Archive for 5 April 2012


DOAKAN ANAK INI (2)

Tuan Haji Pozi di samping Zuhairi

Kami melihat kasih ibu bapa kepada anak ini sanggup mengusahakan apa saja kaedah perawatan untuk anak yang mereka kasihi. Sudah 3 bulan anak mereka ini – Zuhairi, 14 tahun tidak dapat berjalan ke sana sini akibat ketumbuhan otak yang dideritainya.

Sang ayah mendukung anaknya masuk ke dalam Surau Riyadhus Solihin Taman Austral minggu lepas untuk mendapatkan rawatan pengubatan Islam. Kami yang berada di situ, antaranya Tuan Hj Pozi, Ustaz Nazri, Abdul Hamid dan lain-lain turut merasa sebak di atas ujian yang melanda keluarga ini. Saya katakan Allah SWT memberi kesempatan keluarga ini untuk bermuhasabah dan berkumpul bersama-sama. Mungkin itu antara hikmahnya.

Hampir tengah malam tiga hari sudah, sang ayah mengirimkan pesanan ringkas lewat telefon bimbit saya menyatakan anaknya dimasukkan ke wad di Sabah Medical Centre (SMC) Kota Kinabalu “Ustaz, anak saya agak kritikal..” antara isi sms beliau. ┬áKepala Zuhairi baru saja dilakukan imbasan (scan), kerana satu kemalangan kecil berlaku di rumah apabila Zuhairi terjatuh di bilik air. Ada sedikit lebam di bahagian kepalanya akibat hentakan itu.

Sekitar 12.30 tengah malam saya tiba di tingkat lima bangunan berkenaan, mengucapkan takziah dan memberi sedikit semangat agar beliau suami isteri bersabar. Jawapan bagi sesi scan sebelum itu belum diperolehi ketika saya sampai, dan dijangka dimaklumkan pada sebelah paginya sewaktu sesi bekerja.

Sebelah paginya sekitar 8.50 pagi saya menerima mesej kedua yang membuatkan hati saya turut berdebar membacanya, sekaligus memberi jawapan kepada scan yang dilakukan malam sebelumnya. ” Tumor semakin membesar.. laporan MRI. Doc kata ‘don’t hope too much’.

Bukannya saya menolak ilmu perubatan yang dimiliki oleh para doktor kerana ilmu manusia sangat terbatas berbanding ilmu Allah SWT yang Maha Luas. Di samping menghormati ilmu yang mereka miliki, suatu hakikat yang mesti jelas ialah sudah terlalu banyak bukti dan kejadian menunjukkan tidak semua jangkaan para doktor itu tepat kesemuanya.

Sebab bagi setiap orang beriman, dia mempunyai Allah untuk mengadu dan berserah. Ketumbuhan yang tidak nampak di luar kepala itu, tidaklah susah bagi Allah untuk mengecilkan dan meredakannya. Teruslah berikhtiar dan berdoa, kerana ketentuan itu tidak dapat ditolak melainkan dengan doa.

” Wahai Allah yang berkuasa mengecilkan sesuatu yang besar, dan berkuasa membesarkan sesuatu yang kecil, kecilkanlah dan redakan ketumbuhan dan penderitaan yang dialami oleh anak ini”

%d bloggers like this: