Archive for 11 April 2012


Kursus Tahsin Solat anjuran Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah bermula dan insya Allah akan berlangsung sepanjang ahad pada bulan April ini. Alhamdulillah, siri 1 berjalan lancar dengan bimbingan Ustaz Bahtiar Hud, pegawai dari Pejabat Mufti Negeri Sabah, Kota Kinabalu.

Mungkin atas kelemahan kami sendiri terutama hal promosi, siri 1 ini hanya dihadiri 55 orang sahaja. Maklumlah, mesyuarat diadakan pada akhir mac dan bersetuju mengadakan siri-siri tahsin solat sepanjang April. Apatah lagi kami tidak mempunyai staf tetap untuk bekerja mengendalikan urusan-urusan promosi, agak mencabar juga untuk menyebarluaskan maklumat ini kepada mereka yang berminat.

Berdasarkan pengalaman lalu, walaupun program sebegini diwar-warkan secara bersungguh-sungguh melalui blog dan facebook, tanpa iklan dan undangan ke masjid-masjid atau surau-surau, kehadiran berada di bawah garis yang disasarkan. Untuk siri 1 ini, berpuluh rakan-rakan facebook membantu mengongsikan maklumat dan poster iklan berkenaan di dinding atau status masing-masing tetapi demikianlah kehadirannya. Walaubagaimanapun, sedikit atau ramai program tetap diteruskan sebagaimana yang ditetapkan.

Ustaz Muchlish Ali Kasim selaku pengerusi Syukbah ini ada mencadangkan tempoh hari agar wajah-wajah baru diperkenalkan khususnya anak-anak tempatan bagi mengendalikan kursus seumpama ini. Alhamdulillah, malam mesyuarat yang sama Ustaz Bahtiar Hud, senior kami di Mesir dahulu sudi meluangkan masa untuk tampil membimbing siri-siri kursus tahsin solat kali ini.

Saya tidak mahu mengulas panjang tentang pengisian kuliah beliau, tetapi memadailah saya katakan ramai yang mulai selesa dan teruja dengan gaya penyampaian beliau. Beliau memimpin dengan baik berkenaan tajuk ‘bersuci’ ini. Ramai yang memandang remeh hal bersuci atau toharah ini dalam ibadah mereka. Saya setuju dengan pandangan sdr Amran Aliamat, kalau kita gagal bab toharah, ibadah utama kita seperti solat akan bermasalah.

Antara yang menarik dalam penyampaian beliau ialah ada beberapa hukum hakam yang beliau buatkan perbandingan dengan mazhab-mazhab yang lain dengan tujuan ilmu, agar masyarakat setempat tidak terkejut apabila bertemu dengan hukum atau amalan tertentu di negara lain kerana mungkin mereka mengambil pendapat mazhab lain yang masih diterima dalam ahlussunnah wal jamaah.

Insya Allah kami mengusahakan yang terbaik untuk promosi kursus tahsin solat bagi siri-siri berikutnya. Semoga Allah memudahkan urusan yang baik ini, dan memberi petunjuk untuk orang ramai menghadirinya pada siri akan datang.

 

 

 

%d bloggers like this: