Archive for 24 Ogos 2009


SIKAP BALIK KAMPUNG

Saya mendapat pengalaman, pengajaran dan ilmu yang sangat banyak ketika berada di kampung Cikgu Hameed di Kg Sungai Yan Kechil, Kedah Darul Aman.

Aktiviti kami yang paling banyak sekali ialah program ziarah ke sekitar kampung dan kampung berdekatan khususnya rakan-rakan lama beliau juga sanak saudaranya.

Sesetengah orang apabila balik kampung lebih gemar terperap di dalam rumah, kononnya untuk membalas dendam dengan kesibukan kerjaya di kota.

Tetapi tidak dengan Cikgu Hameed. Walaupun musim hujan, kami tetap juga berjalan. Kereta berganti dengan motosikal, ziarah tetap menjadi aktiviti utama.

Sebagai kenangan, saya titipkan lagi beberapa gambar sepanjang ziarah kami selain gambar yang telah disiarkan sebelum ini. Mudah-mudahan ia menjadi kenangan baik untuk Cikgu Hameed dan mereka yang diziarahinya.

Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada keluarga Cikgu Hameed khususnya ayah beliau Abu Bakar dan mak barunya atas layanan baik yang diberikan sepanjang 3 hari berada di rumah beliau.

IMG_7259

IMG_7273

IMG_7275

IMG_7286

IMG_7300

IMG_7340

IMG_7450

IMG_7477

IMG_7262

IMG_7265

 IMG_7346

7) Ustaz Hj Abd Aziz Samad

Bagi para pelajar lepasan SMAI TPHR, sudah tentu tidak dapat melupakan jasa guru ini khususnya dalam ilmu seni khat.

Sehingga hari ini, hasil tangan dan didikan beliaulah SMAI TPHR sentiasa berada di hadapan dalam pertandingan sepanduk dalam perhimpunan Maulidur Rasul, dimana ukiran khat menjadi ukuran utamanya.

Bukan setakat sepanduk SMAI TPHR, mana-mana sepanduk yang mendapat nombor dalam mana-mana kategori sama ada jabatan, swasta, IPT, sekolah, kampung dan seumpamanya, pasti orang belakang tabirnya ialah anak-anak lepasan SMAI TPHR.

Ust Abd Aziz adalah orang Kg Bijal Jitra Kedah. Beliau berkhidmat selama 36 tahun di bumi Sabah.

Dahulu ketika datang pada 1973, beliau memulakan khidmatnya di SK Bundutuhan Ranau. Ketika itu sekolah-sekolah berada di bawah pentadbiran kerajaan negeri.

Tiga tahun di sana, beliau berpindah pula ke SUI Ranau selama 7 tahun pula sehingga 1982. Ketika di daerah Ranau inilah anak kedua hingga keempatnya dilahirkan.

Dari Ranau, beliau sekeluarga berhijrah pula ke Tuaran sehingga 1990. Di Tuaran ini ustaz bertugas di beberapa tempat. Antaranya SUI Tuaran, SUI Tembalang, SUI Mengkabong dan SUI Giling.

Pada 1990, barulah ustaz ke SMAI TPHR. Saya teringat lagi, suara lantang beliau mengajar sehingga menerobos ke bilik darjah yang lain.

Pada 2006, ustaz menamatkan tugasnya di Sabah dan kembali ke Kedah, khususnya di Kg Tanjung Musang, Jalan Telok Jamat, Mukim Langgar Alor Star. Di sinilah kampung isteri beliau, Ustazah Hjh Che Jam yang kami kenali sebagai ustazah yang peramah.

Rumahnya kini sebenarnya telah dibina sejak 1975 lagi, ditambah dan dibesarkan sedikit demi sedikit sehinggalah apa yang ada pada hari ini.

Ustaz ada mengusahakan kebun duku, rambutan, pisang dan sebagainya yang terletak di sebelah rumahnya seluas 3 ekar. Ustaz juga ada kebun getah tidak jauh dari rumahnya.

Di rumah ini, ustaz dan ustazah tinggal berdua saja. Anak pertama berada di daerah lain di Kedah ini, sementara yang kedua dan ketiga berada di Sabah (Ust Azlan dan Ustazah Norazlinda)

Sementara yang bungsu, Nor Azmawati kini bertugas sebagai pensyarah di UiTM Segamat, dimana Prof Dr Hj Md Kamil Ibrahim menjadi pengarahnya.

Azma juga khabarnya sedang meneruskan pengajian ke peringkat PhD dan bakal menamatkan zaman daranya pada 12 Disember ini atas pilihan keluarganya.

IMG_7368

8) Hj Ali Sibramulisi Hj Abd Rahman @ Pak Ali

Secara jujur, saya tidak pernah bertemu dengannya tetapi namanya cukup harum dan terkenal khususnya ketika beliau mengasas dan mengimarahkan Surau Bernas di Kolombong.

Pak Ali berada di Sabah lebih 20 tahun dan tugasan terakhir beliau adalah sebagai Pengurus Pemasaran Bernas Negeri. Banyak cerita suka duka beliau khususnya penglibatan beliau dalam PAS.

Di Surau Bernas itu, antara tokoh yang pernah mengisi ceramah adalah Ust Hj Abd Ghani Samsuddin, Tuan Guru Hj Yahya Joned, Ust Yusuf Embong, Ust Wan Azhar dan ramai lagi.

Apabila beliau meninggalkan Sabah pada 2003, surau Bernas terus malap dan terbiar. Baik oleh orang Bernas mahupun penduduk taman sekitar.

Semenjak sebulan dua ini, barulah ia dimeriahkan semula atas inisiatif penduduk berhampiran khususnya mereka yang cintakan surau dan program keagamaan.

Pak Ali beristerikan orang Weston Beaufort – Puan Rosni Sulai yang kini menghidapi penyakit kencing manis. Kaki beliau menjadi kaku, tidak dapat bergerak dan berjalan sendiri.

Pak Ali tinggal di sebuah kedai runcit miliknya di Kg Gelam, Langgar. Kedai itu telah diusahakannya sejak 3 tahun lalu. Di sinilah beliau tinggal bersama isteri dan seorang anaknya daripada sejumlah 8 cahayamata.

Sementara yang lain berada daerah dan negeri lain. Ada seorang di sabah, 3 orang di KL, seorang di Norway, seorang di Pahang, seorang di Kedah.

Sambil mengusahakan kedai, Pak Ali juga dilantik sebagai ketua kampung di sini.

IMG_7443

9) Cikgu Md Nasirin Abd Ghani.

Cikgu Nasirin orang Terengganu. Beberapa ketika, beliau pernah bertugas di Sabah khususnya di SMK Teknik Likas sehingga mendirikan rumahtangga dengan orang Sabah dan beroleh seorang putera bernama Muhammad Wafiy. 

Secara jujurnya, saya lambat merapati beliau.

Saya merasakan waktu paling dekat ialah ketika kami pulang bersama dari Tamparuli setelah bermesyuarat bersama perihal seorang remaja yang hendak dimurtadkan keluarganya. Peristiwa itu berlaku setahun lalu.

Di kereta itulah kami banyak berbual tentang peribadinya.

Ketika beliau menghadapi masalah rumahtangga sehingga berakhir dengan perceraian, saya juga salah seorang yang mengetahuinya daripada peringkat awal.

Apabila bertemu di Permatang Pasir malam minggu lalu, setelah 2 bulan beliau berpindah ke mari, saya mendapat tahu beliau menjalinkan hubungan dengan seseorang pula. Jangan salah sangka, menurut penilaian saya hubungan itu masih bersih sehingga kini.

Tiada lain nasihat dan pandangan saya selain agar Cikgu Nasirin cepat-cepat berumahtangga. Bila bertemu orang yang baik agamanya, apa lagi hendak ditunggu. Sementara umur masih muda..