Archive for 14 April 2012


Saya teringat satu ceramah yang disampaikan oleh Ybhg Ustaz Dato’ Haji Ismail Kamus berkenaan orang-orang yang liat untuk menerima Islam sebagai satu cara hidup secara keseluruhan. Yang banyak berlaku dalam masyarakat ialah menerima sebahagian dan menolak sebahagian yang lain. Ada menzahirkan penolakan mereka dan ada pula yang menyembunyikan dengan dalih yang bermacam-macam.

Ada yang ‘berbulu’ mendengar teguran dalam ceramah, seolah-olah menyesal menjemput ustaz datang kerana teguran itu walaupun benar tetapi terkena batang hidung mereka. Di sisi yang lain ada juga yang berterima kasih kerana teguran itu benar kerana sudah tidak menyangkut dengan diri mereka lagi.

“Hentam ustaz, hentam! Saya dah pencen”, demikian cerita Ustaz Ismail dalam ceramahnya, mengajuk kembali kata-kata audien yang pernah berjawatan tinggi yang mendengar ceramahnya. Ertinya, ketika dia masih berjawatan dan berpangkat tinggi, jangan cuba-cuba hendak menegur atau mengkritik. Tunggulah akibatnya. Ia biasanya ceramah tentang keperluan menegakkan Islam dalam pemerintahan dan pentadbiran yang meresahkan ramai manusia berkepentingan.

Ini menunjukkan naluri mereka sebenarnya mahu kepada kebaikan dan kebenaran. Hanya sanya kerana mereka terikat dengan jawatan seperti ketua-ketua jabatan atau ahli yang berhormat, jadi mereka menolak nasihat atau teguran mana-mana ustaz yang berkenaan. Tapi kalau ceramah dalam bab sembahyang, puasa, haji, baca al-Quran, sedekah, mereka boleh terima.

Pengalaman peribadi saya juga begitu. Seorang bergelar datuk ketika memegang jawatan sebagai pengarah sebuah jabatan, bukan main payah untuk ditegur terutama dalam hal mempraktikkan kerja Islami dalam jabatan, perkhidmatan awam, pentadbiran negeri dan negara. Tapi apabila beliau sudah pencen, beliau pula lebih bersemangat dan mengiya-iyakan perkara berkenaan apabila saya menyebutkannya dalam ceramah di sebuah masjid.

Ketika berjawatan, mereka tidak berani menyatakan kebenaran di hadapan ketua atau pihak atasan mereka. Apa sebabnya, mungkin kerana jawatan, kerana periuk nasi, kerana ampu sana dan ampu sini, kerana rahsia peribadi yang berada dalam ‘kocek’ ketua mereka, mereka masing-masing tau sebabnya.

Tidak sedikit kisah beberapa Ahli Yang Berhormat sebelah UMNO yang saya ketahui dalam diam mengkagumi keperibadian pimpinan PAS terutama Tok Guru Nik Abdul Aziz dan Tok Guru Haji Abdul Hadi Awang sehingga timbul rasa hormat dan segan mereka. Mereka ceritakan kepada orang dekat mereka tetapi di khalayak tidak mahu menzahirkan kebenaran itu. Ia bukan semata-mata keperibadian dua tok guru itu sebenarnya tetapi Islam yang mereka junjung dalam diri dan seluruh pentadbiran yang mereka pimpin.

Tidak sedikit juga kisah mereka yang berjawatan politik dalam UMNO yang memohon khidmat dan menerima pengubatan Islam daripada Tuan Guru Dr Haron Din dan Ustaz Ismail Kamus, tetapi apabila kedua-duanya menceritakan tentang kebenaran politik Islam yang PAS bawa, serta merta mereka berdalih dan menolak. Saya dapat mengesahkan ada orang besar UMNO di Sabah yang menggunakan khidmat perawat Darusyyifa’ Bangi dengan membayar ¬†tiket penerbangan terus ulang alik dari KLIA ke Sabah untuk merawat seorang keluarga mereka yang mengalami sakit gangguan makhluk halus.

Seorang berjawatan besar dalam negara ini berpangkat Tan Sri juga pernah menceritakan kepada seorang berjawatan tinggi di Sabah betapa dia mengkagumi cara perbahasan dan ceramah beberapa Ahli Parlimen dari PAS dan PKR terutama yang muda-muda. Seorang pemandu kepada seorang Allahyarham Tan Sri juga menceritakan bahawa di dalam kereta, Tan Sri berkenaan suka sekali mendengar cd dan kaset ceramah Ustaz Ismail Kamus.

Seorang Datuk YB apabila terserempak dengan Tok Guru Haji Abdul Hadi di LTA Kota Kinabalu, bersalaman dan mencium tangan beliau. Akibatnya tidak lama kemudian beliau dipanggil oleh pihak tertentu atas tindakannya itu.  Saya mengenali baik beliau dan beliau juga mengenali saya. Demikianlah mereka sebenarnya dalam diam mengakui kebenaran dan Islam yang PAS junjung. Tetapi dalam tindakan terutama di khalayak ramai, mereka terpaksa menjaga perut mereka.

“Katakanlah : Telah datang kebenaran, dan terhapuslah kebatilan. Sesungguhnya kebatilan itu akan hilang akhirnya”.

p/s : kirim salam dengan yb berkenaan. kita boleh jumpa dan minum sama-sama.

Majalah : al-Ustaz

Penerbit : Telaga Biru Sendirian Berhad

Harga : RM9.00 / RM11.00

Satu lagi majalah agama terbitan Telaga Biru Sendirian Berhad selepas majalah Solusi dan Gen-Q. Keluaran pertama (isu perdana) baru saja berlegar di pasaran bermula 10 April lepas. Ia majalah agama yang berkonsepkan soal-jawab yang merangkumi pelbagai subjek aqidah, fiqah, tajwid, kekeluargaan, dakwah, kewanitaan, remaja, hadith, muamalat, tasawuf, politik, dan sebagainya.

Ketua pengarang kumpulan ialah Ustaz Pahrol Mohammad Juoi dan editor ialah Ustaz Mohamad Wahid Abd Hanif. Antara kolumnisnya ialah Ustaz Dr Zahazan sendiri, Ustaz Mohd Azrul Ismail, Ustaz Mohd Aizam Mas’od, Dato’ Ustaz Ismail Kamus, Dr Muhayya Mohammad, Ustaz Mohammad Haidzir Husain, Ustaz Amly Asenar, Ustaz Mohd Adib Hasan Saari, Ustaz Ahmad Husni Abdur Rahman dan ramai lagi.

Dapat majalah ini (jika di Kota Kinabalu) di Pustaka Aslam, Bazar al-Mubarak Masjid Bandaraya Kota Kinabalu; sementara di Wisma MUIS sila dapatkan di kiosk Azman Talib di ruang legar blok A berhadapan Masjid Negeri Sabah (019-5315577)

%d bloggers like this: