Tag Archive: Telaga Biru


Buku yang baru dibaca :

OutPut Cover-Kubur

Penulis : Dr Umar Abdullah Kamil

Penterjemah : Ustaz Fawwaz Fadzil Noor

Penerbit : Telaga Biru Sdn Bhd

Harga : RM10.00

Bolehkah kita berdoa di kubur? Adakah kita dibenarkan mengambil berkat di kubur? Benarkah amalan kita membaca talkin di kubur? Semua persoalan ini seperti kita sudah ketahui jawapannya tetapi adakah kita pasti dengan jawapan tersebut?

Maka setiap inti pati dalam buku “Agar Kubur Menjadi Taman Syurga” dapat memberi jawapan kepada setiap persoalan di atas. Buku ini dapat menyelesaikan masalah-masalah berkaitan hukum-hukum kubur yang mungkin dihadapi oleh umat Islam kini.

Setiap hujah dinukilkan berdasarkan persepakatan para ulama terhadap perkara tersebut dengan bersandarkan kepada al-Quran dan sunnah yang sedikit pun tidak meninggalkan sebarang keraguan dan syak kepada para pembaca yang peka. Insya-Allah.

MENGENALI IMAM SYAFI’I

Buku yang baru dibaca :

mengenali imam asy-syafii

Penulis : Ustaz Umar Muhammad Noor

Penerbit : Telaga Biru Sdn Bhd

Harga : RM14.00

Buku Mengenali Imam asy-Syafi Syafi‘i, Seorang Pejuang Sunnah ini terbahagi kepada empat bahagian, iaitu, kisah Imam Syafi‘ sejak beliau dilahirkan lalu membesar dalam dunia keilmuan hingga diiktiraf sebagai seorang mujtahid mutlak dan menceritakan sedikit tentang isteri dan anak-anak beliau.

Penampilan dan sifat Imam Syafi asy-Syafi‘i yang penuh teladan serta kata-kata beliau yang penuh hikmah. Perilaku dan ucapan orang soleh umpama air sejuk bagi jiwa-jiwa moden yang sedang kehausan. Bukti-bukti kemahiran Imam asy-Syafi’i dalam ilmu-ilmu keislaman, kemahiran asy-Syafi‘i dalam ilmu al-Quran, hadis dan akidah.

Penjelasan mengenai perkembangan mazhab ini, tokoh-tokoh utamanya, buku-buku rujukan muktamad dalamnya dan sebahagian daripada hukum-hukum furuk mazhab asy-Syafi Syafi‘i dalam ibadah.

Sebahagian besar perbahasan ini sebenarnya boleh dikembangkan menjadi tulisan yang lebih besar dan buku ini sengaja ditulis dengan ringkas agar mudah dibaca dan difahami oleh pelbagai lapisan masyarakat. Semoga buku ini bermanfaat untuk semua dan menyelamatkan kita semua daripada kesusahan dunia dan Akhirat.

KUTEMUI CINTA-NYA

Buku yang baru dibaca :

Penulis : Dr Farhan Hadi Mohd Taib

Penerbit : Telaga Biru Sdn Bhd

Harga : RM23.00

Sebuah novel yang menceritakan tentang pengalaman seorang pemuda yang mencari penawar untuk menyembuhkan penyakitnya. Sehinggakan dia tersasar daripada agama dengan berjumpa bomoh dan pengamal perubatan yang tidak masuk akal. Lebih malang lagi, dalam masa yang sama pemuda ini telah tersilap langkah dalam percintaan yang bertuhankan kecantikan sehingga akhirnya dia menanggung kekecewaan akibatnya.

Saksikan pengalaman menarik beliau sehinggalah beliau menemui jalan dan cinta yang sejati.

Penulis : Muhammad Abd Malik

Penerbit : Telaga Biru Sdn Bhd

Harga : RM20.00

Kejatuhan Mubarak yang dapat disaksikan hari ini merupakan ‘campur tangan’ Allah kerana pengkhianatan yang dilakukan sejak sekian lama. Allah menghendaki kerajaan Mubarak dihina apabila satu kuasa yang memerintah selama 30 tahun dapat ditumbangkan oleh rakyat yang keluar berdemonstrasi di jalanjalan raya dan hanya memakan masa selama 18 hari.

Catatan yang bersejarah ini dicatat dalam lembaran secara bertulis untuk dijadikan pengajaran buat mereka yang mahu berfikir. Juga menjadi iktibar kepada mereka yang sering lupa bahawa dunia ini sebenarnya ditadbir oleh satu kuasa yang Maha Agung iaitu kuasa Allah SWT.

Naskhah ini wajar menjadi pilihan yang tepat bagi yang ingin meneliti dan mengkaji revolusi Mesir yang berlaku kerana ia dilengkapi catatan harian peristiwa-peristiwa yang berlaku. Ia juga disusun berdasarkan laporan media cetak dan elektronik Mesir dan  membongkar rahsia-rahsia sebelum dan selepas revolusi dan diselitkan turut mengandungi kupasan dan huraian pengajaran di sebalik setiap peristiwa.

Majalah : al-Ustaz

Penerbit : Telaga Biru Sendirian Berhad

Harga : RM9.00 / RM11.00

Satu lagi majalah agama terbitan Telaga Biru Sendirian Berhad selepas majalah Solusi dan Gen-Q. Keluaran pertama (isu perdana) baru saja berlegar di pasaran bermula 10 April lepas. Ia majalah agama yang berkonsepkan soal-jawab yang merangkumi pelbagai subjek aqidah, fiqah, tajwid, kekeluargaan, dakwah, kewanitaan, remaja, hadith, muamalat, tasawuf, politik, dan sebagainya.

Ketua pengarang kumpulan ialah Ustaz Pahrol Mohammad Juoi dan editor ialah Ustaz Mohamad Wahid Abd Hanif. Antara kolumnisnya ialah Ustaz Dr Zahazan sendiri, Ustaz Mohd Azrul Ismail, Ustaz Mohd Aizam Mas’od, Dato’ Ustaz Ismail Kamus, Dr Muhayya Mohammad, Ustaz Mohammad Haidzir Husain, Ustaz Amly Asenar, Ustaz Mohd Adib Hasan Saari, Ustaz Ahmad Husni Abdur Rahman dan ramai lagi.

Dapat majalah ini (jika di Kota Kinabalu) di Pustaka Aslam, Bazar al-Mubarak Masjid Bandaraya Kota Kinabalu; sementara di Wisma MUIS sila dapatkan di kiosk Azman Talib di ruang legar blok A berhadapan Masjid Negeri Sabah (019-5315577)

SYAMAIL MUHAMMADIYAH

Alhamdulillah thummal hamdulillah. Kali kedua dapat mengkhatamkan bacaan buku bertajuk Syamail Muhammadiyah ini. Kali pertama dalam kuliah maghrib di Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan dan kali kedua isnin lepas dalam usrah mingguan bersama sahabat-sahabat. Usrah kami biasanya diisi dengan ma’thurat dan sesekali dengan solat hajat khususnya apabila tuan rumah atau salah seorang kami berhajat.

Kemudian kami akan membaca satu demi satu hadith setiap seorang dan akan diterangkan jika perlu. Sebab sebahagian hadith adalah mudah untuk difahami dan sebahagian lagi perlu penjelasan. Begitu juga sebahagian hadith ada maksud-maksud tersirat yang perlu difahami. Seingat saya antara perkara yang membuat teruja ialah berkenaan fizikal nabi, sementara yang menyentuh perasaan ialah makan minum nabi yang amat sederhana dan kisah kewafatan baginda SAW.

Alhamdulillah, kami menamatkan bacaan kitab ini dalam suasana maulidur rasul SAW yang kami adakan di rumah salah seorang sahabat kami. Insya Allah pada minggu mendatang kami akan memilih dan membuka buku baru – satu berkenaan tasauf dan satu lagi tentang haraki. Insya Allah.

Buku Yang Baru Dibaca :

Penulis : Anton Kurnia

Penerbit : Telaga Biru Sdn Bhd

Harga : RM26.00

Buku Dari Penjara Taliban Menuju Iman adalah sebuah “inside story” atau sebuah “travelog” apa yang berlaku di bumi Afghanistan selepas keruntuhan WTC pada 11 September 2001 dan diikuti dengan serangan Amerika dan sekutunya ke atas bumi umat Islam itu. Tokoh yang dimaksudkan ialah seorang wartawan terkenal British yang juga seorang pejuang fahaman feminisme bernama Yvonne Ridley.

