IMG_7221

Rumah keluarga Cikgu Hameed

Saya bertolak dari Hentian Bas Jalan Duta pada jam 5.30 petang khamis. Ini adalah pengalaman kali pertama menaiki bas ekspress dalam perjalanan jauh menuju ke utara. Nampaknya Ramadhan kali ini saya bermula di negeri Kedah.

Alhamdulillah, saya tiba di Yan khususnya di kampung Sungai Yan Kechil dalam daerah Yan parlimen Jerai hampir jam 12 tengah malam semalam.

Di sinilah rumah ayah Cikgu Abd Hameed.

Sebenarnya kampung asal mereka ialah di Ulu Sedaka, kira-kira 10 minit dari sini. Ayah mereka berpindah dan membuat rumah di kampung ini sejak awal 70an. Beliau hanya mengusahakan bendang yang terbentang di belakang rumah.

Lokasi rumah di kampung asal kini dibina rumah baru yang dihuni oleh keluarga adik cikgu Hameed, seorang kontraktor tempatan.

Pagi semalam, saya menemani Cikgu Hameed meronda-ronda kawasan kampung Sungai Yan Kechil dan kampung sekitarnya dengan menaiki motorsikal.

IMG_7210

Sebelum berangkat keluar, kami didatangi oleh salah seorang jiran yang dipanggil Mak Ngah atau nama sebenarnya Asiah Ahmad, berusia dalam lingkungan 50an.

Mak Ngah adalah seorang ibu tunggal sejak dua tahun lalu.

Mak Ngah seperti kebanyakan orang kampung lain, tidak pernah berjalan jauh kecuali dua kali ke Kuala Lumpur. Jauh sekali hendak ke Sabah Sarawak. Bahkan lokasi Sabah pun beliau tak tahu.

Dalam PRU 12 lalu, Mak Ngah mengundi dacing. Walaupun kerajaan Kedah berubah daripada BN kepada Pakatan Rakyat, DUN di sini dimenangi oleh UMNO-BN.

Mak Ngah kata, sejak lama dulu dia memangkah PAS. Tetapi dalam PRU yang lalu, dia dipujuk agar mengundi BN.

Sentimennya mudah, PAS tidak pernah membantunya untuk meringankan bebannya. Saya ada menjelaskan bahawa ketika beliau susah, bukan PAS yang memerintah.

Dalam tempoh sebulan lalu, atap rumah Mak Ngah diterbangkan angin. Habis bahagian atas rumah kampung beliau tidak boleh diduduki. Hendak membaiki sendiri, Mak Ngah bukan orang senang.

Menurutnya, pihak BN ada berjanji dalam masa terdekat untuk membantu membaiki rumahnya.

Ditanya sama ada orang PAS pernah datang berziarah atau tidak, Mak Ngah kata orang PAS pernah datang tetapi dengan tangan kosong.

Sebagai orang susah, Mak Ngah kata sepatutnya berilah bantuan sedikit sebanyak. Sama ada dakwaan Mak Ngah betul atau tidak, wallahu a’lam.

Harapnya kenyataan ini diambil berat oleh  PAS Kawasan di sini, khususnya YB Ahli Parlimen Jerai Ust Firdaus Jaafar.