Archive for 30 April 2012


Saya seperti ketagih untuk hadir walaupun sebentar ke pesta buku ini, setelah mengalami suatu pengalaman yang sangat berharga pada tahun lalu bersama kawan-kawan. Kalau tahun lalu saya hadir dengan sahabat-sahabat, kali ini saya datang sendirian walaupun bertemu juga dengan kawan-kawan tahun lepas dengan rombongan yang berasingan.

Cuma kelebihannya kali ini saya sudah tahu serba sedikit simpang siur di dalam kawasan PWTC khususnya dewan-dewan di aras bawah yang menempatkan pasukan-pasukan penerbit atau pengedar buku termasyhur negara. Saya tersilap waktu tutup, kerana menyangka berakhir jam 10, tetapi rupanya jam 9 malam, maka saya hanya ada masa hampir 2 jam untuk meronda kawasan pesta buku ini.

Hampir tiada masa untuk membelek satu persatu buku yang nampak menarik. Saya meninjau beberapa buku yang disasarkan berdasarkan tajuk atau subjek, berjumpa dan terus ambil. Begitu juga buku yang disasarkan berdasarkan penulis atau pengarangnya. Terus saja saya sambar tanpa banyak songeh lagi. Antara kepuasan kali ini ialah saya bertemu dengan Pak Abdul Latip Talib, penulis buku sirah Islam tersohor negara kita di gerai PTS.

Akhirnya, saya dapat membeli sejumlah 35 buah buku pelbagai tajuk dan penerbit dari Galeri Ilmu, PTS, Pelima Media, Pustaka Sheikh Nuruddin (PSN), Pustaka Salam dan seumpamanya dengan kos sekitar RM800. Saya sudah membuat sedikit persediaan dari Kota Kinabalu, membeli troli kecil untuk diheret ke hulu ke hilir dan melancarkan pergerakan dari tempat penginapan – pwtc – dan kembali ke tempat penginapan semula. Akhir sekali, di LCCT, beg yang penuh dengan buku itu, pemegangnya patah kerana keberatan.

Sumber : http://www.islam.gov.my/lambaian-datong-laut-pengikat-persaudaraan

Oleh : Mohd Marzuki

Pada 22 april yang lepas, Jakim Cawangan Sabah dengan kerjasama JHEAINS Daerah Pitas, Jabatan Perpaduan Dan Integrasi Negeri Sabah (JPINS) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Datong Laut, Pitas telah mengadakan Program Ziarah Mahabbah bertempat di Surau Nur Hidayah, Kampung Datong Laut, Pitas.

Objektif utama program ialah menyuburkan rasa kasih sayang serta semangat persaudaraan dengan kumpulan sasaran di dalam suasana mahabbah dan mawaddah dan memberi motivasi dan sokongan moral disamping menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan serta memberi kefahaman akidah Islam yang sebenar.

Antara pengisian yang dijalankan ialah Halaqah Ilmu (Bab Taharah), Tazkirah, solat zohor berjamaah dan ramah mesra. Para peserta yang hadir juga begitu bersemangat dan bersungguh-sungguh dalam setiap aktiviti yang dijalankan.

Turut hadir ialah Ustaz Mohd Shamsuri bin Ghazali, Penolong Pengarah Jakim Cawangan Sabah, Ustaz Kamal Sindong, Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Daerah Pitas, Encik Nasarudin bin Ahmad, Pegawai JPINS, Encik Dulah bin Kurus, Pengerusi KRT Kampung Datong Laut dan Encik Arif bin Adol, Ketua Kampung Datong Laut. Sumbangan berupa keperluan dapur turut diberikan kepada saudara baru, fakir miskin dan anak yatim.

%d bloggers like this: