaan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu kini membuka pendaftaran untuk pelajar baru darjah 1 berumur 7 tahun sesi 2010.

Masjid Bandaraya mula beroperasi pada awal 2000 dan dirasmikan oleh Tun Sakaran Dandai, Yang Di-Pertua Negeri Sabah ketika itu.

Ketika masjid ini dalam pembinaan, kami masih mengaji di Maahad Tahfiz yang beroperasi di Masjid Negeri. Pernah beberapa kali kami melalui kawasan ini ketika itu, dan suara-suara kami tertanya-tanya :

“Siapalah yang akan jadi imam nanti di sini..?”

Selepas perasmian masjid pada februari 2000, saya dipanggil bertugas sebagai imam membantu Tuan Imam Hj Aslie Abd Karim. Tidak lama, hanya 4 bulan sebelum saya menyambung belajar ke Mesir.

Masjid ini dilengkapi dengan dewan seminar (dewan al-Mubarak), ATM Bank Islam, Klinik Ibnu Sina, peti pos, khidmat guaman, kedai runcit dan madrasah.

Madrasah al-Mubarak telah bermula pada tahun 2003, dengan status Sekolah Agama Rakyat (SAR) mempunyai 6 orang guru dan sejumlah 148 pelajar.

Hubungi Ustazah Salwa 013-8632625 untuk maklumat lanjut.

IMG_0374

Catatan :

Restoran Singgah Selalu, Tawau

IMG_0180

Kerja-kerja teknikal untuk menganjurkan program berkenaan semakin galak berjalan.

Dr Aliakbar Gulasan dari UMS bertindak sebagai pengarah program menggantikan Ust Bungsu Aziz yang bertolak ke tanah suci bagi menunaikan fardhu haji.

Kerja-kerja lain yang paling asas ialah mencari, menghubungi dan mengesahkan kehadiran para peserta. Itu tugas utama saya.

Setakat ini, sudah 50 peserta sudah mengesahkan kehadiran mereka. Ketetapan nadwah ini adalah seperti berikut :

Tarikh : 7 Nov 2009 (Sabtu)

Masa : 8 pagi – 12 tengahari

Tempat : Bangunan USIA, Sembulan Kota Kinabalu.

Tetamu khas : Tun Sakaran Dandai, Yang DiPertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) & Dato’ Sheikh Abd Halim Abd Kadir, Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Pusat.

Anjuran : Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Sabah dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS)

Nadwah Pewaris Nabi adalah satu program besar kami bagi mengumpulkan pendakwah-pendakwah lama. Ia satu bentuk kami menghargai tenaga, kudrat dan ilmu mereka menyampaikan Islam di bumi Sabah.

Selain untuk mereka bertemu rakan dan sahabat seperjuangan mereka yang mungkin lama tidak bertemu, ia juga menjadi ruang bagi orang seperti kami mengambil semangat dan nasihat mereka dalam dunia dakwah.

Setakat yang sudah saya hubungi sendiri, ada ustaz yang datang pada 1967 dan masih berada di Sabah sehingga kini.

Yang menariknya, 99% yang dihubungi menyatakan persetujuan serta merta apabila hasrat kami itu disampaikan kepada mereka.

Yang tidak hadir kerana ada jadual yang sudah diatur awal, khususnya menunaikan fardhu haji.

Sasaran yang ditetapkan ialah sekitar 100 orang, meliputi ustaz, ustazah, imam, sama ada mereka dari Tanah Semenanjung, Indonesia, Mindanao atau Sabahan sendiri.

Kehadiran mereka juga akan diambil kesempatan oleh kami untuk mengumpul biodata sebagai rujukan dan direktori pada masa hadapan.

Selain daripada kerja jemputan itu, kerja-kerja teknikal lain dipimpin oleh rakan-rakan lain.

Aturcara penuh akan dimuktamadkan sedikit masa lagi. Tetapi ada sesi forum santai yang akan mengimbas kembali kisah dan sejarah dakwah pada zaman mereka datang dan berjuang dahulu.

Selain itu ucapan YDP PUM Sabah dan Tun Sakaran sendiri.

Sedikit masalah, kami sedikit bergelut tentang masalah kewangan. Kalau ada yang sudi membantu tenaga dan kewangan, kami sangat menghargainya.

%d bloggers like this: