Archive for 20 Ogos 2009


IMG_7102

Tiba di KLIA, saya terus turun ke arah laluan KLIA Ekspress. Saya berpisah dengan Ust Senan Jipar dari Bahagian Dakwah JHEAINS yang semulanya kami dalam penerbangan yang sama. 

Saya menuju program di Masjid Wilayah, sementara beliau ke Shah Alam menyertai konvensyen dakwah.

Di KL Sentral, Imam 3 Masjid Wilayah Ust Hj Moghni Asrari sudi menjemput saya. Beliau terlebih dahulu membawa saya meronda-ronda sekitar Kg Baru untuk makan malam.

“Ngko nak makan di mana?”

“Restoran Pak Amjal boleh?”

Saya tidak terfikir sebelumnya untuk ke restoran itu. Nama restoran itu terpacul secara tiba-tiba setelah Ust Moghni menunjukkan saya restoran Pak Yazid di Kg Baru.

Saya dahulunya tidak kenal rupa Pak Amjal walaupun membaca banyak cerita beliau dalam harakah khususnya. Kempen PRU 12 lalu, Pak Amjal berkampung kira-kira 2-3 minggu di Labuan, membantu calon di sana.

Satu hari, saya ditunjukkan kepada beliau yang rupanya berada di sebelah saya. Patutlah beberapa hari kebelakangan itu mereka asyik  menyebut-nyebut namanya.

***

Di restoran tepi jalan ini, saya minta nasi daging merah yang menjadi kegemaran sejak 12 tahun lalu. Saya tidak pernah ke mari, tetapi ramai rakan-rakan khususnya graduan UM dan sekitarnya bercerita tentang restoran ini.

Pak Amjal pula tiada, dia ke Makkah tunaikan umrah sejak 2-3 hari lalu. Demikian dijelaskan oleh anak perempuannya setelah saya mencarinya.

Tengah makan, saya teringat kepada seorang anak muda dari Taman Limauan. Dia belajar di UM yang letaknya bersebelahan dengan restoran ini.

Saya hubungi dan nampaknya dia berhalangan datang. Anak muda ini dahulunya di Nilam Puri dan baru masuk ke mari sebulan lalu. Saya ingatkan dia, agar rajin-rajin ke mari.

Restoran Pak Amjal menjadi lokasi penting dan batang tubuh Pak Amjal sendiri adalah seorang pejuang. Kepada anak muda itu saya berpesan, carilah kisahnya, teladani semangat dan keberaniannya.

Masjid Wilayah, Jalan Duta

IMG_7099

Di hadapan kira-kira 20 orang warga Bahagian Audit Sekolah, Jabatan Pelajaran yang berpejabat di bangunan KUWASA, saya memulakan pertemuan pagi semalam dengan sebuah hadith Rasulullah SAW :

“Sesiapa yang bergembira dengan masuknya bulan Ramadhan, Allah SWT mengharamkan jasadnya disentuh api nereka”

Hadith tersebut menjelaskan sikap sebenar yang patut diamalkan oleh orang Islam, iaitu gembira dengan kedatangan Ramadhan.

Menjelang Ramadhan, kita menyaksikan bermacam perangai manusia. Ada yang suka gembira, ada pula yang sedih berduka, ada juga yang suram dan muram wajahnya.

Dalam ceramah itu juga, saya mencadangkan agar kita mengurangkan sebutan ‘bulan puasa’, kerana ia hanya mengingatkan masyarakat tentang puasa sahaja. Sedangkan di dalam bulan Ramadhan banyak lagi amalan lain.

Sebutan tentang bulan puasa menyebabkan ramai terlalai tentang perintah solat, membaca al-Quran, membayar zakat, bersedekah, bertarawih, berqiyamullail, beriktikaf dan seumpamanya.

Hasilnya, ramai yang hanya sekadar berpuasa tetapi tidak solat, tidak ke masjid, semuanya tidak. Yang dikenangnya, sejak awal pagi lagi, petang nanti apa yang hendak dimakan.

Kalau kita makan nasi, kita perlukan lauk. Nasi itu yang wajib, sementara lauk pauk adalah sunnatnya. Dalam bab makan, kita tidak sekadar makan nasi sepinggan, tetapi sekali dengan lauknya.

Begitulah amal ibadah yang kita lakukan, tidak sekadar puasa yang wajib ditunai tetapi juga mengambil fadhilat tentang ibadah-ibadah yang lain sama ada wajib atau sunnatnya.

Kepada Puan Zainon dan semua anak buahnya, terima kasih atas undangan. Ada umur kita bertemu lagi.

Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta.

IMG_7096

%d bloggers like this: