Archive for 26 April 2012


SMAN PEKAN KUNAK

Pertama kali saya berziarah ke daerah Kunak atau lebih tepatnya ke Sekolah Menengah Agama Negeri Pekan Kunak dalam misi pencarian calon-calon penghafaz al-Quran yang akan dipilih untuk ke Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah bagi sesi kali ini. Kesibukan mengendalikan sesi temuduga menyebabkan saya tidak dapat meronda seluruh kawasan sekolah kendalian Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) ini.

Pengetua sekolah ini Ustaz Bambang Muhamad Rafadi Yusoff yang menjemput saya di Lapangan Terbang Tawau begitu mesra orangnya. Bahkan mesranya luar biasa sekali, kerana jujurnya seingat saya kami tidak berbual sebegini mesra tetapi kami seperti sudah saling mengenali berpuluh tahun lamanya. Saya sebenarnya sekadar mengenal namanya dari jauh saja kerana beliau seorang pengetua dan diceritakan sebagai pegawai JHEAINS yang baik hati, namun kami tidak pernah bertemu wajah seperti hari ini. Kalau ada pun mungkin dari jauh saja.

Ustaz Bambang adalah pengetua kedua di sekolah ini selepas Ustaz Hamdani Omar yang kini berkhidmat di SMAN Pantai Manis Papar pula. Sekolah ini ditubuhkan pada awal tahun 1997 dengan keluasan 7 ekar di pinggir Pekan Kunak. 15 tahun berlalu, bermula tahun ini sekolah ini akan membuka pusat peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) sekaligus melengkapkan sijil peperiksaannya selain PMR, SMU, SPM dan kini STAM.

Dengan kekuatan 253 orang pelajar dan saya yakini ia akan terus bertambah daripada tahun ke tahun berdasarkan sambutan umat Islam sekitar Kunak, Semporna, Lahad Datu dan Tawau. Begitu juga sejumlah 14 orang guru, (saya mengharapkan jumlah ini ditambah), telah menggembeleng tenaga untuk memartabatkan kedudukan pengajian Islam peringkat menengah demi kecemerlangan umat Islam seluruhnya. Insya Allah, saya turut mendoakan kejayaan sekolah ini.

Seminar Akidah : “Ancaman Fahaman Moden Terhadap Umat Islam”
Fasilitator : Al-Ustaz Haji Bungsu Aziz Jaafar, Pensyarah Kanan UiTM, Kota Kinabalu, Sabah.
Tempat : Masjid Negeri Sabah, Kota Kinabalu.
Tarikh/Masa : 06 Mei 2012/Jam 8.30 pagi – 12.00 tengahari.

Yuran Penyertaan : RM10 sahaja.

Muslimin dan Muslimat dijemput hadir.

%d bloggers like this: