Ini kisah awal bulan.

Selesai urusan ziarah gelandangan di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu, kami minum-minum di Anjung Senja yang baru siap itu. Masa semakin suntuk, panjang sembang kami sehingga hampir jam 2.30 pagi. Dalam perjalanan pulang kami membuat pusingan akhir melalui Lebuhraya Pantai, dan ketika melalui kawasan berhadapan antara Api-Api Centre dan Star Centre berlaku satu kemalangan antara sebuah proton saga lama dengan sebuah motorsikal yang baru berlaku.

Entah ke mana saki baki motorsikal kerana yang saya nampak hanya sebuah tayar saja yang kelihatan dan tinggal di situ. Dua orang penunggang dan pembonceng motorsikal sudah terbaring di tengah-tengah pembahagi jalan. Mungkin patah pahanya, kata seorang petugas Jabatan Pertahanan Awam yang tiba di tempat kejadian.

Oleh kerana kami tiba kemalangan sudah berlaku, entah apa sebenarnya punca kemalangan itu terjadi.  Malam itu malam minggu dan jam sudah menunjukkan sekitar 2.30 pagi. Suasana lokasi kejadian begitu cepat dikerumuni orang. Barangkali malam minggu sebegitu, ahli disko pun baru pulang dan ahli rempit mungkin terkejut dengan kemalangan yang berlaku.

Saya baru tahu kemudiannya kereta proton yang berhenti jauh sedikit telah diserang oleh sekumpulan pemuda lain. Kereta berkenaan hancur remuk dan cermin pecah berkecai. Petugas JPA3 yang hanya 2-3 orang tidak dapat berbuat apa-apa kerana jumlah pemuda tadi lebih ramai. Saya lihat seseorang yang memakai vest sabahkini.net lebih awal berada di situ mengambil gambar.