Archive for 9 Ogos 2009


IMG_6689

Jam 6.50 pagi, saya bertolak ke Ranau ditemani 2 anak muda yang sering menyertai kuliah maghrib saya di Masjid Nurul Ihsan, Kg Lok Kawi Baru.

Mujur ada teman seperjalanan, boleh bawa sembang dan lebih mengenali mereka. Selama ini setiap minggu mereka hadir, tetapi tidak pernah berjalan, atau minum bersama.

Hardie, 17 tahun  dan Obot 28 tahun, adalah antara pendengar setia kuliah saya di masjid mereka sejak 2 tahun lalu.

Hardie adalah pelajar tingkatan 5 SMK Tansau sementara Obot pemuda kampung yang bekerja sendiri.

Masjid Nurul Ihsan Kg Lok Kawi yang saya berkuliah setiap malam minggu sedikit berlainan berbanding tempat lain saya berkuliah. Anak muda remaja dan belianya ramai, apatah lagi ketika ada ceramah tertentu.

IMG_6660

Kami tiba lewat 5 minit berbanding jadual asal program ceramah.

Khusus untuk program ini, ia diatur oleh sahabat saya Ust Md Rezany Taufek, guru yang sudah bertugas di SMKA Mohammad Ali ini sejak 3 tahun lalu.

Rezany adalah junior sekolah, sementara isterinya bersahabat baik dengan isteri saya ketika di sekolah dan di Mesir juga. Nama mereka berdua pun lebih kurang.

Ketika di Mesir, sijil-sijil isteri saya berada di Iskandariah dan di situlah sepatutnya isteri saya belajar. Takdirnya, isteri Rezany yang ditempatkan di situ sementara nama isteri saya sangkut dan tidak dapat meneruskan pengajian selama 2 bulan sebelum lepas dan dihantar ke Mansoura pula.

Ceramah ini diatur oleh Rezany setelah beliau melayari blog Abu Nuha Corner ini, melihat team P.U.M. ligat ke sana ke mari, bahkan ke Ranau juga melintasi 2 kali sekolah mereka menuju ke SMK Lohan yang menjadi jiran mereka dan SMK Timbua yang lebih ke dalam lagi.

Katanya, cemburu melihat kami berprogram dan tidak singgah ke sekolah mereka. Apabila tarikh diajukan, saya tidak berfikir panjang untuk bersetuju.

Alhamdulillah, saya teruja berhadapan dengan 500 pelajar sekolah agama, dimana puteranya lengkap bersongkok dan berkopiah sementara semua puterinya dengan tudung labuh menzahirkan ciri muslimat yang baik.

Ceramah saya berlegar tentang 4 perkara. Matlamat hidup, isra’ mi’raj, kepentingan memelihara aqidah serta persediaan Ramadhan.

Insya Allah persetujuan asas sudah dicapai, bahawa kami akan datang lagi pada Ramadhan untuk program pemantapan aqidah pula.

Terima kasih untuk semua adik-adik di sana, yang mendengar ceramah dan yang melayan ketika kami dijamu makan. Juga ustaz-ustaz yang hadir, Ust Rezany, Ust Wan, Ust Jazlan serta Cikgu Hardi rakan lama saya yang 15 tahun tidak saya temui.

IMG_6661

IMG_6673

IMG_6677

IMG_6675

IMG_6654

Bangunan yang dicita-citakan

Semalam dan hari ini memang seronok.

Mulai pagi sabtu, ada bengkel strategik. Bermacam idea diluahkan untuk memantapkan program dakwah.

Tidak ramai rakan-rakan datang. Tetapi percambahan idea tetap mantap dan segar sehingga berakhir pada 4.30 petang.

Makanan tidak habis, kami bersedekah dengan buruh yang bekerja di bawah terik panas matahari menyiapkan bangunan yang mungkin kami beli satu hari nanti. Amin!

IMG_6653

Ada masa sejam di rumah, boleh tengok-tengok ayam, arnab dan ikan.

Maghrib pula kuliah di Masjid Kg Lok Kawi Baru. Cerita tentang zikir subuh jumaat melalui buku al-Azkar susunan Imam Nawawi. Ini kuliah terakhir sebelum Ramadhan.

Malam minggu akan datang, kuliah ditangguh kerana ada program di Pitas. Bulan Ramadhan, kuliah diteruskan pada pagi sabtu selepas solat subuh.

Selesai kuliah, ada mesyuarat pula.

Ahli mesyuarat datang dari seluruh Sabah, berlarutan sehingga jam 2.30 pagi.

Mulut sudah menguap beberapa kali. Ada ahli mesyuarat sudah terlelap dan bangun semula beberapa kali. Namun mesyuarat tetap lancar dengan idea-idea bernas.

Pengerusi ayahanda Hj Mohammad nampak tenang mendengar hujah, cadangan dan pandangan di kiri dan kanannya.

Pagi tadi, jam 6.50 bertolak ke Ranau. Mata yang mengantuk terpaksa dilawan. Mujur ada dua anak muda menjadi teman sembang sepanjang perjalanan.

Sekitar jam 9, tiba di lokasi SMKA Mohammad Ali. Ceramah berakhir 2 jam  berikutnya. Sembang-sembang sambil menjamu selera sejam dengan penganjur, kami mengundur diri.

Solat zuhur dan asar jamak qasar di Masjid Pekan Kundasang dan selepas itu melelapkan mata barang sebentar, melepaskan lelah yang belum selesai sejak semalam sebelum meneruskan perjalanan pulang.

Jam 6 petang, tiba di rumah. Ada kuliah maghrib di Surau Taman Limauan, menyambung tafsir surah al-Azhab yang belum selesai. Kisah tentang perkahwinan Nabi SAW.

Pengerusi Surau mengajak ke kenduri di rumah tidak jauh dari surau. Saya memohon uzur dan berkirim salam kepada tuan rumah.

%d bloggers like this: