Kira-kira 100 pemuda sekitar Kinarut, Putatan dan Kepayan membabitkan 10 pasukan menyertai Kejohanan Futsal Piala Ketua Pemuda PAS Malaysia yang diadakan di Kepayan pada malam sabtu. Kejohanan berkenaan diadakan sempena kunjungan Ketua Pemuda PAS Malaysia Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi dan rombongan ke Sabah sempena program Paluan Gendang Pilihanraya-13.
Ustaz Nasrudin yang turut menyertai perlawanan berkenaan menyatakan bahawa kejohanan seumpama ini adalah antara kaedah DPPM mendekati anak muda agar mereka mengenali PAS. Beliau menyatakan kesyukurannya kerana kehadiran di luar jangka di kalangan pemain dan penonton. Perlawanan berlanjutan hingga ke tengah malam dan hadiah disampaikan oleh Ustaz Nasrudin sendiri kepada pemenang.
Turut serta dalam rombongan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) ke Sabah ialah Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (Timbalan Ketua), Abang Ahmad Kerdee (AJK DPPM) dan Ustaz Syed Abdul Kadir al-Jofree (AJK DPPM).