Alhamdulillah thummal hamdulillah. Kali kedua dapat mengkhatamkan bacaan buku bertajuk Syamail Muhammadiyah ini. Kali pertama dalam kuliah maghrib di Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan dan kali kedua isnin lepas dalam usrah mingguan bersama sahabat-sahabat. Usrah kami biasanya diisi dengan ma’thurat dan sesekali dengan solat hajat khususnya apabila tuan rumah atau salah seorang kami berhajat.
Kemudian kami akan membaca satu demi satu hadith setiap seorang dan akan diterangkan jika perlu. Sebab sebahagian hadith adalah mudah untuk difahami dan sebahagian lagi perlu penjelasan. Begitu juga sebahagian hadith ada maksud-maksud tersirat yang perlu difahami. Seingat saya antara perkara yang membuat teruja ialah berkenaan fizikal nabi, sementara yang menyentuh perasaan ialah makan minum nabi yang amat sederhana dan kisah kewafatan baginda SAW.
Alhamdulillah, kami menamatkan bacaan kitab ini dalam suasana maulidur rasul SAW yang kami adakan di rumah salah seorang sahabat kami. Insya Allah pada minggu mendatang kami akan memilih dan membuka buku baru – satu berkenaan tasauf dan satu lagi tentang haraki. Insya Allah.