Beliau ditahan oleh tentera Taliban dan dipenjara selama sepuluh hari pada tahun 2001. Kesalahannya – menyeludup masuk ke Afghanistan dengan menyamar memakai burka (purdah) untuk mendapatkan sebuah berita eksklusif tentang kehidupan kaum wanita di Afghanistan. Setelah dibebaskan dan kembali ke England, beliau masuk Islam dan berjuang membela Islam serta berusaha untuk membebaskan belenggu Islamofobia yang melanda dunia Barat.

Buku karya Anton Kurnia ini memaparkan pengalaman Yvonne menjadi tahanan Taliban yang digembar-gemburkan sebagai rejim yang paling sadis di atas muka bumi ini. Peristiwa ini sangat meninggalkan kesan dalam kalbu Yvonne dan telah mengubah kehidupannya. Tanpa diduga, selama dalam tahanan, Yvonne mendapat layanan terbaik daripada Taliban. Apabila Yvonne bebas, beliau telah menggegarkan dunia dengan memeluk Islam dan berjuang untuk mendaulatkan agama Allah dan umat Islam di mata dunia.

Bagaimana? Anda baca pengembaraan beliau seterusnya dalam buku ini.

SOLUSI BERADIK GEN Q

Majalah GEN-Q – Generasi al-Quran Kreatif

Manual Remaja Bertakwa

Majalah Gen-Q membawa remaja atau generasi baru agar sentiasa mengingati bahawa Islam itu benar dan al-Quran itu sebagai petunjuk jalan ke arah ketakwaan kepada Allah s.w.t. Motif penerbitan Gen-Q adalah untuk membimbing pembacanya bersama-sama menjadikan Islam sebagai jalan hidup.

Islam itu amat luas dan infiniti, namun zaman sekarang ia dibatasi oleh golongan yang tidak mahukan Islam dengan menanam benih sekular ke dalam jiwa generasi baru melalui hiburan dan keseronokan. Agama Islam pula dijadikan sebagai agama keturunan dan ibadat dianggap sebagai satu adat. Islam diasingkan daripada kehidupan seharian yang lama-kelamaan ada yang menganggap beragama itu sebagai lambang kekolotan.

Gen-Q tidak mahu sama sekali ini terjadi kepada jiwa-jiwa muda yang bakal menjadi pemimpin di masa hadapan. Dengan tawaduk, para penulis dengan sebulat hatinya menawarkan diri untuk menyampaikan ilmu dan tazkirah juga teks santai sebagai alternatif kepada bahan pembacaan terkini.

Majalah Remaja Terbaik!

Apa yang menarik dalam majalah Gen-Q?

Terbitan majalah terkini dan berkualiti daripada Telaga Biru Sdn Bhd ini meletakkan seratus peratus jalan Islam di dalam majalah Gen-Q. Kolumnis-kolumnisnya mempunyai latar belakang pendidikan Islam yang kuat dan mempunyai keazaman untuk membimbing generasi baru ke arah keredaan-Nya.

Antara yang menarik – Hikmatun Balighah, kolum yang mendekatkan diri generasi baru dengan al-Quran yang disertai tafsir mudah dan padat. Taman Hadis, kolum untuk memahami isi sesuatu hadis Rasulullah s.a.w. Novel Bersiri, sudut penulisan sastera yang Islamik. Uswah, kolum pelajar cemerlang yang menuntut di luar negara. Tanyalah Cikgu dan Tanyalah Ustaz, soal-jawab tentang psikologi pelajar dan juga kekeliruan dalam bab agama.

Al-Quran dan Sains, kolum tentang rahsia sains yang terkandung dalam al-Quran. Salafus Soleh, kisah sahabat yang boleh dijadikan teladan dalam mengharungi kehidupan seharian. Tip-tip, doa-doa, pengetahuan am, fiqah, amalan harian, tazkirah, motivasi dan pelbagai rencah dan rempah ratus yang mengisi ruang dalam majalah Gen-Q yang menjadikannya sebagai penyebab untuk pembaca memilikinya.

Selain itu, majalah Islamik ini digarap dengan foto serta ilustrasi yang amat menarik, sesuai untuk pembaca memahami sesuatu isu yang diketengahkan. Juga, disusuli penulisan satira dan kartun yang menggeletek hati tetapi mempunyai pengajaran dan manfaat daripadanya. Persembahan reka bentuknya pula menepati cita rasa kini.

Menjadi pelopor kepada majalah remaja Islamik

Sememangnya hajat penerbit yang mahukan dakwah menjadi teras kepada setiap apa yang diterbitkan, maka lahirnya majalah Gen-Q mengisi salah satu ruang yang masih kosong dalam bidang penerbitan majalah, iaitu pengisian Islami ke dalam jiwa remaja dan generasi baru.

Tidak boleh berkata tidak, setiap remaja yang dilahirkan Islam wajib istiqamah dalam pegangannya. Peranan ibu bapa dan pendidik pula adalah memastikan anak tanggungannya sentiasa mengikut rapat dalam lingkungan syariat Islam. Penerbitan majalah Gen-Q ini, dengan izin Allah, sebagai sekelumit bantuan kepada merealisasikan tanggungjawab ibu bapa dan pendidik itu untuk menjadikan mereka cemerlang di dunia dan akhirat.

Semoga hasil usaha team majalah Telaga Biru Sdn Bhd ini yang menerbitkan majalah Gen-Q – Generasi al-Quran Kreatif menjadi manual kepada kehidupan remaja dalam mengharungi kehidupan ke arah ketakwaan. Amin.

***

Di Wisma MUIS Kota Kinabalu, temui sahabat baik saya Sdr Azman Talib yang menjadi antara pengedar majalah berkenaan, Gen Q, majalah Solusi, majalah-majalah islamik yang lain dan pakaian muslimah untuk pelbagai umur. Gerainya ada di ruang legar blok A, Wisma MUIS berhadapan dengan Masjid Negeri Sabah. Hubungi beliau : 019-5315577.

Kesempatan dibawa berziarah ke premis-premis syarikat penerbit buku terkemuka di ibu negara beberapa hari lalu bersama beberapa rakan satu kenangan terindah dan begitu manis sekali. Jujurnya, ketiga-tiga syarikat penerbit buku ini adalah antara yang saya minati dan buku-buku terbitan mereka sangat banyak dalam koleksi maktabah di rumah kami. Apatah lagi setahun dua kebelakangan, saya semakin ketagihan dengan buku-buku walaupun tidak semuanya habis dibaca. Musafir kami diketuai oleh Tuan Haji Abu Aslam, pemilik bersama kedai buku Pustaka Aslam.

Professional Training Service (PTS)

Teksi yang membawa kami berlegar-legar masuk dan keluar kerana kurang maklumat dengan kawasan tujuan kami. Beberapa kali pegawai PTS dihubungi dan meminta alamat premis. Rupanya Dolomite Business Park, Batu Caves adalah satu kawasan yang agak luas juga. Kami berhenti di satu restoran berdekatan dan kemudian dijemput oleh Sdr Saifulnizam Razali, eksekutif jualan pemasaran yang dimaksudkan.

Saya dimaklumkan  Kumpulan PTS yang diasaskan oleh Puan Ainon Mohd dan Dr Abdullah Hassan pada 1988 dengan syarikat konsultan mempunyai 10 syarikat dibawahnya. Buku-buku pelbagai genre daripada kanak-kanak, remaja, umum, agama, pengurusan, pendidikan, motivasi, perniagaan dan sebagainya. Kualiti buku daripada segi kaver, kandungan, tatabahasa dan pemasaran penulis adalah antara yang difokuskan dalam menerbitkan buku terbitan PTS.

Menurut maklumat melalui http://pts.com.my/, PTS hanya menerbitkan buku-buku yang kandungannya mempunyai tiga ciri utama iaitu : memandaikan bangsa, mematuhi hukum syariah dan menggunakan Bahasa Melayu Tinggi (BMT). Kesempatan berkunjung ke sini juga saya rebut dengan membeli lagi buku-buku terbitan PTS dengan kadar diskaun sehingga 30%. Beratus ringgit juga saya habis di sini. Kami juga dilayan sebaiknya oleh petugas terutama Sdr Saifulnizam.

Al-HIDAYAH

Selorong dengan PTS, kunjungan ke al-Hidayah House of Publisher http://www.hidayah.com.my/site/ memang tiada dalam perancangan. Sebagaimana kami dimaklumkan hubungan erat antara PTS dan al-Hidayah, Sdr Saifulnizam sendiri menunjuk dan membawa kami ke premis al-Hidayah. Sedikit malang, meski banyak buku yang menarik perhatian tetapi duit di dompet sudah hampir kehabisan kerana berbelanja besar di PTS. Hanya dua tiga buah buku saya beli di sini. Kata mereka, tiada mesin ATM bank yang berdekatan. Rugilah!

Saat saya memperkenalkan diri sebagai ahli lajnah tashih al-Quran, mereka di al-Hidayah agak teruja juga kerana mereka ada menerbitkan pelbagai mashaf al-Quran. Anak bos al-Hidayah, juga bernama Saiful (katanya beristerikan orang Sabah), yang juga menurut mereka bos nombor dua, menghadiahkan saya dua mashaf al-Quran sebagai kenang-kenangan. Mashaf yang dilengkapi dengan terjemahan dan indeks kata, peristiwa dan sebagainya. Teruja juga dengan keramahan dan sambutan baik mereka.

Saudara Saiful menyampaikan sumbangan al-Quran terbitan mereka (al-Hidayah)

TELAGA BIRU

Pegawai di al-Hidayah House of Publisher sangat baik hati menghantar kami ke Damansara Industrial Park, lokasi pejabat Syarikat Telaga Biru Sdn Bhd. Kami disambut oleh Sdr Sani Jiran, anak Kota Belud yang bertugas sebagai pegawai kanan perhubungan awam (PR) di Telaga Biru. Kunjungan ke Telaga Biru http://telagabiru.net.my/index/ lebih lama kerana Sani membawa kami meneroka setiap bilik di bangunan mereka. Bermula di tingkat bawah, kami dibawa ke bahagian stor buku dan bahagian majalah solusi sebelum dibawa naik ke tingkat atas.

Di tingkat atas, kami dibawa ke setiap bahagian dan bertemu sebahagian pegawai dan staf Telaga Biru, antaranya ke bilik peragaan buku, mini studio, pejabat Ustaz Dr Zahazan Mohammed, Telaga Biru Consultan, bahagian kewangan, grafik, bilik kuliah, surau dan lain-lain. Hasrat untuk bertemu Ustaz Zahazan juga terbantut apabila melihat beliau bersama rakan-rakannya sedang melakukan perbincangan dengan tokoh ulama terkemuka, Shaikh Nuruddin Marbu al-Banjari di lokasi yang sama.

Kami dimaklumkan bahawa buku ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ buah tangan Ustaz Ismail Kamus terbitan Telaga Biru mendapat anugerah buku terlaris 2010 dengan lebih 500 ribu naskhah. Majalah Solusi pula merupakan majalah Islam paling laris saat ini dengan jualan 150 ribu bagi setiap keluaran. Sebuah majalah baru islamik dengan nama ‘Gen Q’ khabarnya juga akan dilancarkan oleh Telaga Biru sebelum Ramadhan ini yang mensasarkan pembaca kalangan belia dan remaja.

Di sini sempat juga saya membeli beberapa buah buku sebagai buah tangan dan bekalan pulang ke Kota Kinabalu. Keseluruhan, dari tiga buah premis penerbit buku terkemuka dicampur dengan buku-buku lain yang saya beli di premis lain selama 3 hari di ibu negara, rasanya mau juga beratnya 20kg. Harga jangan ceritalah. Insya Allah, untuk buku dan ilmu, saya yakin ada rezekinya.

Buku Yang Baru Dibaca :

Penulis : Dato’ Dr Haji Mohd Fadzilah Kamsah

Penerbit : Telaga Biru Sdn Bhd

Harga : RM16.00

Pepatah ada mengatakan, “mencegah lebih baik daripada merawat.” Anak-anak yang telah terlanjur bersikap biadab memerlukan proses pemulihan daripada konsultan atau kaunselor. Namun, corak didikan dan latar belakang keluarga yang mengasuh anak dari kecil memainkan peranan dalam pembentukan sikap mereka menjelang usia dewasa. Buku Menangani Anak Biadab yang membawa penampilan santai, mudah dan berterus terang dengan disulami ilustrasi kartun ini amat bermanfaat untuk dihadiahkan kepada ibu bapa, penjaga, guru dan para remaja sendiri.

%d bloggers like this: