Archive for 2 April 2012


Saya gagahkan juga berceramah di foyer Jabatan Penyiaran Sabah di Karamunsing jumaat lepas, walaupun batuk saya agak teruk di samping selsema yang sudah berlarutan lebih seminggu. Penyampai Sabah FM DJ Dayang dan Hajjah Rahmah Abdullah ada menyampaikan hasrat agar saya hadir membentangkan tajuk berkaitan amalan yang bercanggah dengan aqidah yang berlaku di kalangan masyarakat.

Saya kira mungkin ini kali terakhir berceramah di bangunan yang sudah berusia puluhan tahun ini, kerana warga Jabatan Penyiaran / RTM sudah mula berpindah ke bangunan baru di Jalan Lintas. Bangunan indah dengan kawasan yang lebih luas. Saya dimaklumkan sebahagian sudah berpindah dan jangkaan mereka akan berpindah keseluruhannya menjelang bulan mei nanti. Kata mereka orang bahagian konti / studio adalah yang terakhir akan berpindah ke sana.

Berbalik kepada isi ceramah, antara perkara yang saya utarakan ialah berkaitan  keyakinan kepada sesuatu yang lain yang bercanggah dengan prinsip aqidah islam, seperti mempercayai ada kuasa lain yang mengetahui perkara ghaib selain Allah, meragui kekuasaan dan kebijkasanaan Allah SWT dalam mengatur hukum hakam di dunia ini, mempertikai dan mempermainkan hukum Islam, meyakini ada sesuatu perkara yang boleh memberi mudharat dan manfaat selain Allah SWT dan sebagainya.

Fokus kepada ceramah ini sebenarnya adalah berkaitan dengan beberapa amalan masyarakat tidak kira kedudukan terhadap amalan atau keyakinan mereka terhadap pawang, dukun, menggunakan tangkal dan azimat sehingga mereka meyakini kekuasaan benda tersebut. Saya juga menyentuh perihal sihir dan jin secara sepintas lalu dan prinsip yang mesti diyakini terhadap perkara-perkara tersebut.

Selepas sesi ceramah, ada seorang warga mereka yang diruqyah dan terdapat simptom gangguan makhluk halus terhadap dirinya. Meremang juga bulu roma saya pada mulanya apabila jin berkenaan menyebut nama saya secara jelas dan meminta tolong agar dia dikeluarkan daripada tubuh perempuan berkenaan. Akhirnya dia bersetuju untuk belajar agama Islam di Masjid Negeri Sabah dan berjanji tidak mahu mengganggu lagi. Sejauh mana dia menepati janjinya itu, terpulanglah kepada Allah SWT yang Maha Mengetahui dan membalasnya.

%d bloggers like this: