Archive for 23 Ogos 2009


IMG_7324

4. Ust Zulkifli Mustafa.

Empat belas tahun berjuang dan berkhidmat, tidak sedikit budi dan jasa yang beliau hulurkan di bumi Sabah.

Keringat dan tenaganya bukan setakat di Maktab Sabah tempatnya bertugas, bahkan juga kepada surau-surau tempat beliau menyampaikan ilmu kepada masyarakat.

Petang jumaat lalu, kami bertemu di rumah ibunya yang sangat baik hati. Dahulu ketika berpindah, ibu inilah menjadi alasan Ust Zul. Benar, ibu yang berusia lebih 70 tahun kesunyian dan tinggal sendirian kini.

Ust Zul dan keluarganya hanya pulang ke rumah ibunya di Kg Chegar, Pendang hampir setiap hujung minggu. 

Ini kerana Ust Zul ditempatkan di SMK Sungai Kob Kulim, sama sekolah dengan isterinya dengan jarak 2 jam perjalanan dari Pendang.

Dalam sembang kami itu, Ust Zul berkira-kira untuk minta pindah ke Pendang pula bagi membolehkannya duduk hampir dengan ibunya yang semakin uzur itu.

Petang itu, Ust Zul juga memaklumkan bahawa isterinya tidak dapat pulang bersama kerana menjaga anak kecil yang baru berusia dua bulan. Ia melengkapkan anak kelima mereka.

Aqlina, Md Ahnaf, Aliya Yumna, Md Aufi Syahim dan Afini (30 Mei 2009).

IMG_7333

5. Ust. Mustafa Abd Majid.

Putera-putera SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah wajib dan pasti mengingati beliau khususnya dalam tempoh 6 tahun beliau berkhidmat sebagai guru dan pengawas asrama putera.

Ada peristiwa lucu, sedih, gembira dan sebagainya menjadi kenangan bersama.

Beliau balik ke negerinya di Kedah ini pada 2006 lalu dan menetap di Pendang. Sungguh nostalgia dan sentimental sekali melihat tanda nama rumahnya dinamakan dengan Nurul Sabah.

Katanya, rumah yang dibina adalah hasil pendapatan sepanjang 27 tahun berkhidmat di bumi Sabah.

Ust Mustafa yang berasal dari Sungai Jagung, Pendang memulakan khidmatnya di Sabah pada 1979 di Rancangan Klias, Beaufort selama 3 tahun sebelum berpindah ke SUI Kerukan Kuala Penyu selama 6 tahun.

Dari Kuala Penyu beliau berpindah ke Kota Kinabalu sebagai pengawas asrama dan guru di SMAI TPHR (1990-1995).

Tempoh selama 12 tahun berikutnya beliau habiskan sebagai Penolong Setiausaha 1 di Unit Peperiksaan Bahagian Pendidikan JHEAINS.

Dengan umur kini 58 tahun, Ust Mustafa menghabiskan masanya banyak di kebun beliau. Jangan terkejut, Ust Mustafa juga kini aktif dalam Biro Agama UMNO Bahagian Pendang.

Berkali-kali beliau memprovokasi saya tentang keUMNOannya. Walaubagaimanapun situasinya, bagi saya kedudukan beliau sebagai guru yang banyak berjasa tidak dapat dinafikan sama sekali.

Katanya, dia terpaksa mengakui hakikat bahawa UMNO kini teruk khususnya dengan rasuah dan penipuan. Sebelum pulang, saya pula memprovokasi beliau.

“Ust, bila mau masuk PAS?”

“Insya Allah”.

IMG_7335

6. Ust Hj Abdullah Din.

Selepas bertarawih di Surau Kg Yan Kechil, kami bersembang panjang di sebuah gerai berhadapan Hospital Yan.

Panjang cerita kami, Ustaz bersemangat melaporkan perkembangan tentang beliau sendiri sepanjang setahun kembali ke negeri sendiri. Julai tahun lalu, Ust Abdullah Din berpindah ke Kedah setelah berbudi di Sabah.

Sudah tentu ramai sekali merasa sedih dan mengalirkan air mata mengingati perpisahan itu.

Tidak keterlaluan saya catatkan di sini, orang yang paling berduka dan merasa kehilangan ialah Chegu Jamil yang menjadi rakan suka duka beliau dan melaksanakan program dakwah di mana-mana ketika itu.

Ust Abdullah pernah bertugas di Beaufort, SMK Peter Mojuntin Penampang dan SMK Tebobon, kini beliau berkhidmat di SMK Dato’ Syed Ahmad dengan pangkat guru cemerlang yang diperolehinya di Sabah lagi.

Ust Hj Abdullah Din kini banyak mengisi masa beliau dengan mengadakan kursus pemantapan aqidah sebagaimana yang beliau usaha dan asaskan di Sabah dahulu.

Selain itu, beliau juga kini aktif dalam ABIM daerah Padang Terap dan di peringkat  Negeri Kedah sendiri.

Suatu perkara yang membuatkan saya terharu apabila beliau merasakan hubungan dengan sahabat-sahabat di Sabah masih kukuh dan erat.

Seperti Ust Zulkifli Mustafa juga, secara jujur Ustaz menjelaskan bahawa kewujudan blog Abu Nuha Corner ini banyak memberi maklumat tentang aktiviti dakwah rakan-rakan di Sabah.

Khabar dan cerita di blog ini sedikit sebanyak mengubati kerinduan terhadap program dakwah dan kepada sahabat-sahabat sendiri.

Tambahan pula, saya sendiri tidak menggugurkan nama dan nombor telefon beliau setiap minggu saya mengedarkan makluman usrah sekalipun beliau sudah balik lebih setahun.

Situasi itu menyebabkan ustaz merasakan beliau hampir dengan sahabat-sahabat.

Insya Allah persahabatan itu tidak akan terurai dengan berpisah mata dan badan. Semoga beliau terus aktif dengan usaha-usaha dakwah beliau di samping isteri dan anak-anak seramai 7 orang itu.

Posting lama tentang Ust Abdullah Din baca di sini.

BUKA PUASA

Kata orang susah :

“Apa kita nak makan hari ni…?”

Kata orang senang :

“Di mana kita nak makan hari ni..?

Kata orang jahat :

“Siapa kita nak makan hari ni..?”

Sejak tiba di KL mulai rabu sehingga berada di Kedah saat ini, saya telah berjumpa dengan beberapa individu yang lama tidak saya temui.

IMG_7136

1) Ust Najib Abd Ghaffar.

Ust Najib adalah rakan sepersekolahan ketika tingkatan 2 di SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah. Walaupun tempohnya di Sabah singkat saja -1992, tetapi persahabatan tetap kekal sehingga hari ini.

Selepas kami berpisah pada  kerana Najib balik ke Kedah mengikut keluarganya, kami tidak lagi bertemu sehingga pada 1999 di Darul Quran (DQ) JAKIM, Kuala Kubu Baru.

Mengingat kenakalan zaman sekolah, saya sendiri tidak menyangka Najib masuk dan menyambung pengajian di DQ (1998-2001) dan menjadi junior kami pula.

Selepas DQ, Najib sambung ke Maahad Qiraat al-Azhar di Mesir pada 2002-2005, dan di sana kami bertemu pula. Kemudian Najib kembali ke DQ pada 2006 sebagai pensyarah pula, mengajar subjek-subjek al-Quran seperti tasmik, qiraat dan lain-lain.

Kali terakhir kami bertemu ialah pada 2007 lalu, apabila kami terserempak selepas solat jumaat di Masjid India, KL.

Kami bertemu pula beberapa hari lalu dalam Seminar Pemurnian Aqidah anjuran Pejabat Mufti WP dan JAWI di Masjid Wilayah.

Najib sudah berkeluarga dan kini mempunyai 2 cahayamata. Isterinya seorang guru JQAF mengajar di sebuah sekolah berhadapan DQ.

IMG_7139

2) Ust Hj Abd Malik Salleh.

Tidak banyak cerita dan kenangan saya dengan beliau, kerana zaman itu saya masih di bangku sekolah.

Ust Malik – orang Kelantan, yang kini bertugas selaku imam besar Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta, pernah bertugas di Jabatan Agama Islam WP (JAWI) Labuan, antara 1994 hingga 1998 sebagai Ketua Penolong Pengarah (KPP).

Jawatan KPP adalah jawatan tertinggi JAWI di Labuan, yang bermakna penjawat berkenaan mengetuai operasi pentadbiran JAWI di WP Labuan.

Seingat saya, nama beliau cukup baik dan harum ketika berkhidmat di sana, lantaran hubungan beliau yang sangat mesra dengan ramai orang khususnya penduduk kampung dan ahli qaryah masjid.

Ust Malik dalam sembang singkat kami tempohari juga menyebut beberapa nama yang menjadi keluarga angkatnya di WP Labuan. Beliau juga masih mengenali dan mengingati bapa saya selaku rakannya ketika itu.

IMG_7309

3) Ust Shahrizal Ghazali.

Saya bersahabat dengan beliau sejak 2003 sehingga kini. Ketika saya dan isteri mendirikan rumahtangga pada 2002, kami kemudiannya tinggal di Mansoura sehingga pulang ke tanahair pada pertengahan 2004.

Ketika di Mansoura itulah kami bersahabat baik dengan rakan-rakan yang sudah berumahtangga.

Kami berusrah bersama – usrah bait muslim, saling ziarah menziarahi, melancong bersama dengan keluarga masing-masing, tambahan pula kami masing-masing mempunyai seorang anak yang sebaya umur dan baru lahir pada 2003.

Ust Shah mengaji di Universiti al-Azhar Cawangan Tanta dalam kuliah Syariah Islamiyyah tetapi tinggal di Mansoura sejak 2002.

Sementara kami kembali pada julai 2004, Ust Shah dan keluarganya pula kembali pada oktober tahun yang sama.

Sejak 5 tahun lalu, Ust Shah bertugas di SMA al-Islah Pendang. Pertemuan terakhir kami pula ialah pada akhir 2007, ketika saya berkunjung ke negeri ini atas urusan rasmi.

Kini Ust Shah tinggal di Taman Teratai Pendang bersama isterinya Ustazah Suzana Md Nordin @ Kak Zana yang juga menjadi rakan baik isteri saya serta 3 cahayamata mereka. Md Afifi (6 tahun) – seumur dengan Nuha, Afifah Izzati (3 tahun) dan Anis Afifah (2 tahun).

Insya Allah persahabatan dan kenangan manis di Mesir khususnya bersama rakan-rakan bait muslim Mansoura lain tidak akan dilupakan.

%d bloggers like this: