Archive for 15 April 2012


“Mari sini, aku tau kau mau bergambar”, panggil Tun Ahmadshah kepada saya yang menanti beliau di tingkat bawah Masjid Tun Ahmadshah Kg Inanam Laut jumaat lepas. Saya sengaja tidak menghampiri sejak awal selesai jumaat kerana bimbangkan batuk saya yang tidak berkesudahan hampir sebulan mengganggu beliau. Ada foto kami berdua, dan yang di atas foto bersama sebahagian tenaga utama masjid ini. Oh ya kami memang biasa berbual dengan panggilan ‘aku-kau’ yang dianggap biasa saja bagi orang Sabah.

Agak lama saya tidak bertemu dengan beliau, barangkali ini kali pertama pada tahun 2012 ini. Sempat saya ‘tegurkan’ beliau dan mengingatkan pemandunya agar memaklumkan saya dan tidak melupakan apa-apa maklumat yang patut saya ketahui. Sebenarnya saya merujuk kes Tun masuk dan ditahan hospital pada akhir dan awal tahun 2011-2012 lepas. Gastrik katanya.

Saya hanya ketahui berita itu apabila beliau sudah keluar wad. Siapa yang memaklumkan berita itu, saya pun sudah lupa. Apa yang saya harapkan ialah perhubungan ketika bekerja tidak habis sekadar di pejabat sahaja. Maklumlah apabila sama-sama sudah tidak berada di bumbung yang sama, bertemu dengan seseorang yang pernah saya rapati dan hormati hanya beberapa kali setahun adalah sesuatu yang tidak saya inginkan.

Seperti yang saya dan ramai kenali, beliau seorang yang suka bercerita. Entah apa puncanya cerita kami sehingga beliau mengimbau kembali kisah persekolahan beliau di SM La Salle, sebuah sekolah missionari. Menarik ceritanya ketika itu ada subjek bible sehingga beliau sendiri boleh ‘score’ markah yang baik. Tidak setakat itu, beliau pernah dipujuk untuk dihantar dan dilatih sebagai paderi, namun ditolaknya secara baik.

Saya meraikan kebaikan beliau dan kenangan-kenangan manis bersamanya, sebab itu saya tidak mahu perkenalan, perhubungan yang pernah terjalin tidak terputus dan habis begitu sahaja. Semoga beliau dikurniakan kesihatan yang baik dan saya menanti buku biografi yang pernah disebutkannya satu ketika dahulu. 🙂

Mungkin ini foto kenangan terindah buat dua pelajar saya dari Maahad Tahfiz.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungannya pada hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri iaitu :

(1) Imam (pemimpin) yang adil, (2) Pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah, (3) Lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, (4) Dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah di mana keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, (5) Seorang lelaki yang diajak oleh wanita rupawan serta berkedudukan tinggi untuk melakukan zina, lalu ia menjawab, “Aku takut kepada Allah”, (6) Seseorang yang bersedekah dengan sesuatu sedekah lalu menyembunyikan sedekahnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya, (7) Seseorang yang mengingati Allah di tempat yang sunyi lalu mengalir air matanya.” (Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Kuliah pengajian tajwid al-Quran dan tafsir di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral sudah berjalan lebih 4 tahun. Sudah ada kalangan peminat dan jamaahnya yang berpindah dan ada juga orang-orang yang baru. Minggu lalu, pengajian kami sudah memasuki juzu’ 8, surah al-An’am. Sebelum ini pun selepas habis surah al-Baqarah, pernah ditalaqqikan surah Yasin sebelum kembali ke surah Ali Imran.

Kehadiran ke kuliah rabu malam khamis ini sentiasa turun naik, macam iman juga. Kehadiran minggu lepas saya kira juga memberansangkan. Surau yang kecil, dengan kehadiran 15-20 orang yang membulati saya di hadapan, ia sudah kelihatan ramai. Merenung foto ini, saya baru perasan, 12 daripada 16 yang hadir adalah orang muda belaka. Harapnya mereka termasuk dalam hadith di atas, pemuda yang sentiasa beribadah kepada Allah dan lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid.

Orang muda geng kita!

%d bloggers like this: